Thursday, October 28, 2010

Makin hampir

Pagi ni sepatutnya bekerja di luar - mengikut ECP. Tapi, disebabkan pincang talian komunikasi, temujanji yang dirancang melalui email tidak dapat ditunaikan. Tiada janji yang telah ditulis, dan hanya bertemu tanpa dapat mencapai matlamat kerja. Maka baliklah ke rumah sebelum sempat Marwan pergi ke sekolah.

Kalau diikutkan, temu-tanpa-janji itu merupakan 'bonus'. Sasaran peserta kajian telahpun dicapai. Perbincangan dengan penyelia telah menguatkan fakta berkenaan. Penghujung bulan ini telah ditetapkan sebagai garisan penamat untuk proses mengumpul data. Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, kadang-kadang matlamt yang bertulis itu menzahir seperti dibuat-buat. Sabtu ini, hari kedua terakhir Oktober, ada satu lagu temujanji yang mahu dipenuhi: mencari bonus yang dimalapkan pagi tadi.

Yang ingin ditemui Sabtu nanti telah sukarela mengirimkan email untuk mengesahkan pertemuan. Baik sungguh perilaku dia. Makin mudah kerja kalau ramai peserta kajian seperti dia. Mudah-mudahan ini petanda kepada penyudahan yang baik bagi proses pengumpulan data; dan juga penyudahan yang baik bagi program PhD ini secara keseluruhannya.

Lepas ini, analisis dan menulis!

Wednesday, October 27, 2010

Pasca Pendedahan

Kita tulis nama dia
ada dia menyahut?
namanya dipanggil di pentas global

Kita tulis tentang mungkarnya kelaku dia
ada dia kisah?
agendanya seni semasa jalinan budaya

Kita tulis desak dia memohon maaf
ada dia baca?
telinganya kalis seru

Berbuih-buih aksara
jadi gelora di talian
belum menjadi ombak
di kakinya

Apa dia baca?

Iqra'
sudah?
entah


Tuesday, October 26, 2010

Festival Simpan Kain

Ada kain lebih, simpan dalam almari

Sengaja-sengaja tunjuk dada
biar ustaz-ustaz urut dada

Sengaja pakai belah-belah
baru gah membeli belah

Sengaja tunjuk-tunjuk
biar banyak mata sangkut

Ada ihsan, sidai tepi sejadah

Sunday, October 24, 2010

pindah rumah

Mulanya berpijak di tanah Loughborough, bilik tumpangan sementara menjadi tempat merehatkan badan. Ingatan tentang rumah di Grace Dieu Rd menjadi akrab dengan alunan lagu Seribu Tahun (Imran Ajmain). Pada masa itu, terasa bagai seribu tahun lagi untuk pulang ke tanah air. Telah beribu langkah meninggalkan semua yang dekat di hati.

Dari Grace Dieu Rd, pindah pula ke William St yang dekat dengan pusat pekan. Tinggal di rumah besar bersama 4 orang penyewa dari Libya, Sudan, dan Botswana. Rumah besar, bilik besar, dapur besar. Tapi tak puas makan. Tak puas memasak. Sebelum tamat kontrak sewa rumah, ada juga cuba mencari tempat lain untuk membawa diri. Tapi tertunggu juga hingga tamat kontrak.

Pindahlah ke Borrowdale Way, alamat yang sukar dicari dengan SatNav. Penghantar makanan pun tercari-cari jalan yang tersorok ini. Duduk di tingkat bawah, terasa lebih sempurna proses-proses kehidupan. Mungkin kerana dah pernah duduk di rumah sendiri, terasa lebih selesa hidup begini. Tapi, ruang penyimpanan barang agak terhad. Bila ada peluang, pindah pula ke tingkat atas di blok rumah yang sama. Bersambung lagi hidup di Borrowdale Way. Dan terasa lebih meriah, alhamdulillah.

Kalau ikutkan hati, malas nak berpindah lagi. Tapi kontrak sewa rumah tamat, dan keluarga bertambah besar. Hendak cari rumah yang boleh disewa untuk tempoh jangka pendek. Dapat sebuah rumah dua tingkat, jauh sikit daripada Universiti. Tapi lebih mendekatkan kepada kehidupan berkeluarga. Leighton Ave; mudah-mudahan menjadi alamat terkini, dan terakhir, untuk menyempurnakan PhD.

Friday, October 22, 2010

menghitung

Terasa bagai nampak cahaya dihujung terowong yang gelap.

Matlamat asal, 5, telah pun dicapai. Hendak mendapatkan yang ini, terpaksa mengeret kaki ke sana sini.

Matlamat lebih baik, 10, pun telah dicapai. Hendak mendapatkan yang ini, terpaksa menebalkan muka menjaja idea.

Menuju ke penghujung Oktober, ada 3 lagi yang ingin dicapai untuk mengangkat matlamat ke tempat yang lebih bermakna dan lebih berguna. Hendak menyempurnakan yang ini, perlu mengukuhkan motivasi, pandang persada indah yang boleh dipahat dengan penambahan matlamat ini.

Vamos!

Thursday, October 21, 2010

Padam

telah habis dikikis
segala sisa masa dan rasa

hingga tidak teringatkan lagi
putus semua tali ke hati

bukan sekadar kelam
tapi telah padam

(inspired by short poems at puisipantaspendek)

Wednesday, October 20, 2010

masa ikut ECP

Dah terasa macam banyak kali naik kereta ECP. Kereta depa ni biasanya jenis station wagon. Takat ni dah naik Volvo, Vauxhall, dan BMW. Boleh tahan laju jugak la depa bawak kalau dipanggil untuk kes kecemasan. Pasang lampu biru dan siren.

Rasanya, siren tu punya la kuat. Siap ada lampu lip lap lip lap. Tapi kekadang pemandu kenderaan di hadapan buat macam tak tahu je. Tak nampak dan tak dengar atau buat-buat tak dengar. Macam menarik gak untuk dijadikan topik kajian: "Tindakbalas pemandu terhadap kehadiran kenderaan bantuan kecemasan". Ada yang memperlahankan kenderaan. Ada yang nampak gabra. Ada yang memberhentikan kenderaan. Ada juga yang sempat kena sumpah seranah ECP kerana tindakbalas yang tidak sesuai hingga melambatkan pergerakan kenderaan ECP.

Bila dengar siren atau nampak lampu kenderaan kecemasan, eloklah BERSEDIA memberi ruang dan keutamaan kepada kenderaan tersebut. Jangan bila kereta tu dah betul2 di belakang, baru nak cari tempat untuk berhenti atau mengelak.

Kalau nak berhenti, carilah tempat yang sesuai supaya depa dapat lalu dengan selamat. Jangan berhenti di selekoh, apatah lagi di selekoh yang ada double-line di tengah2 jalan. Ambulan tak boleh nak memotong kalau depa tak nampak jalan di hadapan. Berhenti di selekoh hanya akan melambatkan ambulan.

Satu lagi, berhenti dekat dengan pembahagi jalan. Pastikan jalan di hadapan tidak ada halangan seperti pembahagi jalan, traffic island, tiang lampu, dan sebagainya. Sediakan ruang yang cukup supaya ambulan dapat celus, kata orang Kuala. Kalau jalan tu sempit, pemandu kenderaan dari hadapan juga perlu memainkan peranan. Berhentilah juga supaya ambulan dapat memandu lalu dengan selamat.

Kalau dalam keadaan traffic jam macam di KL? Mike buatlah kajian yea... boleh bina pasukan kajilidik dengan MIROS dan IHSR.

Tuesday, October 19, 2010

Cobden ke Holywell

Dah tamat tempoh pengajian Marwan di Cobden. Cikgu-cikgu di Cobden beri feedback positif pasal perkembangan penguasaan bahasa Inggeris. Memang perasan ada perubahan yg mendadak. Sejak Marwan pergi ke Holywell untuk tempoh percubaan dua hari, penggunaan bahasa Inggeris di rumah boleh dikatakan naik dari 30% ke 60%.

Minggu ni cuti pertengahan penggal. Minggu depan kembali ke sekolah. Nanti pergi ke Holywell secara tetap; tak lagi ke kelas peralihan di Cobden. Agaknya, lepas ni angka 60 tu boleh menghampiri 90%. Ambil slang sini ... balik Malaysia nanti boleh cakap bunyi orang puteh..bukan bunyi orang Melayu yang cakap orang puteh.

Tuesday, October 05, 2010

tembakau&sirih: liputan media

Minggu lepas (selepas tersiarnya sajak Tembakau & Sirih di Berita Minggu), ada satu rancangan tv waktu pagi mengenai kebersihan dan kekotoran di sekitar UK. Satu kes yang diselongkar oleh pengendali program tersebut ialah tabiat meludah air sirih & tembakau.

Tinjauan dibuat di kawasan majlis perbandaran Brent (dekat dengan Wembley di London). Kerja-kerja pembersihan terpaksa dilakukan untuk membuang sisa-sisa ludah yang mengotorkan harta awam: kaki lima, pondok bas, dinding bangunan, tiang lampu - semuanya jadi mangsa. Pekerja mengguna jet air untuk membuang kotoran.

Kos pembersihan dianggarkan £20,000 setahun. Itu baru kat Brent; belum masuk kawasan2 lain lagi. Majlis perbandaran terpaksa menjalankan kempen anti ludah. Sesiapa yang didapati meludah akan didenda sehingga £80.

Itulah hakikat untuk sebuah negara penjajah. Setelah penat menjarah hasil mahsul negara orang, kena cuci ludah keturunan yang dijajah. What goes around, comes around. Itu baru pembalasan di dunia. Pembalasan yang 'trivial' dan berskala kecil. Tunggu.