Tips temuduga masuk U

Hari ini saya terlibat dalam temuduga calon program Sarjana Muda Kaunseling. Ada sesi pagi dan petang. Antara yang boleh dikongsi untuk pengajaran bersama:

1) Elok buat persiapan mental dan fizikal untuk sesi temuduga. Kebanyakan calon memberi penampilan yang kemas dan bersih. Bagus begitu. Lunak mata memandang.

2) Elok juga buat persiapan teknikal. Memandangkan temuduga dibuat secara dalam talian (GMeet), calon buatlah raptai terlebih dahulu. Pastikan sambungan audio dan video dalam keadaan baik. Tak adalah jadi gementar apabila muka tak keluar di skrin ataupun suara hilang ditelan talian.

3) Cuba tunjukkan anda betul-betul berminat dengan program yang dipohon. Projeksi suara apabila bercakap tentang kaunseling seharusnya kedengaran bersemangat dan tidak teragak-agak. Seorang calon tadi terlalu bersemangat agaknya hingga bercakap pada kelajuan ERL. Terpaksa diingatkan untuk bercakap pada kelajuan Senandung Malam. Tapi saya faham, dia memang suka program kaunseling.

4) Bila ditanya soalan seperti, "Anda suka program kaunseling di UM?", elakkan daripada menjawab Ya sahaja. Cuba kembangkan jawapan. Memanglah soalan itu berbentuk soalan tertutup. Tugas calon ialah membuka jawapan. Lainlah kalau panel temuduga memang meminta jawapan pendek.

Sebagai penemuduga, saya ada beberapa soalan yang perlu ditanyakan. Ada seorang calon ni, bila diminta menerangkan serba sedikit tentang dirinya, dia menjawab beberapa soalan dalam senarai yang saya tulis. Cekap dia memberi jawapan.

5) Bila soalan temuduga ditanya dalam bahasa Melayu, tapi tiba-tiba tukar siaran ke bahasa Inggeris, calon janganlah ketinggalan di siaran bahasa Melayu. Ikut klu bahasa yang digunakan. If I asked you, "What is your biggest life challenge so far?", you cannot answer "Saya kehilangan beribu-ribu followers di Instagram sebab saya muat naik video Tik Tok" (ini contoh rekaan semata-mata). Please impress the panel with your mastery of English, whatever is the level.

6) Tak cukup sekadar kata "Saya memang berminat dengan program kaunseling". Buktikan minatmu itu. Apa yang boleh meyakinkan panel bahawa anda memang minat kaunseling? Ada pengalaman yang berkaitan? Pernah menyertai aktiviti yang berbau bacang dengan kaunseling? Kenal tokoh-tokoh kaunseling di Malaysia?

Jangan pula petik nama 'tokoh' berijazah palsu sebagai tokoh kaunseling semata-mata kerana dia kelihatan berjaya memotivasi ramai usahawan. Usah begitu ya cik Wan!

7) Diakui video kurang jelas pada masa tertentu. Tapi cuba beri perhatian sepenuhnya kepada soalan yang ditanya. Pastikan anda tahu apa yang ditanya, dan beri jawapan dengan merujuk kata kunci dalam soalan. Sebagai contoh, "Bagaimana anda hendak membantu rakan yang meronta-ronta hendak bergunting rambut di salon dalam tempoh PKP?" Jawapan anda mestilah menunjukkan anda faham dilema (ideal vs realiti) yang dihadapi. Tapi, jangan lupa PKP sebagai kata kunci yang penting. Jangan hanya tumpukan jawapan kepada menguruskan keinginan kawan bergunting rambut. Masukkan juga elemen PKP dalam jawapan.Stay on point. Kita jaga jawapan kita.

Esok ada lagi dua sesi temuduga, insyaAllah. Kalau ada yang menarik dari sesi esok, insyaAllah saya akan kongsikan. Cuma masih teringat sesi tahun lepas. Ada calon perempuan ditanya, "Apa akan anda lakukan, sebagai kaunselor, jika klien lelaki membuat pengakuan bahawa dia jatuh cinta kepada anda?" Dengan senyum simpul, dia menjawab, "Kalau dah jodoh, apa salahnya?"

Dah kahwin atau tidak agaknya calon itu?



Comments