Fiqh Psikometri


Saya mengimpikan usul fiqh digunakan untuk menghasilkan fiqh psikometri. Keinginan ini terbit, antaranya, disebabkan kerisauan tentang pseudopsikologi yang melibatkan ujian-ujian psikologi. Malah, ada pertanyaan daripada netizen tentang ‘kehalalan’ ujian personaliti: adakah ia bersifat ‘menilik nasib’? Persoalan seperti ini memerlukan lensa turath untuk menilai amalan psikometri.
Secara tentatif, cuba kita bayangkan senario berikut:
1. Ada seorang hamba Allah yang mengaku kaunselor mempromosi ujian karakter yang menggunakan tarikh lahir. Katanya, asas kepada ujian tersebut ialah numerologi yang didakwa mampu mengetahui “the knowledge of the future”.
Untuk ujian sebegini, fuqaha bidang akidah dan psikometri boleh berbincang tentang sifat ilmu yang mendasari ujian karakter tersebut. Kaedah ‘ramalan masa depan’ berkenaan boleh dinilai mengikut pembezaan ghaib nisbi atau ghaib mutlak.
Jika ia melibatkan ghaib nisbi, maka hukum penggunaan ujian karakter itu harus. Tapi jika ia melibatkan ghaib mutlak, makan penggunaannya boleh dikategorikan sebagai haram.
2. Ada seorang motivator yang mempromosikan ujian personaliti berbayar. Jika maklumat tentang kesahan ujian ini tidak ada, maka hukum menggunakan ujian itu boleh jadi makruh.
Jika ada bukti bahawa orang yang mengambil ujian berkenaan mendapat mudarat emosi dan psikologi, maka hukum makruh boleh bertukar kepada haram.
Sebaliknya, jika ada maklumat yang jelas tentang kesahan dan kebaikan ujian itu, makan hukumnya bertukar daripada makruh kepada harus.
Yang penting daripada contoh di atas bukanlah hukumnya, tapi pertimbangan serta pembuktian yang diperlukan untuk membuat keputusan. Ahli psikometri boleh membantu ulama dan mufti meneliti ciri-ciri serta hujah psikometri bagi sesuatu alat ujian psikologi. Saintis dan doktor telah mengemukakan bukti kemudaratan rokok sehingga mufti bersetuju menukar hukum harus kepada haram. Maka, sebegitu juga harapannya bagi bidang psikometri.

Comments