Menanti yang tak pasti

Hari Jumaat.

Hari keenam kehilangan MH370. Banyak yang telah berlaku dalam tempoh 6 hari itu. Berpuluh-puuh kapal laut dan kapal udara menyikat laut China Selatan dan Selat Melaka serta Teluk Andaman. Rakyat pelbagai negara bersengkang mata untuk bersama-sama dalam operasi mencari dan menyelamat. Di darat, ramai petugas bekerja keras untuk menguruskan logistik dan siasatan. Pegawai, penguasa dan menteri turut berpeluh mencari jawapan dan menenangkan keadaan, terutama bagi ahli keluarga dan rakan yang mengharapkan kepulangan yang tersayang dari MH370.

Sepanjang enam hari ini juga macam-macam yang timbul dan dijumpai di media sosial. Pelbagai teori, hipotesis, dan tanggapan liar membenih dan meliar. Cerita, kisah, hikayat, dan fitnah terbit dari hujung jari lebih pantas dari fakta yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Kepincangan kerajaan dan syarikat penerbangan dijaja dari satu dinding FB ke dinding FB. Sindiran, cemuhan dan makian beranatai-rantai di mulut Tweeter. Alhamdulillah, doa-doa dan kata-kata positif serta harapan tidak kurang suburnya. Moga ada antara doa tersebut yang segera makbul.

Imej, photo dan gambar berlumba-lumba disebarkan. Ada yang berjaya menjadi ikon yang menyimpulkan rasa kesedihan dan harapan yang masih disimpan. Wajah yang dibasahi air mata terpampang di berita paling hadapan. Pesawat dan peta ditayang merata-rata. Gambar dari lipatan sejarah pun dimunculkan kembali hingga mengundang keliru atara penemuan dan persejarahan.

Bersusun-susun orang yang ingin berikhtiar; yang serius dan mengikut tertib pastinya terbit gusar disebalik ketengan yang cuba diketengahkan. Dihujankan dengan soalan dan tuduhan, nampak masih mampu berdiri atas kaki yang tetap. Yang bertanya laparkan maklumat. Yang mampu diberi setakat ini adalah hidangan ketidakpastian. Belum ada yang konklusif dan definitif.

Ada pula yang lebih mencalar daripada menggilap: mengundang ketawa terbahak-bahak di sebalik amarah yang meluap. Akidah dipertaruh atas nama ikhtiar.Muncul gambaran yang mempersenda agama. Lalu timbullah gambar yang bertujuan bersenda dan mempersenda. Parodi di atas parodi.

Jika dilihat sebagai ujian, kehilangan ini menguji yang berada di atas daratan yang kukuh. Kehilangan pesawat telah mendedahkan siapa yang sabar dan siapa yang tersasar. Kehilangan ini menemukan kita dengan pemilik otak bebal dan akhlak cabul. Kehilangan ini juga menemukan kita dengan si penangguk di air keruh. Kita bertemu dengan prejudis, stereotaip, dan pendirian yang ada dalam diri kita sendiri.

Mudah-mudahan kehilangan yang diselubungi ketidakpastian ini akan mempertemukan kita semula kepada Allah SWT, dalam perasaan merendah diri mengakui Dia yang Maha Berkuasa. Masukkanlah kami dalam golongan hambaMu yang dipertemukan di syurga, ya Allah.

Comments