Tuesday, October 07, 2014

BENAR dan SABAR part 2

Kita sambung kuliah pasal benar dan sabar dalam berpesan-pesan kepada diri sendiri dan orang lain. Hari tu dah cakap pasal BENAR, hari ni tambahkan dengan SABAR pulak. 

Self-restrain - self

Sabar tu boleh dimengertikan sebagai menahan diri daripada melakukan sesuatu yang mungkin berkesudahan buruk. Elak daripada terburu-buru berkongsi perkara yang tidak ketahuan tahap sahihnya. Elak juga daripada member reaksi spontan jika reaksi terpelajar lebih diperlukan. Elak juga daripada mengejar keseronokan yang seketika (a.k.a. glamour) jika itu boleh mmebutakan mata daripada memandang matlamat yang lebih besar dan bermakna. 

Aim - objectives

Sebahagian daripada yang boleh dilakukan untuk mengelak tingkah laku terburu-buru ialah menetapkan matlamat atau objektif yang jelas. Untuk menasihati orang lain, perlu kita beritahu kepada diri sendiri, 'apa motif aku bercakap ni?'. Ada yang rasa kecewa bila usaha yang dilakukan tidak nampak hasilnya, lalu mengalah dan terus berhenti berusaha. Sangkutkanlah matlamat pada allah s.w.t. yang tidak akan sesekali mengecewakan kita. Selebihnya, serahkan pada Dia. Dengan cara itu, kita mengelak daripada merasa 'sia-sia je aku buat ni'. 

Bila ada matlamat, barulah usaha kita terfokus; bukannya sabar tak tentu hala.

Border - nullification


Mengapa tak boleh bersabar tak tentu hala? Sebab sabar pun ada batasnya, kan? Orang kata, buat benda yang sama tapi mengharapkan hasil yang berbeza adalah definisi kegilaan. Nampak tak beza antara sabar dan gila? Jangan pulak kita cuba melawan sunnatullah dengan mengaplikasi strategi yang sama dengan penuh sabar tapi mengharapkan ada hasil yang berlainan daripada apa yang pernah didapati. Itu sabar tak bertempat namanya. Jadi, kita perlu tahu atau tetapkan sempadan sabar. Sempadan yang perlu diambilkira termasuklah sempadan dari segi waktu (projek ni akan diteruskan untuk berapa lama? berapa jam seminggu aku nak buat kerja ni?), kewangan (berapa banyak RM yang akan dilaburkan untuk projek ni?), orang (dengan siapa yang aku sanggup untuk bersabar tanpa syarat?), dan begitulah seterusnya untuk soalan 'di mana', dan 'bagaimana'.

Alternatives - resources

Apa yang perlu dilakukan jika usaha kita sudah sampai ke sempadan sabar? Daripada meneruskan usahan yang sama, kita patut fikirkan usaha yang berbeza. Cari alternatif. Samaada alternatif kepada usaha, atau alternatif kepada matlamat. Kita perlu fleksibel dalam menggunakan strategi: kalau strategi A tidak berkesan, kita cuba pulak strategi B. Kemampuan untuk berfikir secara fleksibel adalah satu ciri orang yang kreatif. Dalam konteks ini, lawan kepada kreatif ialah jumud. Dan pastilah jumud itu bukan sebahagian daripada takrifan sabar. 

Elakkan daripada dirabunkan oleh sistem persepsi. Gunakan segala sumber yang ada dan dapat dikesan oleh keseluruhan anggota deria. 

Repeat - effort


Apa pun yang kita buat, jangan cepat berputus asa jika kita yakin kita telah mengikuti tertib BENAR dan SABAR. Keimanan kepada Allah s.w.t. adalah sumber motivasi yang sangat besar untuk kita terus berulang kali melakukan usaha yang baik. Apabila kita sudah memasang strategi yang realistik, bertekunlah dalam melaksanakan strategi itu. Maksudnya di sini, kita wajar merancang untuk bersabar dalam menyampaikan kebenaran. fikir-fikirkan dahulu apa yang ingin disampaikan dan bagaimana bentuk kesabaran yang perlu untuk menyampaikannya. Rancang, dan laksana. 

Impian fantastik, usaha realistik

No comments: