Periuk Sarjana

 Sebagai contoh la ya..... katakan seorang budak perempuan umur 5 tahun nak ambil hati mak dia. Dia pun masakkan nasi seperiuk. Bila tengok nasi dimasak dengan elok, mak dia pun puji. Dia suka hati, mak dia pun suka hati; walaupun ada nasi sahaja dan tak ada lauk apa-apa pun. Dapat masak nasi seperiuk tu dah cukup

hebat
untuk budak tahap umur dia.
Bila dah besar dan nak berlaki, gadis ni nak ambil hati bakal mak mentua pulak. Maka dia jemput bakal mak mentua dia makan nasi. Dia masak nasi 3 periuk. Lauk tak ada satu pun. Agak-agak, bakal mak mentua dia impressed tak?
Gadis ni boleh claim: dulu saya masak seperiuk, tapi sekarang dah boleh masak 3 periuk. Saya dah lebih hebat berbanding saya masa berumur 5 tahun.
Mak mentua dia pulak boleh cakap: masa kau umur 5 tahun, ada orang lain nak beri keluarga kau makan minum. Sekarang kau nak bina keluarga sendiri. Kemahiran memasak tu mestilah setaraf dengan keperluan dan cabaran orang berkeluarga. Kau tak boleh nak harapkan emak untuk memasak; kau kena berdikari. Tak kan tiap-tiap hari nak makan nasi semata-mata.


Senario di atas ni bukan untuk mengukuhkan peranan gender stereotipikal ya. Ini hanyalah contoh untuk membandingkan dua contoh kajian berikut.
Pelajar sarjana muda buat kajian korelasi antara efikasi kendiri guru dengan kualiti bahan pentaksiran dalam kelas. Sampel kajian beliau adalah 80 orang guru. Saiz sampel tu dianggap cukup la untuk tahap sarjana muda.
Seorang pelajar sarjana pula buat kajian yang sama, tapi sampelnya 300 orang guru. Wah! Adakah kajiannya lebih hebat? Adakah saiz sampel yang lebih besar telah mengujinya sebagai calon sarjana? Bagaimana dengan permasalahan kajian, objektif kajian, dan hipotesis yang diuji? Jika sama sahaja dengan apa yang pelajar sarjana muda buat, maka saya cenderung mengatakan pelajar ini tidak teruji kesarjanaannya. Walaupun saiz sampelnya mencecah 800 orang, analisisnya masih terbatas kepada korelasi.
Semakin tinggi pengajian, semakin tinggi aras pemikiran dan sumbangan yang diharapkan kepada bidang ilmu. Sarjana bukan sekadar mengisi bahan yang sama dalam periuk yang berbeza; tapi mampu mencari bahan lain untuk dihidangkan.

Comments