Memukul Isu Rumit dengan Hujah Simplistik

 Statistik rekaan (untuk buat contoh).

Di negara K, pada tahun 2020, kematian keseluruhan yang direkodkan ialah 150,000. Kematian disebabkan Covid-19 hanyalah 400. Kesimpulan: Covid-19 bukanlah satu darurat yang perlu diberi perhatian serius.



=========
Untuk membuat kesimpulan berdasarkan nombor (statistik), elok dibina dulu hipotesisnya dan ditulis andaian-andaiannya. Kerangka pemikiran untuk mentafsir dan memahami nombor berkenaan perlu jelas. Tanpa kerangka, agak sukar untuk diterima sebarang kesimpulan kerana sukar untuk memberi makna kepada nombor-nombor berkenaan.
Di negara X, bilangan kuda peliharaan ialah 5,000 manakala bilangan kucing peliharaan ialah 50,000.
Kesimpulan: Penduduk negara X lebih sukakan kucing.
Chuuuuup.
Ada kelemahan ketara dalam kesimpulan ini. Kita kena semak andaian (assumption) di sebalik kesimpulan itu. Nampaknya, penulis membuat andaian bahawa JUMLAH haiwan peliharaan mencerminkan kesukaan terhadap haiwan. Bolehkah diterima andaian ini? Bagaimana dengan KOS memelihara haiwan. Di kebanyakan negara, kos membela kuda jauh lebih mahal berbanding membela kucing. Jika kesemua rakyat mempunyai kemampuan yang sama, maka barulah andaian itu lebih realistik dan boleh diterima.
Contoh kedua.
Di negara Q, bilangan penduduk berkulit putih dan kulit hitam ialah 70% dan 30%. Tetapi, bilangan banduan di penjara adalah 70% kulit hitam dan 30% kulit putih.
Kesimpulan: Penduduk kulit hitam lebih cenderung melakukan jenayah.
Chuuuuuup.
Andaian utama dalam kesimpulan itu ialah sistem perundangan tidak ada bias langsung. Kena tengok juga kecenderungan (bias) sistem perundangan dalam pertuduhan dan penghakiman.
Kesimpulan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya berdasarkan angka semata-mata. Cerita di sebalik angka itu perlu disingkap untuk memahaminya. Dalam kursus seperti Kaedah Penyelidikan dan Statistik, pelajar dilatih kemahiran berhujah menggunakan data / nombor.
Apa andaian tentang statistik Covid-19 tadi?
- darurat ditentukan oleh jumlah kes kematian semata-mata
- peratusan punca kematian yang sedikit boleh diabaikan
Sejauh mana kita boleh terima andaian ini? Bagaimana dengan yang berikut?
- semudah mana jangkitan akan berlaku
- jumlah pesakit yang perlu mendapat rawatan di hospital
- tempoh rawatan di hospital
- bilangan petugas kesihatan yang terlibat membuat saringan dan rawatan
- kesan SOP berkaitan Covid-19 ke atas penyakit berjangkit lain
- kecukupan peralatan untuk merawat pesakit Covid-19
- kesan psikologikal terhadap pesakit yang perlu melalui isolasi dan ahli keluarga mereka
- kesan Covid-19 terhadap kesihatan jangka panjang
Darurat adalah satu isu yang rumit (kompleks). Ia tidak sesuai dipukul dengan hujah yang simplistik.

Comments