MIMPI atau Igauan Ngeri?

 Apabila Multidimensional Inventory of Machiavellian Personal Impulsivity (MIMPI) dibangunkan, ia direka dengan 3 dimensi: manipulatif, kekejaman, dan pengabaian moral. Setiap dimensi diwakili 10 item. Dimensi-dimensi ini bersatu membentuk gagasan yang hendak digunakan bagi manfaat rakyat Malaysia.


Bagi pembangun MIMPI, harapannya ialah setiap item duduk baik-baik. Dengan penilaian daripada pakar bidang, setiap item telah diamanahkan untuk berada dalam dimensi masing-masing. Pakar-pakar merasakan item-item itu jelas, relevan dan sesuai bagi dimensi mereka.

Item-item itu melalui ujian awal iaitu cognitive debriefing interview. Untuk memberi keadilan, wakil setiap negeri telah dipilih. Setelah diuji, didapati sampel rakyat Malaysia boleh faham item-item dan dimensi yang diwakili. Laras bahasanya bersifat marhaen. Responden juga boleh nampak bagaimana setiap item dikaitkan dengan dimensi yang tiga itu.

Dalam interview tersebut, responden diajak berinteraksi dan mereka bebas untuk memberi respon "um .... yes" ataupun "um...no" kepada soalan "faham ke tak?" Mereka digalakkan untuk memberi respon secara jujur dan ikhlas. Juru temubual akan mengucapkan "#maluApaRespondenku" bagi memberi motivasi untuk bertanya apa-apa soalan yang bersarang di benak mereka. Setelah item dimurnikan berdasarkan maklum balas responden, maka makin bekobar-kobarlah semangat pembangun MIMPI untuk menghasilkan instrumen yang boleh dijadikan warisan negara.

Tiba masanya untuk ujian pada skala yang lebih besar, MIMPI ditadbir kepada lebih ramai responden. Menerusi Exploratory Factor Analysis (EFA), faktor-faktor cuba ditarik daripada data. Setelah melalui EFA, dimensi dikenali sebagai faktor. Malangnya, ada item yang dahulunya duduk di dalam Kejam telah melompat masuk ke Manipulatif: nilai loading di Manipulatif lebih tinggi berbanding nilai loading di Kejam. Dan ada item Pengabaian Moral masuk pula ke faktor Kejam dan begitu juga sebaliknya. Jadi, sekarang ada 3 faktor yang diwakili item daripada setiap dimensi asal. Ada penganalisis yang memberi pendapat bahawa fenomena ini menandakan kematangan responden yang memangkah pilihan jawapan. Ada yang mengatakan fenomena ini wajar dihentikan. Yang pasti, fenomena seperti ini tidak sedap.



Bila item Kejam, Manipulatif dan Pengabaian Moral bercampur aduk di dalam satu faktor, maka rakyat bingung untuk memahamkan apakah dimensi yang diwakili. Emosi mereka turut berpecah-pecah. Ada yang re-sah; ada yang pas-rah. Perlukan MIMPI dibawa semula ke meja rundingan? Perlukah dibubarkan semua item untuk memberi laluan kepada item baharu? MIMPI telah menjadi igauan ngeri.

Item gagal bersatu.
Dimensi yang bercampur aduk tidak menegakkan keadilan dalam pengukuran.
Warisan yang diharap-harapkan telah terencat.
Amanah yang dititipkan pakar telah terbakar.

Bilakah rakyat akan terjaga dari MIMPI ini?

Comments