Friday, November 13, 2015

SSP: Untaian Rindu

Air di kolam nampak rata
di cucur atap hujan menitik
hati di dalam meronta-ronta
ingin menatap wajah adik

Panjang rupanya seberang titi
belum dicuba elokkah lantainya
lama rasanya abang menanti
adik tiba bilakah masanya

Bila memakai kain batik
paras yang cantik semakin ayu
bila mendengar suara adik
hati yang rindu menjadi sayu

Rotan apa tidak berduri
payah pula untuk diregang
tangan hamba tidak berjari
hati adik tak dapat dipegang

Gunung tinggi hendak ditawan
kaki tersadung melangkah perdu
mengharap hujan dikandung awan
pipi basah menanggung rindu

Ke jeram mencari sunyi
ke laut mencari tenang
kasih dicari mana sembunyi
hanya memeluk bayang-bayang 

Apa guna berladang sirih
tidak berpinang tidak berpuan
apa guna menjunjung kasih
tangan menepuk tiada sambutan

Patah kayu dinding perigi
langsung roboh tidak terganti
kasih layu tak kembang lagi
hilang harum jambangan hati


No comments: