Epistemisid

Dalam satu persidangan antrabangsa di Pulau Pinang (ARUPS-MIPC 2019), Prof Sath Cooper menyebut tentang epistemisid: pembunuhan sistem ilmu. Terkenang ucapan beliau, saya merenung apa yang berlaku di Malaysia. Adakah epistemisid sedang meleluasa di tanah air?
Bila orang diherdik dan diarahkan 'ikut saja' sesuatu isu fekah, adakah itu epistemisid?
Bila ada perdebatan, dan pendebat memberi pukulan maut (diikuti tanda pagar donetalking) untuk menamatkan debat secara pra-matang, adakah itu epistemisid?
Bila tesis calon PhD diluluskan secara pentadbiran dengan alasan 'ada tesis yang lebih teruk yang telah lulus', adakah itu epistemisid?
Bila makin ramai yang ghairah meneroka ilmu yang 'luas' (yang tidak ketahuan asal usulnya) dan pada masa yang sama menafikan ilmu wahyu dan warisan ulama, adakah itu epistemisid?
Tidak kurang juga yang bermotivasi menceduk ilmu tentang fitrah manusia disebabkan dorongan komersil. NLP, Law of Attraction, numerologi, grafologi, dan logi-logi lain yang tidak logikal diburu dan dibayar dengan harga yang mahal sebagai 'senjata' perniagaan. Kononnya dengan mengetahui 'rahsia personaliti di sebalik tulisan tangan' dapat menentukan bidang perniagaan yang sesuai. Atau dapat menentukan angka yang menjadi magnet rezeki melalui 'takdir' yang tersimpan dalam tarikh lahir.
Bila ada satu produk yang diilhamkan oleh kajian seorang pemenang hadiah Nobel, maka produk itu diiklankan dengan kata-kata bahwa ia dicipta oleh pemenang hadiah Nobel. Walhal, dia tidak terlibat pun dengan produk tersebut. Kajiannya juga tiada kait mengait secara langsung dengan produk yang dijaja. Kajiannya yang dianugerahkan hadia Nobel jauh skopnya daripada 'kajian' di belakang produk yang dimasukkan dalam pasaran. Para penjual produk menjadi terlalu ghairah mengherotkan ilmu sehingga menekupkan ilmu yang asal.
Epistemologi yang sahih dipinggirkan.
Logi-logi yang bermotifkan materialisma bercambah-cambah.


Penolakan ilmu sains dalam bentuk bantahan terhadap pandangan pakar (ubat malaria tidak terbukti ada kesan merawat COVID-19; tapi dia telan dan promosikan juga), gerakan anti-vaksin (menyanggah fakta-fakta vaksin dengan auta-auta yang dicipta sendiri), dan golongan yang menyuburkan rasa tidak percaya kepada doktor dan perkhidmatan kesihatan (woi.... mengapa makan ubat hospital? Ada racun tau tak?) mungkin adalah manifestasi epistemisid yang bergerak rancak di tanah air.
Dorongan komersil, hedonisma atau materialisma (nak bergambar dengan Mercedes kelas S hasil komisen jual produk) ibarat katalis kepada epistemisid. Sistem kapitalis yang tidak terkawal merancakkan hakisan keyakinan kepada ilmu yang sahih, objektif dan bertunjangkan Quran dan Sunnah.
Epistemisid bukan hanya tekanan barat terhadap warisan keilmuan Timur; bukan racun orientalis terhadap empayar Islam. Sekarang, kapitalisma yang buta warna kulit makin gagah atas tatangan media sosial.
Kapitalisma adalah tali gantung yang dijerutkan ke leher ilmu oleh individu yang terpesona dengan dunia.
=====
Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka."
Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.”
Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].

Comments