Kajian profesor memang semestinya betul ke?

Ada ejen syarikat jualan langsung promote tuala wanita yang guna teknologi bio-velocity (BV). Mungkin baik untuk kesihatan katanya. Lalu dia petik kajian profesor dari Rusia.
Bila saya baca artikel tu (https://www.scirp.org/journal/paperinformation.aspx…) , ada beberapa isu yang membuat saya sangat tidak yakin dengan apa yang ejen tersebut simpulkan tentang tuala wanita itu.


1. Kajian untuk 'membuktikan' kesan produk kepada fungsi dan kesihatan badan mestilah kajian yang mantap dari segi rekabentuk kajian, pengutipan data dan analisis data.
2. Rekabentuk eksperimental yang digunakan adalah satu rekabentuk yang baik. Ada 4 kumpulan eksperimental: (a) peserta diberitahu dengan benar mereka menggunakan bahan BV, dan (b) peserta diberitahu mereka menggunakan placebo (bahan biasa). Dua lagi kumpulan diberithu maklumat salah tentang rawatan yang diberikan. Pengukuran dibuat sebelum dan selepas rawatan yang berlangsung 30 minit.
3. Alangkah lebih baik jika ada kumpulan kawalan yang tidak berikan apa-apa rawatan. Kumpulan kawalan adalah antara ciri penting sesebuah eksperimen.
4. Dalam artikel berkenaan, tiada maklumat tentang peserta kajian kecuali julat umur mereka. Berapa ramai yang lelaki dan perempuan? Persamaan ciri-ciri responden dalam 4 kumpulan tidak diberikan. Sejauhmana kita boleh percaya bahawa kesemua 4 kumpulan tersebut 'sama' dari segi individu di dalamnya?
5. Tajuk artikel menyebut 'Process of Sleep'. Protokol eksperimental yang ditulis tidak menjelaskan peserta dibiarkan tidur atau tidak. Dalam masa 30 minit, peserta dibiarkan 'rest' sahaja. Berapa ramai yang tidur? Berapa ramai yang tidur-tidur ayam? Perbezaan antara rehat dan tidur adalah perbezaan yang sangat ketara. Kegagalan melaporkan hal ini boleh menjejaskan kesahan hasil kajian.
6. Ukuran keberkesanan yang digunakan agak pelik. Adakah eksperimen ini berkiblatkan ekologi? Kajian tidur? Bio-energy? Keberkenan produk BV diuji dengan (1) crownoscopy (2) tekanan darah, (3) ujian tahan nafas, dan (4) Luscher-Color-Diagnostic.
7. Carian di Web of Science menunjukkan hanya ada 1 artikel yang menggunakan Luscher-Color-Diagnostic dan 0 (ya, kosong) artikel yang menggunakan crownscopy. Justeru, saya ragu dengan kesahihan apa yang diukur ini.
8. Perkaitan ukuran-ukuran ini dengan proses tidur tidak dinyatakan.
9. Analisis statistik yang digunakan ialah ujian t. Jenis ujian t yang digunakan tidak dinyatakan. Saya andaikan pengkaji menggunakan ujian t untuk melihat perbezaan skor 'sebelum dan selepas' secara berasingan bagi setiap kumpulan. Malangnya, satu nilai t pun tidak kelihatan dalam artikel ini. Nilai min dan sisihan piawai atau ralat piawai bagi setiap ukuran pun tidak diberi. Yang ada hanyalah nilai berkenaan perubahan (changes).
10. Jika itu tidak cukup pelik, pengkaji melaporkan keputusan seperti "Group 1 is statistically significantly different from Group 4 and Group 2 by this parameter (P < 0.01)." Ujian apa yang digunakan untuk membandingkan kumpulan-kumpulan yang lebih daripada 2 ni? Jika ujian t yang digunakan, maka ia adalah ujian yang tidak sesuai. Saya tak boleh terima keputusan statistik sebegini (tiada nama ujian, tiada statistik ujian...tiba-tiba ada nilai p sahaja) walaupun penulisnya berstatus professor.
11. Pembentangan keputusan eksperimen ini agak mencabar untuk difahami. Maklumatnya tidak cukup. Saya tertarik denan ayat ini: "...after relaxation the values of Mental fatigue, Mental tension, Anxiety, Emotional stress, Total deviation are decreasing in all cases." Maksudnya, tanpa rawatan BV pun, skor akan menurun. Jadi, di mana sebenarnya bukti BV berkesan.
12. Kajian tersebut diterbitkan dalam Open Journal of Ecology. Kaitan kajian yang dilaporkan dengan ekologi tidak begitu jelas. Kalau sekadar sebagai penerbitan, ia ok. Tapi kalau nak digunakan sebagai bukti saintifik dalam aktiviti pemasaran, saya kurang yakin. Ibarat mencari bukti keberkesanan modul kaunseling dalam jurnal kimia. Apa kaitannya? Kena tunjukkan dengan jelas.
13. Open Journal of Ecology dimasukkan dalam senarai "Potential, possible, or probable predatory scholarly open-access publishers https://archive.fo/6EByy Seorang pakar ekologi, Daniel Hocking meletakkan status 'predatory' ke atas jurnal ini https://danieljhocking.wordpress.com/links/oa-journals/. Maksudnya, pembaca perlu berhati-hati dengan artikel yang diterbitkan dalam jurnal tersebut. Mungkin ada unsur bayar-untuk-terbit; kesahihan dan mutu artikel dalam jurnal perlu dinilai secara kritikal lebih daripada jurnal yang muktabar.
14. Penulis kedua artikel itu menggunakan afiliasi BAE (Bio-Active Energy) yang memasarkan pelbagai produk pengguna. Pernyataan 'conflict of interest' perlu disertakan. Jurnal muktabar sudah tentu mengambil kira kepentingan komersil penulis dalam penerbitan ini.
15. Dalam ruangan 'acknowledgement', staf syarikat Hai-O Enterprise Bhd diberi kredit. Ini juga satu bentuk konflik kepentingan. Jika Hai-O menaja kajian ini, peer review yang lebih ketat perlu diamalkan.
Banyak lagi yang boleh dipertikaikan tentang artikel ini. Tapi, bila framework yang digunakannya kurang jelas, teorinya juga kurang jelas, maka artikel seperti ini sememangnya tidak wajar dijadikan sandaran bukti aktiviti pemasaran.
Saya tahu ada bekas pelajar psikologi UIA yang bergiat aktif dalam Hai-O. Saya harap mereka mampu melihat kegiatan pemasaran serta claims tentang produk Hai-O dengan lebih kritikal. Jangan sia-siakan ilmu Research Methodology dan Statistics yang dah dipelajari dulu.
Sebagai penutup, saya nak beri punchline untuk posting ni. Ingat lagi ejen yang saya sebut di awal tadi? Dia mempromosikan tuala wanita. Tapi eksperimen yang dia petik adalah tentang tilam.
Rasa nak tutup muka dengan selimut dengar hujah macam ni.

Comments