Persepsi Haq dan Batil

اللهم أرنا الحق حقاً وارزقنا اتباعه وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه
"Ya Allah, tampakkanlah kepada kami yang benar itu sebuah kebenaran dan berikan rizki kepada kami untuk mengikutinya. Tampakkanlah kepada kami yang batil itu sebuah kebatilan dan berikan rizki kepada kami agar menjauhinya."
Refleksi peribadi tentang doa ini:
1. Manusia akan dihadapkan dengan pelbagai makhluk, idea, maklumat, produk dan bermaca-macam stimulus (ini bahasa psikologi). Stimulus ini akan diterima oleh sistem deria (proses sensasi) dan seterusnya disusun, diproses sehingga menghasilkan tafsiran (proses persepsi).
2. Manusia telah dianugerahkan dengan keupayaan penderiaan (dan hati untuk mempersepsi?). Penciptaan sistem deria ini selari dengan tujuan penciptaan manusia itu sendiri iaitu menghambakan diri kepada Allah swt. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita dituntut untuk bersyukur dengan sistem deria yang kita miliki.
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".
(Al-Mulk 67:23)
3. Secara fitrahnya, manusia mampu membuat pilihan yang baik dan pilihan yang buruk.
"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa"
(Asy-Syams 91:7&8)
Dalam kata lain, manusia boleh memilih untuk bersyukur, dan boleh memilih untuk ingkar atau kufur atas nikmat yang diberi.
4. Dalam doa di atas, kita digalakkan untuk memohon sensasi dan persepsi yang membawa kita kepada tingkah laku bersyukur. Bukan sahaja kita memohon kepada Allah swt untuk mendapat persepsi yang betul, kita juga memohon kekuatan menghasilkan tingkah laku yang betul berdasarkan persepsi yang betul itu.
5. Dalam doa itu juga, kita secara jelas memohon untuk berupaya melihat apa-apa yang salah sebagai satu kesalahan. Kita tidak mahu dikelirukan dengan sesuatu yang kelihatan betul, tapi sebenarnya ia salah. Lebih buruk lagi, kita tidak mahu berbuat sesuatu yang salah.
6. Seolah-olah tidak cukup kita meminta sesuatu yang betul; kita juga meminta terhindar dari sesuatu yang salah. Dalam konteks menuntut ilmu, kita perlu tahu ilmu yang betul, dan kena tahu juga ilmu yang salah. Sebagai contoh, ilmu frenologi ('membaca' personaliti berdasarkan permukaan kepala) sudah tidak diterima sebagai ilmu yang sah dalam psikologi. Pelajar psikologi perlu tahu tentang ilmu ini, perlu berupaya memandangnya sebagai ilmu yang batil (ini hukum jumhur ulama psikologi ya), dan perlu berusaha mengelak dari mengamalkan ilmu ini.
Tidak semua yang kita dapat melalui pembelajaran, mimpi, ilham atau mana-mana punca ilmu (istilah falsafahnya ialah epistemologi - sistem ilmu) boleh diamalkan dan diraikan. Kita perlu berpegang pada alQuran dan Sunnah dalam menuntut ilmu. Ilmu kemanusiaan pula perlu diteliti secara sistematik dengan disiplin tertentu mengikut bidangnya.
Dengan adanya kayu ukur dan piawaian ilmu yang jelas, maka barulah kita lebih berupaya melihat yang haq, yang batil, dan membezakan antara kedua-duanya.
7. Penggunaan perkataan 'rezeki' dalam doa itu menarik pada fikiran saya. Kelihatannya, tingkah laku yang baik adalah satu bentuk rezeki juga. Buat tindakan yang baik adalah satu bentuk rezeki. Menahan diri daripada perkara yang tidak baik adalah satu bentuk rezeki juga. Kedua-duanya adalah rezeki yang patut kita syukuri.
Mudah-mudahan tingkah laku kita adalah baik dan selaras dengan pemikiran yang baik

Comments