Friday, November 27, 2009

Satu pagi di hari raya
















Kali ketiga meraikan aidiladha di UK sejak buat PhD. Persiapan? Tak siapkan apa2 pun. Malas nak iron baju melayu warna peach tu. Cuaca pun makin sejuk. Tak tergamak nak berbaju melayu nipis ke tempat solat. Lainla kalau ada long overcoat Dolce&Gabbana. Cuma sempat masak rendang-pedas-ayam-tak-cukup-syarat semalam. Ini la pertama kali buat sendiri rendang pedas. Jadi la...buat syarat.

Solat sunat raya dibuat di bilik latihan taekwando. Cukup luas bilik tu untuk tampung para jemaah lelaki, perempuan dan kanak2. Tiada takbir yang mendayu-dayu. Tiada khutbah skema. Tapi ada keseronokan menyambut kelainan dalam meraikan hari raya.

Satu persamaan dengan jemaah di Malaysia ialah tahap kebisingan semasa khutbah berlangsung. Alhamdulillah, jemaah lelaki diam. Mendengar atau tidak, itu perkara lain. Namun, jemaah wanita berjaya menyaingi suara khatib - cuma kurang beberapa decibel sahaja. Diiringi pula dengan suara kanak2 yang giat menghidupkan fungsi hakiki bilik daripada fungsi sementaranya.

Hari ni ada dua jemputan yang nak dipenuhi. Kejap lagi nak bergerak untuk mengisi perut yang masih kosong. Sengaja kosongkan perut, nak mengisi dengan juadah raya nanti. Yeay!!!

Monday, November 23, 2009

kenapa saya suka Farmville











Saya suka main Farmville di Facebook. Ada beberapa sebab saya suka main.

Sebab pertama ialah saya suka tumbuh-tumbuhan. Di rumah saya ada beberapa tumbuhan seperti pakis, tiga jenis kaktus, sejenis pudina, salam, ros, dan bawang kuning. Saya memang suka bercucuk tanam.













Di Farmville ada macam-macam tumbuhan. Ada buah-buahan, sayur, bijirin dan bunga. Haiwan ternakan pun boleh dibeli. Ada orang pernah beri saya babi secara percuma. Tapi saya tak bela babi itu.











Sebab kedua ialah saya dapat mengulangkaji konsep psikologi. Pemain yang rajin bermain akan dapat hadiah riben kuning, putih, merah dan biru. Jadual pemberian hadiah ini mengingatkan saya kepada konsep pelaziman operan. Hadiah diberi mengikut jadual nisbah-berubah pada kadar yang meningkat.















Saya juga boleh mengguna ilmu matematik untuk bermain. Untuk mendapat duit permainan yang banyak, saya perlu membuat kira-kira. Saya perlu jumlahkan perbelanjaan membajak, membeli benih dan tempoh matang untuk dibandingkan dengan hasil jualan. Saya cuba menyelesaikan persamaan serentak untuk mengetahui tanaman yang menghasilkan keuntungan paling tinggi. Sebagai contoh: Untung = harga jualan - (harga benih + kos membajak). Kos membajak ialah 15 bagi setiap tapak. Persamaan ini boleh ditulis semula sebagai U = y - (x1+x2). Sebagai contoh, persamaan bagi daffodil ialah 60 = 135y - (135x + 15x). Bagi bell pepper, 108 = 198y - 90 x. Dua persamaan ini boleh diselesaikan jika saya dah tak ada benda lain nak dibuat.















Sebab terakhir saya suka main ialah kerana saya suka buang masa. Muahahaha

Thursday, November 19, 2009

Kajian Kelab Peminat Ahli Politik

1. Pengenalan

Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila 6,287 pengguna telah mendaftarkan diri sebagai peminat sehingga pukul 6 petang hari ini (Utusan Malaysia Online, 18 November 2009).

1.1 Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan membandingkan jumlah peminat ahli politik terpilih Malaysia di Facebook.


2. Kaedah kajian

Pencarian data dilakukan menggunakan kotak gelintar di Facebook. Bilangan penyokong dicatatkan bagi hasil carian. Sampel kajian melibatkan ahli politik yang pengkaji berminat hendak kaji.

3. Keputusan

Pencarian di Facebook menunjukkan keputusan berikut.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat - 33,369
Datuk Seri Anwar Ibrahim - 27,901
Lim Kit Siang - 13, 228
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang - 1,088
Ong Tee Keat - 796
Datuk Seri Samy Vellu - -739

4. Perbincangan

Jumlah peminat ahli politik dari PAS, PKR, dan DAP jauh lebih tinggi daripada jumlah peminat Perdana Menteri. Ahli politik lain dari BN mempunyai peminat yang jauh lebih rendah daripada PM.
Bilangan peminat DS Samy Vellu tidak dapat dikesan. Angka yang dilaporkan (-739) merupakan bilangan ahli kelab "Malaysians Against Samy Vellu".

4.1 Limitasi Kajian
Data yang dikutip tidak mengambil kira tarikh laman rasmi ahli politik tersebut dibuka di Facebook.
Kajian ini terdedah kepada pembolehubah yang tidak dapat dikawal seperti promosi laman pertama suratkhabar. Tidaklah diketahui kesan sekiranya jumlah peminat Tuan Guru Nik Aziz dihebahkan di Utusan Malaysia dan Berita Harian.

4.2 Kajian lanjutan
Kajian lebih lanjut dicadangkan untuk membandingkan jumlah peminat secara lebih adil. Kajian replikasi boleh dilaksanakan selepas 3 bulan dari tarikh hari ini untuk melihat pertambahan atau pengurangan jumlah peminat bagi semua ahli politik ini.
Skop kajian juga boleh diluaskan dengan memasukkan sampel dari kalangan Menteri Besar, Ketua Menteri, dan ahli politik dari parti-parti lain.

4.3 Kesimpulan
Aktiviti PR perlu dilipatgandakan untuk mencipta imej popular PM.

5. Rujukan
Utusan Malaysia Online. (19 November 2009). Facebook PM tarik perhatian 6.287 pengguna. Dicapai pada 19 Nbovember 2009 di www.utusan.com.my

Monday, November 16, 2009

Sebelum berjumpa

Saya berpanas di tengah padang
tuan datang memayungkan
selagi mata belum memandang
hati tertanya siapakah tuan

saya mengarang rangkai madah
membacanya bagai permata
gambar sudah suara pun sudah
tunggu merenung dengan mata

saya penat berpergian
tuan bentang tikar rehat
dapatkah rupa dibayangkan
hanya hati yang melihat

saya kendung sedikit bekal
mungkin tuan sudi berkongsi
yang manis semoga kekal
bila di mata dan hati serasi

Wednesday, November 11, 2009

AC2010

Alhamdulillah. Sue Hull menyampaikan berita gembira hari ini. Paper yang telah diwasit untuk kali kedua telah diterima untuk sesi pembentangan di conference anjuran Ergonomics Society UK. Setelah dua tahun berturut-turut hadir sebagai sukarelawan (sekretariat), tahun depan ayah akan hadir sebagai sukarelawan dan pembentang. Moga Allah memberi kesihatan, kelapangan, dan kekuatan untuk meneruskan agenda sarjana.

Takbir!!!

Cerita sejadah















Di lapangan terbang Birmingham, ada chapel. Sapa2 boleh guna - nak solat, tafakur, meditasi, sembah-menyembah. Bila masuk chapel ni, tak de la pulak nampak orang lain yang menggunakannya. Cuma berselisih dengan seorang lelaki yang kelihatan seperti Muslim. Agaknya, memang orang Islam pengguna majoriti chapel ni.


Yang nak dikisahkan ialah sejadah yang disimpan dalam chapel ni. Bukanlah nak membawa cerita baru. Sekadar berkongsi bahan tentang topik yang pernah dihurai orang lain sebelum ini. Bagi sesetengah orang, mungkin 'sensitif' tentang 'corak' yang ada pada sejadah ni. Cuba perhatikan betul2 pada puncak kubah tu. Seolah-olah ada salib di situ. Samaada sengaja atau tidak, tak tau la. Mungkin sesetengah orang tak boleh terima kejadian ni, tak kisahlah suratan atau kebetulan. Cumanya, kalau nak mengelak daripada buat-buatan atau kebetulan macam ni, elok aje guna sejadah tak bercorak. Plain. Corak banyak2 pun buat ganggu tumpuan je. Tak perlu sumbat sensory channels dengan maklumat visuals yang tak perlu kala otak nak mengadap Allah.
Posted by Picasa

Makan pizza




Alkisah, termengidam makan pizza masa jalan2 kat Aberdeen. Terbayang kemasinan ikan bilis bercampur kelemakan keju. Kaki pun ringan je panjat tangga ke restoran Pizza Hut di Union Street.

Bila tengok menu, ada 2-course set meal. Maka dipilihlah starter oven-baked portobello mushroom dan personal pan pizza. Untuk memanaskan badan, hot chocolate terpilih masuk tekak. Hot chocolate sampai dulu. Alamat sejuk la sebelum pizza tiba. Tapi, tak pe la. Dapat jugak mengganti haba yang dihakis oleh angin sejuk Aberdeen. Bila cendawan sampai, alamak....terpesona la pulak. Macam hidangan kat restoran yg ada bintang Michelin la pulak. Stylo betul presentation dia. 'Sos' tu berasaskan cuka balsamik. Macam masuk jugak dengan cendawan yang bertatah keju dan mentega berherba. Boleh try kat rumah ni. Sapa nak jadi food taster?

Gambar pizza mana? Tak terambik. By the time pizza sampai, dah tak de selera nak amik gambar. Fokus selera pada pizza depan mata. Menarilah garfu dan pisau untuk menghalakan makanan ke dalam mulut. Kenyang.....alhamdulillah.
Posted by Picasa

Tuesday, November 10, 2009

Kenangan


Faded rememberance
Originally uploaded by pak alang

Sedikit demi sedikit
kenangan terserpih
keping-keping jadi debu
bertabur di sempadan ingatan

Makin berlalu
debaran yang dulu
selalu mengiringi nama
pandangan dan suara

Bukan selalu mengharapkan
abadinya sebuah rindu
andai jasad tiada lagi di depan mata
sekadar menadah embun
untuk menyegarkan kemanisan
yang pernah dihirup bersama

Dan kiranya
titis-titis hujan
hanya menyegarkan lumut lupa
biar saja kenangan itu serpih
berkeping-keping
dan luluh jadi debu
jauh dari lembaran hidupmu

Di persimpangan


Di persimpangan
Originally uploaded by pak alang


di sini perlu ada pemisah
untuk menzahirkan satu tindakan
dan melenyapkan satu pilihan

bolehkah
meluncur ke satu
dari dua arah
hanya berpandukan masa
dan kuasa yang tidak di tangan sendiri

Di persimpangan,
tunggu isyarat dari jiwa
fatwa dari hati

Thursday, November 05, 2009

siapa nak cipta lagu ni?

Bila dengar tajuk lagu seperti Rimas dan Diriku Tapak Sulaiman, rasa mau aje tulis lirik lagu. Cari bahan dari kesusasteraan psikologi untuk buat lagu yang lain dari yang lain. Contohnya:-

1) Kau Kunci Serotoninku Dalam Hatimu
2) Ada Apa Dengan Cinta Agape
3) Tak Tercapai Kognitifmu
4) Masihkah Kau Simpan Dalam Memori Episodikmu?
5) Tak Mungkin Regresi
6) Ritma Sirkadianku
7) Kenang Daku Dalam Tidur REMmu
8) Hadirlah Ke Psikoanalisisku
9) Namamu Stimulus Reaksi Rinduku
10) Sekadar di Cuping Oksipitalmu

Sementara menunggu pergi ke KFC

kelip kelip kusangka api

kalau api mana baranya

bau sedap kusangka KFC

kalau KFC mana bucketnya

yang makan menjilat jari
yang tak makan menggigit jari
jangan makan tak sedar diri
kolestrol tinggi susah sendiri

sebelum makan baca bismillah

sesudah makan, alhamdulillah

bila selesai cepatlah blah

jangan tunggu tokey menyergah