Sepenanak Nasi

Dalam penulisan akademik, sangat penting untuk menggunakan unit pengukuran yang jelas dan piawai (standard) terutamanya dalam melaporkan kajian. Bayangkan satu kajian yang melibatkan intervensi untuk meningkatkan kecerdasan emosi. Penulis kajian itu melaporkan bahawa intervensi tersebut berlangsung dalam tempoh dua penanak nasi.
Ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi tempoh sepenanak nasi. Contohnya:
1) beras perang memerlukan lebih masa untuk dimasak. 
2) periuk bertekanan tinggi akan mempercepatkan proses masakan
3) kekuatan api yang digunakan sudah tentu turut mempengaruhi
4) fikirkan juga jumlah nasi yang dimasak. 4 cawan berbanding 1 cawan, tentu berbeza masanya.
5) pakai dapur gas, letrik atau kayu api?
6) kalau tukang masak kurang kemahiran guna dapur kayu, memang lama makan asaplah.
6) kalau tukang masak jenis pelupa pula, pakai periuk letrik pun mungkin ambil masa lama untuk memasak. Pernah jenguk periuk dan tengok ia masih sejuk? Lupa nak tekan suis, kan?
7) tekanan atmosfera dan altitud juga boleh mempengaruhi. Walaupun suhu didih lebih rendah (air mendidih lebih cepat), tapi tempoh untuk memasak (pendedahan terhadap suhu tinggi) akan mengambil masa lebih lama.
Dalam penulisan saintifik, unit piawai lebih diutamakan. Dalam perbualan seharian, unit 'sepenanak nasi' boleh dipakai. Terutamanya yang suka memegang janji Melayu.
Nanti saya update lagi. Dalam sepenanak nasi.

Comments