Tuesday, March 25, 2014

Teori Konspirasi?

Macam-macam teori yang muncul di alam maya dan kedai kopi tentang kehilangan pesawat MAS MH370. Berita dan maklumat dari saluran rasmi disangkal dan disangsi. Ada yang lebih suka mengunyah teori konspirasi. Mungkin seleranya begitu. 

Dalam kaedah sains, ada prinsip ilmu yang dinamakan parsimoni. Secara ringkasnya, penerangan yang lebih ringkas dan straight forward itu wajar diutamakan berbanding penerangan yang lebih kompleks. Dalam kes MH370, penerangan dari saluran rasmi yang jelas dan straight forward kurang diterima sesetengah orang. Mereka lebih suka penerangan yang membawa mereka ke serata dunia.

Malangnya, ada penerangan atau teori yang digembar-gemburkan (termasuk yang mendapat jumlah 'Like' yang tinggi di Facebook) hanyalah berdasarkan 'sangkaan kosong' (meminjam istilah ustaz Abdullah Bukhari).  Kalau tuan puan didedahkan dengan teori yang pelbagai, cuba semak senarai ringkas di bawah. Selepas itu nilailah samaada 'teori' itu berdasarkan fakta yang sahih atau hanya sangkaan yang kosong.


1)  Sesuatu teori biasanya ada kenyataan yang boleh di'pertikaikan' benar salahnya. Budak-budak sekolah rendah pun sudah didedahkan dengan konsep 'hipotesis'. Sebagai contoh, teori mudah untuk hidupan ialah makhluk ada beberapa keperluan untuk hidup. Satu hipotesis yang boleh dibuat ialah 'Tikus (salah satu jenis makhluk) akan mati jika tidak mendapat oksigen (salah satu keperluan hidup). Hipotesis ini boleh diuji melalui eksperimen (cuba check buku sains anak masing-masing). Jika hasil kajian menyokong hipotesis, kita makin yakin dengan teori. Banyak lagi hipotesis yang boleh diuji. Kebaikan dan kebergunaan sesuatu teori boleh dinilai dari hipotesis yang boleh dihasilkan. 

Teori konspirasi bagaimana?  
Wujudkah hipotesis untuk diuji? Boleh diuji benar atau salahnya hipotesis itu? Ataupun bila didatangkan bukti yang menyangkal hipotesis, bukti itu dikatakan sebagai satu lagi 'bukti' untuk mengekalkan pegangan kepada teori. 

2) apakah fakta yang diguna untuk membina teori itu? Beratus-ratus fakta yang dikutip dari sumber online itukah faktanya? Di mana fakta/data yang dihasilkan sendiri? Kalau fakta online yang dihimpun, di mana hujung di mana pangkal? Apa yg jadi sebab dan apa yang jadi akibat? Yang kelihatan berlaku secara berhampiran tidak semestinya berlaku mengikut hukum sebab-akibat.

3) di mana hasil kajian sendiri? Adakah kebanyakan (atau semua) points dlm teori itu diolah semula dari sumber sekunder. Tiada kajian sendiri. Kalau ada pun, maklumat peribadi dari sang teoris itu perlu diimani sebagai benar, tanpa boleh disahkan pihak lain, apatah lagi orang awam. Sang teoris ini menuduh pihak tertentu merahsiakan maklumat berdasarkan maklumat yang dia sendiri 'terpaksa' rahsiakan. Bukankah ini konspirasi sang teoris itu sendiri?

4) hipotesis tidak ada, kalau ada pun tidak boleh diuji. Prediction yang jelas juga tidak ada. Hanya memberi klu atau gambaran yang kabur. Apa-apapun yang bakal berlaku di masa depan akan dikatakan satu lagi sokongan kepada mana-mana aspek dalam teorinya. Hatta kejadian yang jelas menyangkal teori itu akan digunakan sebagai bukti sokongan. Teori ini mahu diterima sebagai haq.


Berhentilah daripada bertindak dengan panduan sangkaan kosong. Dalam sangkaan itu mungkin terdapat dosa. "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; (49:12)." 

Elakkan daripada 'Like' dan 'Share' dosa. 

No comments: