Thursday, June 02, 2016

Imbasan Pertama

Imbasan Pertama

Bila mendengar detak detik
yang digemakan dari degupan jantungmu
sebuah keyakinan yang tertangguh
menjelma serta merta

Kemanisan-kemanisan yang dijangka
lewat kelewatan yang termaklum
menjadi hari-hari yang tersidai
di ampaian nyata
lalu timbul curiga dan waspada
pada sentuhan matahari, bimbang tersilau
pada hembusan angin, risau berdebu

Maaf, aku belum berani
menyusun harapan yang mengasak
di empangan dada
melaungkan kepada dunia
hasrat menyentuh jejari halusmu
di sisi bondamu

KepadaNya
kupohon kesempurnaan ciptaan
dari insan selemahku
akan diwujudkan dirimu


Harris Shah Abd Hamid
11/10/2015

Ampang Point


Catatan 7 bulan yang lalu, setelah doktor mengesahkan kehadiran seorang lagi penyeri dalam keluarga. Sarah Zakirah anugerah Allah kepada kami sekeluarga. Moga Allah berikan kami kekuatan dan kesabaran untuk membesarkan Sarah sebagai insan solehah. 

Wednesday, June 01, 2016

Sasterawan Negara Dr Zurinah Hassan

Teruslah Bermain Seruling

Tiupan serulingmu
merdu dalam bersahaja
menggemakan pesanan saksama dari gunung Ledang
juga memudahkan hadam sisi tempang
perjalanan Hang Li Po, Tun Teja, dan Tuah
yang jarang diulas sejarah

Mainan serulingmu
bukan hanyut dalam perasaan
malah berkongsi kekuatan
upaya berfikir dan melihat
melalui bingkai-bingkai tingkap
yang jarang ditatap

Alunan seruling itu tetap merdu dan ampuh
hasil seniman yang hidup dalam dirinya
dan tidak meninggalkan seni
untuk membanting jasadnya merawat dunia

Teruslah bermain seruling
untuk kami para seluang
yang menghadap ke pelabuhan


Harris Shah Abd Hamid
Gombak

14 April 2016


Catatan ini dihasilkan sebelum menghadiri majlis pengaugerahan Sasterawan Negara Ketiga Belas di Hotel Mariot Putrajaya.