PhD dan Hati

Perjalanan menuju PhD, selain menajamkan akal, ia juga melembutkan hati.

Saya setuju dengan pendapat bahawa ilmu ialah maklumat yang berkesan di hati. Jika telah tamat pengajian bertahun-tahun, tapi hati masih di takuk lama, maka mungkin saja hanya maklumat yang dikumpul. Sarjana bukan hanya pakar mengumpul maklumat. Sarjana dan ulama dibentuk oleh ilmunya. Seperti kata-kata yang disangkutkan kepada Saidina Ali r.a., harta dunia kita yang menjaganya. Tapi, kalau kita berilmu, ilmu itulah yang menjaga kita.

Maka, dalam keghairahan golongan tertentu membeli dan mencetak ijazah tinggi, dan memakai gelaran 'Dr', saya tertanya di manakah nilai ilmu di mata mereka. Hati yang lembut dan bersih tidak akan tergamak menipu untuk bermegah dengan ijazah palsu.

Hati yang bersih dan lembut juga tidak akan tergamak melalui jalan pintas yang tidak membentuk kesarjanaan. Upah orang lain tulis tesis, upah orang buat analisis data (tanpa langsung peduli apa analisis yang dibuat), plagiat, tipu atau mereka-reka data ..... 'dosa' akademik ini tidak selari dengan transformasi hati yang sepatutnya mendasari perjalanan PhD.

Comments