Monday, April 07, 2014

Stres dalam Perjalanan

by: Dr Harris Shah bin Abd Hamid

Keperluan kepada perjalanan jarak dekat dan jauh bukanlah satu perkara asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Bagi yang bekerja tetap, setiap hari bekerja mungkin melibatkan mini-musafir. Perjalanan terancang antara tempat kediaman dan tempat kerja diistilahkan sebagai commuting. Ada juga perjalanan yang dibuat secara berkala seperti ke gimnasium, masjid, dan sekolah (menghantar anak). Secara keseluruhan, jumlah masa yang dihabiskan di jalan raya adalah satu jumlah yang signifikan. Perangkaan Kanada menganggarkan 12 hari dalam setahun dihabiskan untuk melakukan perjalanan. Di Malaysia pula, dianggarkan sejam daripada setiap hari diperuntukkan untuk berulang alik ke tempat kerja.

Banyak kajian menunjukkan kesan negatif commuting terhadap kesihatan fizikal dan mental. Pekerja yang melakukan perjalanan lebih jauh dan lama mengalami tahap stres yang lebih tinggi. Laporan subjektif ini disahkan dengan kesan fisiologi seperti kenaikan tekanan darah dan kortisol. Dalam kajian psikologi, kortisol yang boleh didapati dalam darah dan air liur menjadi satu petunjuk kepada tahap stres yang dialami. Punca-punca stres termasuklah kenderaan lain (dan pemandunya yang tidak berhemah), cuaca buruk dan keadaan jalan raya. Bagi yang menaiki kenderaan awam, punca stres tambahan termasuklah kelewatan kenderaan, pencemaran, dan para penumpang yang mempunyai bau badan dan perbualan telefon yang kuat. 

Terjejasnya kesihatan mental boleh disabitkan dengan kesan emosi yang terbit daripada aktiviti commuting. Antara emosi negatif yang terhasil daripada commuting termasuklah kesunyian, mudah terganggu, kerisauan, marah, dan rasa bersalah. Di kalangan wanita, emosi negatif boleh timbul akibat pengorbanan atau pengabaian yang terpaksa dilakukan terutamanya terhadap anak-anak kecil. Penghantaran anak-anak ke pusat jagaan dan isu penyusuan boleh menambah rasa bersalah dan kerisauan di kalangan wanita.

Commuting juga dikaitkan dengan kesihatan fizikal. Simptom fizikal yang dikaitkan dengan commuting termasuklah kualiti tidur, kelesuan, dan kesakitan otot dan sendi. Pekerja juga terdedah kepada pencemaran dan suhu tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan. Masa yang dihabiskan dalam perjalanan bermakna makin kuranglah masa yang boleh digunakan untuk aktiviti yang sihat seperti bersenam, berehat, dan bersosial. Perkara penting yang perlu diperhatikan ialah kaitan antara kesihatan fizikal dan kesihatan mental. Apabila kesihatan fizikal terjejas, tahap kesihatan mental juga boleh merosot.

Beberapa persediaan sebelum memulakan perjalanan boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan-kesan negatif daripada commuting. Persediaan yang dimaksudkan ialah persiapan fizikal, spiritual dan psikologikal. Ketiga-tiganya saling berkait, namun boleh dihuraikan secara berasingan. Persiapan fizikal merujuk kepada penjagaan tahap kesihatan dan kecergasan jasmani. Badan yang sihat akan lebih berupaya menangangi permasalahan yang mungkin timbul dalam perjalanan. Keadaan fizikal kenderaan juga harus dipentingkan. Penjagaan kenderaan secara berkala perlu dilakukan supaya pemandu tidak dikejutkan dengan masalah seperti enjin terlebih panas atau tekanan tayar rendah di tengah-tengah perjalanan.

Persediaan spiritual pula melibatkan peneguhan hubungan dengan Allah yang Maha Berkuasa. Perjalanan boleh menjadi pengalaman yang menekan jika kita menumpukan kepada tujuan dan keperluan peribadi. Halangan yang wujud dalam perjalanan akan dianggap sebagai ancaman kepada diri sendiri. Sebaliknya, jika perjalanan itu dianggap sebagai amalan yang dilakukan kerana memenuhi tuntutan Allah (yakni sebagai ibadah), maka halangan itu kurang mencederakan ego dan nafsu diri.

Secara lebih spesifik, tahap keimanan terhadap Allah s.w.t. dan rukun iman yang lain boleh menguatkan persediaan psikologikal untuk menempuh perjalanan ulang-alik. Keimanan yang tinggi boleh menghasilkan pemikiran yang positif seperti yang dilaporkan dalam hadith berikut:
“Daripada Abi Yahaya Syuhaib bin Sinan r.a. berkata, Rasulullah saw bersabda “Sungguh baik nasih orang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Apabila ditimpa musibah dia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” (HR Muslim)

Justeru, jika seorang pemandu terperangkap di jalan raya kerana hujan lebat, pemandu akan bersyukur kerana hujan itu nikmat dan juga bersabar kerana musibah kesesakan jalan raya. Iman yang tinggi juga boleh menghasilkan akhlak mulia yang sangat penting dalam konteks tingkahlaku pemandu di jalan raya. Dalam satu lagi hadith, dilaporkan Nabi Muhammad berpesan “barangsiapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, pasti Allah akan mengusahakan keperluannya’. (Riwayat Imam Ahmad). Sesiapa yang berpegang dan menghidupkan hadis ini akan menjadi pemandu yang berhemah dan lunak kepada pengguna jalan raya yang lain. Wujud banyak peluang menunaikan keperluan orang lain  sepanjang pemanduan. Sila semak diri sendiri berapa kerap kita memberi laluan kepada pemandu lain dan memberhentikan kenderaan kepada pejalan kaki yang ingin melintas jalan.

“Maha Suci (Tuhan) yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami”.  Membaca doa menaiki kenderaan ini sebelum memulakan perjalanan adalah amalan keagamaan yang baik. Secara langsung, ia juga boleh menjadi persiapan psikologikal. Doa yang dipetik daripada surah az-Zukhruf, (ayat 13 dan 14) mengandungi peringatan penting buat minda dan hati. Doa yang dibaca secara sedar (bukan secara robotik) akan mengingatkan kita untuk bersyukur ke atas nikmat kenderaan yang dipinjamkan. Natijahnya, kita mengingatkan diri untuk tidak mengkufuri nikmat tersebut seperti menyalahgunakan kereta dan menyakiti orang lain dengan pemanduan berbahaya. Peringatan kedua dalam doa itu ialah kelemahan diri manusia. Banyak perkara yang berlaku di jalan raya berlaku di bawah kawalan Allah dan dengan izinNya. Maka, sebagai pemandu, kita tidak sepatutnya meletakkan diri sendiri sebagai ‘pengawal’ yang berkuasa mengawal jumlah kenderaan dan tingkah laku pemandu lain.


Dengan kesedaran tentang kedudukan diri sebagai hamba, dan diiringi rasa tawadhuk, punca-punca stres di jalan raya akan kurang menjejaskan kesihatan mental kita. Pemanduan selamat bermula dari iman yang mantap. 

No comments: