Saturday, October 31, 2015

SSP: Menzahir Rasa

Hujan
turun di pagi ini
buat membasah pipi
saat mata tidak mampu
menzahirkan sedih
yang mengetat di dada

Friday, October 30, 2015

Penawar Rindu

Tawarkan rasa rindu ini
jangan sampai lidahku berat
dan tenggorokku tersumbat
menelan rangkaian kata yang kau utus padaku

ringankan beban rindu ini
jangan sampai bahuku jatuh
dan dadaku roboh
menanggung jauhnya hari untuk bertemu

malam ini
izinkan aku memadam mimpi
sebelum harapanku hilang
diratah mentari pagi

Thursday, October 29, 2015

SSP: Syukurlah Aku Kerdil

Syukurlah
aku tidak tahu semua
sebab musabab sesuatu peristiwa

Ditabirkan pemandangan
dibataskan pendengaran
dihadkan akal

Syukurlah
atas kurangnya upaya
untuk merungkai selirat jalan hidup
tidak sepenuhnya mencapai faham
keperitan yang menandai episod

PadaMu
yang memiliki segala ilmu
terima kasih dariku
kerana tidak meletakkan tanggungan
menguasai misteri
di bahuku yang kerdil
cukup DiriMu
menjaga segala cerita hidupku

Wednesday, October 28, 2015

SSP: Padi dan Antah 2

Padi dalam nyiru
diindang nampak antah
manusia dalam celaru
ditelah tidak mudah

Kalau kaca terpalit warna
dibasuh disapu nampak jernihnya
kalau manusia memakai rencana
diteka disiasat tak nampak wajahnya

Bangkai gajah tak dapat disorok
datang angin menghantar baunya
rencana manusia tak kekal terperuk
tiba masa terbongkar segalanya

Tuesday, October 27, 2015

SSP: Padi dan Antah 1

Pagi-pagi menampi-nampi
ambil beras buang antah
baik buruk di dalam diri
dalam hidup menjadi rencah

Ambil beras buang antah
jangan sengaja cari bahana
dalam hidup menjadi rencah
adat manusia tidak sempurna

Jangan sengaja cari bahana
sawah yang luas diusahakan
adat manusia tidak sempurna
apa yang ada kita tatangkan

Monday, October 26, 2015

SSP: Meredah Barcelona

Matahari main sembunyi
Empat malam menyorok bulan
Rajin menapak berhari-hari
Ada masanya kebasahan

Jalan malam tidak terang
Untung selamat sendirian
Kaki penat hampir kejang
Sampai balik kehampaan

Andai hujan rajin menimpa
Kalah rasa berlinangan
Apa dicari tidak dijumpa
Niat bersantai kekudungan

Sunday, October 25, 2015

SSP: Semalu

Semalu


Padaku ada kehijauan
yang memberimu kesegaran

Pastikan ada ruang
untuk kupancarkan kehijauan itu

Kiranya kau sentuh tangkai kehijauan
kau hilangkan ruang pancaran

Akulah semalu
yang akan menutup mukaku

Padaku ada duri
yang bisa menikammu

Saturday, October 24, 2015

SSP: Jangan Memuncung

Hidang bara biar berlapik
jangan sampai terpercik bahang
kalau gajah yang bertempik
mengapa kancil hendak ditendang

Suara gajah gegar gempita
mengapa kancil mahu digoncang
pendapat diberi tidak dipinta
cerca dihambur tidak diundang

Elok subur rumput di padang
mengapa baja ditabur melulu
kalau mata senget memandang
kain yang kemin dikata berbulu

Pisau terhunus tajam menikam
air lembut meresap masuk
tidak bertubi datang menerkam
kata yang benar halus menusuk

Friday, October 23, 2015

SSP: Menala Suara

Menala Suara


Dan aku kini
berdiri antara lalang-lalang malang
melaungkan desir nafas
yang kembali memukul telinga sendiri

suaraku larut dalam udara
setiap manusia dengan gelombangnya
terpaksa aku memutar-mutar
kembali mencari
nada yang menerima dan diterima
walau jiwa dipukul bertalu

suaraku meningkah pendirian mereka

lalu ingin saja
kuutus suara hatiku
pada batu, dahan, dan segala serangga
menyanyi bersama alam
dalam kesantunan irama
atau mengaum mengiring bencana
menelan mereka

Thursday, October 22, 2015

SSP: Degilnya Kamu

Degilnya Kamu


Yang kau rentangkan itu
adalah kesetiaanmu
untuk kurobekkan semahunya

kau lingkarkan kejujuran
di kelilingku
untuk kutetas satu persatu

di atas kepalaku
kau selendangkan kesabaran
untuk kutunjal selalu

dan hadiah dari hati
yang kau letak di tanganku
telah ku lempar ke lubuk mati

maafkan aku
memerangi kedegilanmu
masih ada kemanusiaan di hatiku
untuk menolak kehadiranmu
sebagai tetamu di kegurunanku

Wednesday, October 21, 2015

SSP: Fikir Musafir

Fikir Musafir


Betapa perjalanan ini adalah kehidupan
bermulanya di satu titik dan
meluncur terus ke hadapan

semakin jauh kehadapan
semakin aku mengerti sirat-sirat
dataran, tanah tinggi, dan lembah sepi
lalu aku faham
di mana harus perlahan
di mana harus ditahan

dari gerabak yang panjang
perjalanan ini mengajar aku
melihat dan melontar pandangan
dari kedudukan yang berbeza
agar mataku lebih luas
dan tidak menyuap akal
dari satu tingkap yang kecil

di dalam gerabak ini sendiri
gerak geri penumpang
adalah watak-watak
warna-warni yang hidup
melemparkan seribu renungan
yang memungkinkan seribu tafsiran

benarlah dan sesungguhnya benarlah
keretapi ini perlu berjalan di landasan
laju-laju
sebab selalu dihambat waktu
dan alangkah ganjilnya jika undur berpaling
kerana terminal menuggu di depan
bukannya di belakang

sepi bersendiri di bangku sendiri
membawa makna rindu dan
rasa saling memerlu
antara sesama insan sesama alam
lalu dengan penuh kesedaran merelakan
tali persaudaraan mengikat semua
menjadi satu

stesyen demi stesyen yang ditinggalkan
dan semboyan yang tidak jemu-jemu berbunyi
menyedarkan aku bahawa usia
perjalanan ini semakin singkat
bukannya terus memanjang

Tuesday, October 20, 2015

SSP: Cukuplah Sedikit

Cukuplah Sedikit


Sekuat mana otot jari
sehabis daya mencengkam dan menggenggam
pergi tetap pergi
terlepas

Sehebat mana jaringan saraf
sehabis daya menaakul dan mentafsir
rahsia tetap rahsia
terpelihara

Kudrat tetap, bersukat
sempadan kudrat jadikan batas nafsu
dalam ghairah merungkai rahsia alam
jangan sampai melangkau ruang insan
mencabar Tuhan

Sehari Sebuah Puisi

InsyaAllah, untuk tempoh 69 hari, saya akan meletakkan satu puisi setiap hari di blog ini. Usaha ini adalah tanda sanjungan saya kepada Dr Zurinah Hassan yang baru mendapat anugerah Sasterawan Negara. Ada puisi yang baru dan ada yang diulan siar. Puisi-puisi yang dimasukkan dalam projek ini menjadi antologi bertajuk 'Mencari Lunak Hati'. Projek menyiarkan puisi di blog dan Facebook ini saya namakan Sehari Sebuah Puisi dan menggunakan hashtag #seharisebuahpuisi #SNDDZ #mencarilunakhati

Mengikut pengkaji psikologi, antara ciri orang yang tinggi tahap kecerdasan emosi ialah memunyai upaya untuk menghalakan emosi yang kuat ke arah produktiviti. Bukan mendabik dada mengiktiraf diri tinggi cerdas emosi, tapi ini adalah sebuah refleksi diri. Bagi saya, emosilah antara tenaga yang banyak membantu penghasilan sebahagian besar puisi yang bakal dikongsikan di sini. Tentang tenaga yang dihasilkan oleh emosi, saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan kemampuan untuk menggunakannya untuk menulis. Sukar untuk menghasilkan puisi jika saya tidak mengalami rasa sedih, marah, cemburu, rindu, dan gembira dalam menempuh liku-liku kehidupan.

Selain peristiwa dan emosi peribadi, saya akui banyak terpengaruh dengan penulisan Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan. Fikir Musafir, misalnya, dipengaruhi Hidup Dari Jendela Kereta Api secara sengaja. Imej kereta api yang digunakannya amat berkesan hingga mampu menghasilkan percambahan idea. Sebagai tambahan, secara tidak sengaja, terdapat persamaan dalam pemilihan Semalu sebagai tajuk puisi. Secara keseluruhannya, saya terpesona dengan perspektif alternatif yang ditawarkan oleh Dr Zurinah. Saya mula membaca puisinya sewaktu saya remaja. Stereotaip dan batasan mental pada jiwa remaja saya disanggah secara halus oleh puisinya. Sebagai contoh, ‘Di Sebuah Kolam’ membuatkan saya lebih menghargai pentingnya ‘peraturan’ dan ‘kekangan’ walaupun terasa dibataskan oleh peraturan dan kekangan itu.


Latar belakang pendidikan psikologi turut membantu saya mengamati peristiwa-peristiwa dan kejadian di sekeliling saya. Pendekatan psikologi dalam menangani masalah insan saya gunakan dalam puisi. Sempadan dan Kemaafan terlahir daripada perbualan dengan seorang teman yang sedikit terganggu dengan perbuatan rakannya. Dalam puisi lain seperti Kembali KepadaNya dan Perpisahan Yang Sempurna, saya cuba mencerahkan sisi positif dalam noktah pertemuan. Ia bagai terapi yang membantu diri mencapai tahap penerimaan sesuatu musibah.  

Emosi yang tidak terkawal boleh menjadi api yang memakan diri. Emosi yang dibendung dapat mencuit intelek dan menugaskan jasad untuk bergerak. Saya berharap puisi-puisi saya dapat menyentuh hati anda untuk merasa sesuatu, dan bertindak untuk menghasilkan sesuatu. Setidak-tidaknya, bertindak untuk berdamai dengan diri sendiri, mencari lunak di hati. 


Saturday, October 10, 2015

Virus Shawl - Projek mengait





Berbekalkan tutorial di Youtube, awak memberanikan diri terima tempahan shawl daripada kawan di ofis. Thank you teacher Jonna.

Ini namanya virus shawl. Jangan takut... mike tak kena penyakit kalau pakai shawl ni. Awak pun tak tahu dari mana asal namanya - tang mana yang nampak macam virus pada shawl ni. Bentuk dia tiga segi. 


Ini hasil yang dah disiapkan. Awak buat saiz (panjang) 11 shell. Rasanya dah cukup labuh dah tu. Ada yang suka 9 shell atau 13 shell. Kalau nak tempah, beritau le panjang mana.


Sekuntum bunga merah ni ditambah atas permintaan puan yang menempah. Kalau nak buat border dengan bunga pun boleh, tapi rasanya berat sangat la pulak...meluyut pulak shawl tu nanti. 


Ini shell yang pertama. Rasa semangat buat projek ni. Cepat dan cantik, if I may say so. 

Lepas ni nak buat lagi. Kalau nak tempah contact le: harga antara RM100 ke RM200 mengikut saiz, border, hiasan dan material benang.