Monday, November 29, 2010

Proton Inspira

Cayalah Proton. Or... cayalah peminat-peminat Proton. Tahulah jugak ada sambutan baik untuk Inspira, tapi tak sangka Proton Inspira menjadi salah satu carian popular di Google. Ramai agaknya yang teringin atau tak puas tengok gambar Inspira.

Errrr....mungkinkah akan membeli Inspira bila dah selesai PhD nanti?





Sunday, November 28, 2010

wish list

erm.... ni wish list untuk diri sendiri; bukan sebagai isyarat kepada orang lain untuk memberi. Tapi nak mengingatkan diri sendiri untuk memenuhi hajat di hati. Sementara masih duduk di UK ni, teringin nak makan makanan yang susah nak cari di Malaysia.

1) artichoke. makan dengan pasta, atau sebagai salad. tak pernah makan sayur ni. Sekali tengok macam kudup bunga.
2) celeriac. dalam rancangan MasterChef UK, ada sorang peserta buat mash celeriac (instead of mash potato). Judge kata sedap. Boleh la try.
3) fennel. pun tak pernah makan gak. Mengikut kata chef kat tv, rasanya macam bunga lawang. Sayur rasa macam bunga lawang? Ok la kot. boleh buat goreng atau masak sup.
4) passion fruit. yg ni pernah makan. Tapi hari tu minum air passion fruit (buah ghairah?) kat kedai Zaytoun, kelas beb. Rasa nak cuba buat sendiri. Kalau makan cam tu je, masam sampai terangkat kening.
5) ermm... kalau ikutkan, panjang lagi list ni. tapi terpaksa berdiri di dunia realiti. Ada makanan yang dihajat, tapi mahal sangat. Kalau tetiba masuk duit bertimbun-timbun kat akaun bank, boleh la cuba merasa fresh (i.e. not frozen) scallop, monk fish tail, tuna steak, john dory, truffle, dan beberapa sea food eksotik kat sini.

Saturday, November 27, 2010

Pantun Musim Sejuk

kena hujan basah kuyup
sekadar basah bukan berbisa
biar sejuk angin bertiup
semangat kerja panas terasa

pokok tetap tegak berdiri
walau habis daun berguguran
kerja mencapai matlamat diri
bukannya musim jadi sempadan

bunga menghilang bukan merajuk
menunggu hari kembang bergaya
di waktu panas atau pun sejuk
pintu terbuka untuk berjaya

Friday, November 26, 2010

Gaji

Gaji .... boleh menjadi sumber rezeki. boleh juga menjadi sumber iri hati, dan lebih teruk lagi hasad dengki. Ada yang buat perbandingan; gaji pensyarah yang ada PhD lebih rendah dari gaji guru sekolah. Penat-penat belajar, gaji tak mencapai tahap guru. Anak murid yang tak henti-henti belajar sampai PhD, bila sambung bekerja, gajinya tak boleh potong gaji guru yang mengajarnya dulu (andai guru itu masih lagi mengajar).

Gaji... di Malaysia mungkin tak besar mana. Cukuplah untuk hidup, bayar zakat, berkorban setiap tahun, pergi haji dan umrah. Cukup untuk urusan hidup sebagai muslim, insyaAllah. Kalau nak gaji lagi besar, cuba kat negara lain. Di Brunei, mungkin boleh dapat 3 kali ganda gaji. Di Emirates pun mungkin lebih kurang begitu. Di Hong Kong, boleh dapat RM250,000 sebulan. (ya...sebulan). Tapi sewa rumah aje dah RM40,000. Harga ikan bilis mau tiga empat ratus RM sekilo (spekulasi semata-mata). Kalau nak besar angka, boleh cari guna kompas dunia. Kalau nak dapat makna, guna kompas akhirat.

Gaji... memang tak cukup-cukup, kalau berbelanja tak cukup hari. Orang yang berjimat cermat menghitung hari bekerja. Orang yang joli gaji menghitung hari untuk dapat gaji lagi.

Fakta: 2 Alam dapat 51 juta

Mengikut kajian yang dilakukan pada 25 November 2010, filem 2 Alam telah mendapat 51,700,00. Ya, 51 juta!!! Angka ini lebih daripada sasaran yang diletakkan oleh penerbit filem berkenaan.

Kalau tak caya, tengok bukti ni. 2 Alam berjaya menghasilkan 51 juta hits kat Google search.


Thursday, November 25, 2010

Pandangan Nenek Moyang

Jika mereka melihat kita sekarang
fahamkah?

siapa yang memegang cangkul
siapa yang memegang senduk

Pantang larang yang diturunkan
pada menyusun kata
pada menjaga periuk belanga
kelihatankah?

Jika nenek moyang boleh bersuara
apa agaknya kata mereka
menyesalkah pada kekurangan yang mengurung mereka
atau
bersesalkah pada kelebihan yang menimpa kita


Wednesday, November 24, 2010

6 bungkus

yang diidamkan
6 bungkus otot
bersusun simetrikal
landskap abdominal

hari-hari bukan mengukir otot
tapi menambah bungkus-bungkus
nasi lemak
teh tarik
roti canai
darab dua
jadi enam bungkus
bersusun horizontal
dan digayut graviti

yang diidamkan
terbungkus

Tuesday, November 23, 2010

bangau dan kambing

Kisah bangau dan kambing saling menjamu makan satu kisah yang menarik untuk dikupas. Untuk kanak-kanak, kisah ini mungkin hanya satu hiburan. Bagi orang dewasa, banyak pengajaran dan dan butiran kebijaksanaan yang boleh dikutip dari kisah ini.

Cerita pendeknya, kambing mengajak bangau makan di rumah. Dia menghidang makanan di dalam bekas yang cetek. Terpatuk-patuk si bangau cuba mendapatkan makanan. Paruhnya yang panjang dan tabiatnya yang menyudu menyukarkan dia makan dari bekas yang cetek. Pulanglah dia ke rumah dengan perut yang lapar.

Selang beberapa hari, bangau pula menjemput kambing datang ke rumah. Untuk membalas hospitaliti encik kambing, bangau menghidangkan makanan dalam geluk yang tinggi dan tirus. Tidak jadi masalah kepada bangau untuk memasukkan paruhnya yang panjang dan runcing ke dalam geluk. Kambing pula yang terkial-kial cuba memasukkan muncungnya ke dalam geluk sehingga habis basah janggutnya. Kambing kelaparan di rumah bangau.

Satu pengajaran dari kisah ini ialah pentingnya mengambilkira pengguna dalam menyediakan sesuatu untuk pengguna tersebut. Prinsip ini merupakan prinsip asas dalam bidang ergonomik: rekayasa berpusatkan pengguna (user-centred design). Salah satu falasi yang sering dilakukan oleh para designer ialah "jika aku boleh guna barang ini, orang lain pasti boleh guna". Kenyataan ini hanya boleh menjadi benar jika 'orang lain' tak lebih daripada klon designer itu sendiri. Sesuatu software mungkin 'makes sense' kepada penulis yang telah meluangkan banyak masa untuk menyiapkannya. Tetapi para pengguna mungkin terkial-kial cuba mencari hujung pangkal pada software berkenaan. Penggunaan akronim dan kata arahan mungkin sangat lazim kepada penulis, tapi sangat janggal di minda pengguna.

Kisah bangau dan kambing ini memang sangat sesuai diguna untuk memperkenalkan dan membincangkan idea user-centred design. Begitu juga dengan kehidupan seharian. Bak kata orang dulu-dulu: ukur baju di badan sendiri. Itu kalau nak buat baju untuk diri sendiri. Kalau nak buat baju untuk orang lain, kenalah ukur di badan orang berkenaan. Tak kenalah kalau nak ukur di badan sendiri juga.

Perihal memasak pun begitu juga. Kalau nak masak untuk orang, jangan fikir apa yang kena dengan selera diri sendiri sahaja. Kenalah ambil tahu apa yang orang suka masak. Macam dalam rancangan 'Come Dine With Me' di UK ni, kadang-kadang tuan rumah pilih resepi yang dia tahu atau senang untuk dibuat: mereka seolah-olah lupa mereka menjemput tetamu datang untuk menikmati makan malam. Kalau dah tahu tetamu tak suka ikan salmon, janganlah harap tetamu berkenaan untuk puas hati dengan main course ikan salmon.

Dalam rancangan CDWM itu, tuan rumah bertanding untuk merebut hadiah. Di kehidupan harian, kita tidaklah pula ditawarkan hadiah £1000 kalau masak sedap-sedap. Bak kata Ustaz Kazim, penat memasak seorang isteri itu akan hilang jika dimakan habis oleh anak-anak dan suami. Ganjaran memasak itu kita harapkan dari Allah s.w.t. Kalau kita saja yang suka doriyaki cicah wasabi, janganlah itu saja yang dihidang tiap-tiap kali orang datang. Orang lain nak makan apa? Kalau kita cuba nak memenangi hati tetamu atau ahli keluarga, kita masaklah apa yang dia suka. Kalau tak tahu apa yang dia suka, tanya. Biasanya orang tak lokek nak beritahu apa makanan yang dia suka. Boleh tahu punya.

Kalau dah tahu apa yang orang suka, tapi buat-buat tak tahu dan tak pernah buat apa yang orang suka, jangan buat-buat terperanjat bila orang cakap kita tak pandai ambil hati.

Kalau dah tahu orang tak suka doriyaki cecah wasabi, jangan pulak kecil hati kalau orang tak sentuh doriyaki tu.

Jangan jadi macam kambing dan bangau.


Thursday, November 18, 2010

hantar ke sekolah

Kalau masih duduk di Borrowdale Way, mungkin hanya berjalan kaki atau berbasikal untuk menghantar Marwan ke sekolah. Dari rumah baru ni, sekolah agak jauh untuk aktiviti yang lebih sihat itu.

Ditubuhkan pada 1968, sekolah ini ada lebih kurang 400 orang murid. Salah seorang ECP yang ditemui pernah bersekolah di situ - dia antara murid terawal. Holywell Primary School dikatakan antara sekolah terbaik di Loughborough. Bila menjawab soalan 'Marwan sekolah di mana?@, rata-rata respon yang diterima berbunyi lebih kurang 'that's a good school'.

Bila menghantar dan mengambil Marwan di sekolah, terasa jauh beza suasana dengan sekolah-sekolah di Malaysia. Mungkin ini sekolah kampung. Tapi, setakat ini, tak ada nampak bas sekolah atau van sekolah di perkarangan sekolah. Tak ada kanak-kanak berpusu-pusu keluar dari bas untuk masuk sekolah. Tak ada pakcik-pakcik menunggu dalam van untuk ambil pelajar yang keluar dari sekolah.

Ramai ibubapa atau penjaga yang menghantar sendiri anak-anak ke sekolah. Murid-murid Year 4 pun ramai yang dihantar sampai ke pintu kelas oleh ibubapa masing-masing. Suasana pagi di perkarangan sekolah meriah dengan kehadiran ibu bapa. Di Malaysia, rasanya kawasan dalam pagar sekolah hanya meriah sebegitu waktu hari Anugerah dan hari Sukan.

Yang pasti, rasa lebih selamat bila melihat sendiri Marwan masuk ke kelas. Tapi selama mana boleh begitu. Perlu secara beransur-ansur menguatkan tali kepercayaan. Biar ada risau. Biar ada sebak.

Satu hari Marwan akan terbang sendiri.




Tuesday, November 16, 2010

Hari Raya

Hari ini hari raya korban. Orang di Malaysia lewat sehari menyambut kedatangan hari ni. Tarikh raya di England sama dengan tarikh raya di Mekah. Hari raya korban, atau aidil adha. Di England, hari ini juga dikenali sebagai hari Tuesday.

Tak ada cuti. Sekolah buka seperti biasa. Cuma masa hantar Marwan pagi tadi, nampak agak lengang. Mungkin ramai pelajar muslim yang mengambil cuti. Tapi Marwan ke sekolah seperti biasa. Tidak juga ke mana nak pergi pagi ni. Petang nanti baru nak berkumpul dengan uncles and aunties yang bekerja seperti biasa hari ini.

Friday, November 12, 2010

biometric

Hari Selasa lepas Marwan bersekolah separuh hari je. Pukul 12pm dah keluar - sebab ikut ayah dan ummi gi Derby. Niat ke Derby ialah bertemujanji dengan staf di Identity and Passport Services. Temujanji yang ditempah secara dalam talian itu sebahagian daripada proses nak melanjutkan tempoh visa.

Temujanji pukul 2pm. Disuruh tiba 30 minit lebih awal. Pusing punya pusing - SatNav tak leh harap & ada kerja pembaikan jalan - sudahnya parking agak jauh dari ofis. Pusing punya pusing lagi...baru jumpa ofis. Waktu sampai, ofis masih tutup sempena waktu makan tengahhari. Pukul 1.30 baru bukak balik. Tak ramai yang beratur di luar ofis - semua dah ada temujanji masing-masing agaknya; tiada pelanggan jalan masuk (?) (walk-in).

Petugas di kaunter tu sangatlah ramah dan mesra. Proses ambil cap jari dan ambil gambar tak lah lama sangat. Tima kasih encik petugas kaunter. Harap-harap pekerja yang memproses permohonan kami di Sheffield sebaik petugas kaunter. Dan harap-harap proses yang seterusnya tidaklah terlalu lama.


Thursday, November 04, 2010

kerusi

Satu kerusi 'dirampas'. Satu lagi kerusi 'dipertahankan'.

Kerusi tu untuk dirampas ke?
Kerusi tu untuk dipertahankan ke?

Ih ih.... ini pemilihan atau peperangan? Ada banyak 'harta rampasan perang' untuk diagaih-agihkan selepas ini?

Merampas dan mempertahan adalah katakerja si 'perebut' kerusi. Bagi para pemilih, katakerjanya mungkin mempercaya atau memberi (amanah). Tak perlu rampas kepercayaan mereka. Tak perlu dipertahankan pemberian.

Balas kepercayaan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Pulangkan bakti sebagai pulangan amanah yang diberi.

Tapi, beritanya dilaporkan sebagai perkara perebutan. Ganas. Yang 'menang' adalah si perebut kerusi. Hasrat dan kemenangan para pemilih kurang komersil untuk tajuk utama akhbar. Atau mungkin kurang perbatuan politik.

Kerusi punya pasal.

Wednesday, November 03, 2010

siang pendek

Dah masuk musim sejuk. Ya. Walaupun tak de salji bertimbun-timbun macam di Kanada dulu, dah terasa suasana musim sejuk di sini. Di samping cuaca yang mendung, berangin dan sejuk, tanda-tanda lain juga makin jelas menunjukkan musim sejuk dah tiba. Iklan berkaitan Krismas dah mula nampak - sesiapa yang nak menempah restoran untuk makan besar, kena la buat cepat-cepat.

Satu lagi tanda ialah pendeknya siang. Terbit matahari berlaku selepas pukul 8 (sebelum daylight saving time berkuatkuasa). Sekarang ni, waktu magrib pukul 4.30, lebih kurang. Waktu zuhur pula hanya ada 2 jam; pukul 2 dah masuk waktu asar. Tak boleh leka...kalau tak, terbabas solat zuhur.

Malam cepat berlabuh. Mata pun cepat mengantuk. Apa lagi...labuhkan badan atas katil.

Zzzzzzzz

filem dan manusia

(1)

Seniman Bujang Lapok


Isteri: Jikalau kanda nak mengusir dinda dari sini ke mana la yang dinda nak menumpang diri, kanda?

Suami: Aaah! Aku tak peduli apa yang akan terjadi pada diri kau. kalau kau tak mau keluar, aku akan pancung leher kau

Isteri: Sampai hati kanda nak memancung dinda. sampai hati kanda?

Suami: Sampai hati? kau juga sampai hati membuat aku begitu. kau kan tahu kesukaan aku belacan? kenapa kau masak sayur asam tak mau campur belacan!!! Sekarang aku akan pancung leher kau


(2)

Harian Metro, 2 November 2010

KUALA LUMPUR: Hanya kerana masakannya tidak menepati selera, seorang isteri menerima deraan kejam dan tidak masuk akal apabila dibelasah, dicukur kepala hingga botak dan lebih mengaibkan, mukanya turut dikencing suaminya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Khamis lalu itu, suami terbabit yang berusia lewat 30-an turut menceraikan isterinya dengan lafaz talak tiga ketika kencing ke atas mangsa.

Monday, November 01, 2010

terasakah merentasinya?

Sesuatu yang ditunggu telahpun tiba, dan berlalu masa untuknya. Namun, apa yang dijangka hadir bersama tidak pula menjelma. Merentasi garis pencapaian itu, tidak terasa puasnya. Di mana gembiranya. Bila datang leganya?

Mungkin kerana ada lagi kerja yang menunggu setelah melalui garis itu. Kumpulan semangat yang dibawa merentasi garisan itu masih ada - bekal untuk menuju ke satu lagi garis pencapaian. Tidak terasa ingin menyambut dan meraikan apa-apa lagi. Ada banyak langkah yang mesti diambil. Dan selepas itu, ada lagi garis pencapaian baru yang perlu dilukis.

Mungkin tidak melompat-lompat setelah merentasi garis itu. Cukup dengan syukur sepanjang jalan.