CLO Kelapa vs Sakura

 Menulis Hasil Pembelajaran Kursus (CLO- Course Learning Outcome) boleh membantu pembentukan pentaksiran pembelajaran. Antara yang dicadangkan sebagai isi CLO ialah (1) kata kerja (2) isi subjek (3) tahap pencapaian, dan (4) latar atau konteks pencapaian.


Contoh 1:

Selepas mengikuti kursus ini, pelajar dapat mengenalpasti jenis-jenis statistik deskriptif.

CLO ini menggunakan kata kerja 'mengenalpasti' dan 'statistik deskriptif' sebagai isi subjek. Tahap dan konteks pencapaian tidak menjadi elemen wajib.

Cumanya, jika dimasukkan kedua-dua elemen pilihan ini, saya fikir ia akan memberi maklumat tambahan tentang darjah kesukaran sesuatu kata kerja. Pada saya, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada klasifikasi kata kerja mengikut taksonomi Bloom dalam menilai kesesuaian kata kerja yang digunakan dalam CLO.

Contoh 2.
Selepas mengikuti kursus ini, pelajar dapat mengenalpasti jenis-jenis statistik deskriptif secara konsisten (yakni tidak rawak) daripada senarai statistik.

Contoh 3.
Selepas mengikuti kursus ini, pelajar dapat mengenalpasti jenis-jenis statistik deskriptif secara konsisten (yakni tidak rawak) daripada sebuah artikel jurnal.

Adakah CLO 2 sama mudah dengan CLO 3? Dan adakah CLO2 sama mudah dengan CLO 1? Walaupun kata kerja 'mengenalpasti' digunakan dalam ketiga-tiga CLO, saya berpendapat konteks serta tahap pencapaian perlu diambil kira dalam menilai darjah kesukaran sesuatu CLO.

Contoh 4.
Selepas mengikuti kursus ini, pelajar dapat menerangkan pertimbangan pemilihan ujian-t dan ANOVA sehala.

Kata kerja 'menerangkan' selalu dikaitkan dengan aras kognitif yang rendah. Jika pertimbangan pemilihan ujian statistik memang dibentangkan dalam pembelajaran, makan CLO ini melibatkan daya kognitif 'mengingat'.

Contoh 5.
Selepas mengikuti kursus ini, pelajar dapat menerangkan pertimbangan ujian-t dan ANOVA sehala berdasarkan reka bentuk kajian yang diberi.

Adakah CLO 5 sama mudah dengan CLO 6? Pelajar tidak didedahkan dengan reka bentuk kajian yang diguna dalam pentaksiran. Mereka tidak pernah melihatnya. Jadi, mereka perlu memerah otak untuk memahami dan kemudiannya memadankan rekabentuk kajian dengan ujian statistik yang sesuai. Satu tugasan seperti ini mungkin melibatkan berberapa sub-tugasan kognitif.

Contoh 6
Selepas mengikuti kursus ini, pelajar dapat merekabentuk satu kajian eksperimental berdasarkan objektif kajian yang diberi.

Wow. 'Merekabentuk'. Kata kerja aras tertinggi tu. Benarkah? Masihkah ia di aras tinggi jika cikgu dah beri contoh rekabentuk kajian berdasarkan objektif kajian di dalam kelas? Aras tinggi atau aras rendah? Pentaksiran ini hendak menguji keupayaan merekabentuk atau mengingat?

Dalam satu perbincangan dengan seorang guru sekolah menengah, saya agak terkejut apabila guru tersebut 'merungut' tentang soalan KBAT yang keluar dalam peperiksaan. "Kami ajar murid guna contoh pokok kelapa. Sekali yang keluar dalam exam pokok sakura!"

Saya dapat rasakan kekecewaan guru yang telah melatih murid-murid menghafal contoh jawapan berdasarkan soalan tentang pokok kelapa. Dan murid kemudiannya mengatakan mereka tidak bersedia untuk menjawab soalan tentang pokok sakura. Saya sendiri lebih kecewa kerana pentaksiran aras tinggi dimanipulasikan sehingga menjadi pentaksiran aras rendah. Tabiat 'spot' soalan melarikan fokus daripada kemahiran berfikir yang sepatutnya dibina dan disuburkan.

Jadi, perlukah kita menolak CLO hanya berdasarkan kata kerja yang digunakan? Memilih kata kerja mengikut klasifikasi taksonomi Bloom tidak patut dibuat secara rigid dan memaksakan penggunaan kata kerja 'aras tinggi' sehingga menghasilkan CLO yang jelik dan pelik.

Wallahu a'lam.


Comments