Personaliti melalui tulisan tangan?

Bolehkah kita mengenali personaliti menerusi analisis tulisan tangan?

Jawapan ringkasnya: TIDAK.

(1) Kalau sekadar suka-suka nak buat analisis tulisan tangan, itu hak anda untuk berhibur. Cumanya, kalau aktiviti suka-suka tu melibatkan perbelanjaan yang banyak, ia jadi perbuatan membazir. Ia tak mendatangkan faedah berbanding alat ujian personaliti yang sudah ada himpunan bukti kesahan dan kebolehpercayaan.

(2) Dua kajian yang dilaporkan dalam satu artikel jurnal mendapati tiada korelasi yang meyakinkan antara penilaian grafologis dengan skor ujian personaliti. Huraian personaliti yang dibuat oleh grafologis tidak sama dengan apa yang didapati daripada ujian menggunakan Big Five Questionnaire. Big Five kata extraversion tinggi, tapi grafologis kata rendah. Kajian juga mendapati dua orang grafologist yang membuat analisis secara berasingan tidak menghasilkan huraian personaliti yang sama. Si A cakap lain, si B cakap lain. Ibarat menimbang berat badan mengguna dua penimbang yang berbeza. Yang satu kata 80kg, yang ratu lagi kata 60kg. Jadi, bolehkah kita percaya hasil analisis ini?

(3) Kalau nak guna analisis tulisan tangan untuk membuat keputusan berkaitan pemilihan pekerjaan, eloklah ditinggalkan amalan itu. Ada banyak bukti yang menunjukkan analisis tulisan tangan tak mampu nak meramal prestasi atau pencapaian kerja. Hasil tinjauan kajian-kajian yang telah dilaporkan, Driver, Buckley dan Frink (1996) menyimpulkan bahawa “graphology should not be used in a selection context”.  Kesimpulan ini bukan berdasarkan SATU kajian sahaja ya. Ada banyak kajian yang telah diteliti keputusannya. Secara keseluruhannya, grafologi tidak wajar dipakai.

(4) Central Intelligence Agency (CIA) di USA juga berminat dengan tajuk ini. Mereka mahu tahu sejauhmana tulisan tangan dapat diguna untuk memahami personaliti dan tingkah laku seseorang. Kalau boleh pakai, seronoklah CIA. Makin senang nak buat kerja-kerja perisikan. Dalam perpustakaan CIA, ada dijumpa satu laporan (dahulunya SECRET) yang telah dikelaskan sebagai bukan rahsia. Penulis laporan itu membuat kesimpulan bahawa "At the present time I do not consider the evidence for graphology as an assessment technique sufficiently impressive to include it in assessments.."

(5) Saya sendiri pernah meminta pelajar melakukan ujian tulisan tangan sebagai eksperimen dalam kursus di universiti. Hasilnya: peserta kajian tak boleh nak bezakan tulisan tangan perempuan dan lelaki. Kadar ‘tekaan’ yang betul tidaklah begitu memberangsangkan. Macam teka lambungan duit siling je. Kalau jantina penulis pun tidak dapat dikenalpasti dengan tepat, apatah lagi personalitinya.

Kesimpulan daripada jawapan panjang ini ialah: amalan grafologi untuk mengenali (apatahlagi meramal) personaliti adalah satu pseudopsikologi yang wajar ditinggalkan.

Gunakanlah kaedah-kaedah yang lebih sahih.

Rujukan tambahan

https://pdfs.semanticscholar.org/.../3afd31c55f87c2b1871a...

Driver, R. W., Ronald Buckley, M., & Frink, D. D. (1996). Should we write off graphology? International Journal of Selection and Assessment.

Rujukan tambahan

https://pdfs.semanticscholar.org/.../3afd31c55f87c2b1871a...

Driver, R. W., Ronald Buckley, M., & Frink, D. D. (1996). Should we write off graphology? International Journal of Selection and Assessment.


https://www.cia.gov/library/center-for-the-study-of-intelligence/kent-csi/vol3no3/html/v03i3a04p_0001.htm?fbclid=IwAR0un1UR3_5Mdks-BVDqIY1rFVNyXpqXe3Y0hx-tW6Xp1dLO8JEJE6wvfUY

Comments