Jemain II: Salad buah

Hari Ahad lepas, sepupu Jemain yang belajar di Manchester telah balik kampung. Sudah habis belajar. Hari ini Sudin nak datang makan malam di rumah. Mak Jemain tahu Sudin pandai memasak, lalu dimintanya Sudin masak lauk sepinggan dua. Sudin kata okay saja. Dah lama duduk bujang di Manchester, sudah pandai masak makanan barat.

Sudin telefon Jemain untuk plan memasak petang itu.
"Aku plan nak buat lemon butter chicken dengan fruit salad. Bahan-bahan untuk chicken aku dah ada. Ko tolong cari bahan untuk fruit salad boleh?"
"apa dia? foot salad?" tanya Jemain.
"Foot kepala cerebrum ko," usik Sudin (dia ada ambil modul anatomi dan fisiologi di universiti). "Fruit salad...salad buah-buahan" terangnya.
"Ooooo.....Buah apa yang ko nak guna?" tanya Jemain untuk kepastian.
"Apa-apa pun boleh. Aku masak macam Jamie Oliver, bukan macam Michel Roux Jr" jelas Sudin.

'Entah sapa la yang Sudin sebut tu. Popeye aku kena la.' kata Jemain dalam hati. 'Popeye tentu pandai masak bayam' tambah kata hati Jemain lagi. Dia tersengih sendiri dengan lawak dalamannya.

Selepas melayan Sudin di telefon, Jemain pergi keluar rumah dengan niat nak cari buah-buahan. Dalam perjalanan, dia singgah di pondok Dam; tempat orang bujang dan orang yang perasan bujang melepak sambil main dam. Singgah yang sepatutnya sekejap telah menjadi lama kerana leka melihat orang main dam. Dekat waktu magrib, bila dah dengar suara orang mengaji di surau, baru Jemain teringat dia belum membeli buah. Terkocoh-kocoh dia ke kedai runcit Pak Samad. Nasib baik bukak lagi waktu magrib. Pak Samad kata lepas dia naik haji nanti baru dia nak tutup kedai waktu magrib. Apa-apa aje la Pak Samad.Yang penting dia dapat beli buah.

Di kedai Pak Samad, tak banyak buah yang ada. Bayam adalah.
'Bukan Popeye yang nak masak malam ni,' gerutu Jemain dalam hati. Sudahnya, dia sambar mana yang ada. Dah sampai ke rumah, dia pergi ke kebun di belakang rumah untuk kutip mana-mana buah yang ada.

Di dapur, mak Jemain tengah sibuk memasak dengan Sudin. Setelah meletakkan buah-buahan di atas meja, Jemain terpandang satu botol dengan isi yang berwarna putih.
"Ni apa ni? Kapur kasut ke?" tanya Jemain.
"Woooiiii.....itu salad dressing la. Sos untuk salad. Mana buah yang aku mintak tadi?"
Jemain mengatur buah-buah yang dibeli dan yang dikutip di belakang rumah.
"Ni ha....ko pilih la yang mana yang ko nak guna. Aku nak mandi dulu," ujar Jemain sambil menyusun buah-buahan di atas meja.
Sudin terlopong melihat buah-buahanyang bergolek atas meja. Matanya beralih-alih dari meja ke badan Jemain yang bergerak perlahan ke biliknya.
"Mak Su!!!!!" suara Sudin akhirnya terkeluar.
"Ngapa Sudin? Ini ke buah yang ko pesan tadi? Boleh guna tak?" tanya mak Jemain dengan nada berharap.
"Tak boleh mak su," kata Sudin lemah.
Dalam hatinya, dia menyambung 'Kalau dengan Gordon Ramsay, dah banyak F ko kena dengar Jemain oi. Apa yang aku nak guna? Buah ni boleh la aku guna, untuk hentak medulla oblongata ko', katanya sambil memegang sebiji kelapa muda.
Di sisi kelapa, ada buah pala, buah keras, buah pelaga, buah durian, buah mengkudu, buah jering, dan buah petai.



Comments