Program Motivasi di Sekolah

 Penceramah Luar dan Program Motivasi di Sekolah

1. Saya setuju dengan penetapan garis panduan penganjuran ceramah dan program di sekolah. Bukan setakat program dengan pelajar, program dengan guru juga perlu ada garis panduannya.
2. Garis panduan berkenaan boleh merangkumi berkenaan isi program dan penyampai (penceramah) program. JAKIM telah menerbitkan garis panduan program motivasi berunsur Islam. Garis panduan ini boleh dirujuk untuk dibaca bersama garis panduan KPM. https://www.islam.gov.my/.../garis_panduan_program...
3. Berkenaan penceramah, mungkin perlu ada satu mekanisme yang mengatur pemilihan penceramah. Mekanisme ini tidak boleh terlalu mengekang (contoh: sekolah perlu dapatkan kelulusan Menteri setiap kali hendak menjemput penceramah). Wujudkan mekanisme yang efektif (berkesan memilih penceramah yang sesuai) dan efisien (tidak membebankan pihak sekolah dan penceramah).
Latar belakang, pengalaman, kelulusan akademik, afiliasi politik, dan ciri-ciri peribadi lain boleh dipertimbangkan, disaring, dan disejajarkan dengan objektif program.
Jika pihak sekolah hendak mendedahkan pelajar dengan aktiviti lasak, sebagai contoh, Abang Polar Rizal Khalif (tak tau pasal apa tak boleh tag) memang sesuai dijemput berdasarkan pengalamannya meneroka kutub Utara. Apa ijazah akademiknya tidak relevan jika skop perkongsian terbatas kepada pencapaiannya menyertai ekspedisi merentas kawasan Artik.
4. Garis panduan yang dibentuk boleh menjadikan perlindungan dan perkembangan murid-murid sebagai maqasid (objektif). Garis panduan ini tidak sekadar satu tindak balas reaktif terhadap kes amang seksual yang masih dalam peringkat siasatan. Murid-murid perlu dilindungi daripada ancaman seksual, fizikal, rohani, dan intelek.
Sebab itulah program yang pekat dengan unsur pseudosains perlu dibendung. Program seumpama itu akan mengamcam kesejahteraan intelek dan emosi murid-murid. Ajaran yang salah cenderung membentuk pemikiran yang salah.
5. Secara peribadi, istilah 'program motivasi' itu sendiri bermasalah. Jika motivasi diberi untuk menggerakkan tindakan, apa bezanya 'program motivasi' dengan penyampaian ilmu? Tidak cukupkah "majlis ilmu" sebagai label pemasaran dan pengiklanan?
Dalam tazkirah sebelum solat Jumaat di Masjid Jamek minggu lepas, ustaz berpesan di akhir sesi: "Saya tak beruntung. Tuan-tuan yang mendengar ini pun tak beruntun. Yang beruntung ialah yang mengamalkan ilmu yang baik, dan sebarkan pula kepada orang lain". Ilmu itu sendiri sifatnya memotivasikan. Ilmu untuk diamalkan. Sampaikanlah ilmu yang sahih. Sampaikanlah ilmu yang relevan, praktikal, dan mudah diamalkan oleh murid-murid.
6. Dalam membincangkan garis panduan ini, saya juga kerapa dengar istilah 'pakar motivasi'. Mungkin garis panduan ini juga boleh mendefinisikan siapakah yang layak diberi gelaran pakar motivasi.
7. Jika maqasid program ialah hendak berhibur dengan selebriti dan pempengaruh media sosial, maka anjurkanlah konsert.

Comments