Refleksi Tasir: Surah al-Mulk Ayat 4



ثُمَّ ارجِعِ البَصَرَ كَرَّتَينِ يَنقَلِب إِلَيكَ البَصَرُ خاسِئًا وَهُوَ حَسيرٌ

Sahih International
Then return [your] vision twice again. [Your] vision will return to you humbled while it is fatigued.

Bahasa Melayu
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan balik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

1. Ayat 4 mengulang seruan dan cabaran dalam ayat 3. Perkataan ثُمَّ menandakan kita perlu ‘pulangkan’ pandangan kita ke langit berkali-kali (كَرَّتَينِ). Seperti dinyatakan dalam refleksi ayat pertama, perbuatan yang diulang-ulang akan meneguhkan kaitan antara stimulus dan respons. Dalam ayat ini, kita diminta melazimkan melihat langit (satu set stimulus yang besar) dan memikirkan kebesaran Allah swt (respon emosi dan kognitif).
2. Apa yang kita dapat daripada memerhatikan langit? Perkataan يَنْقَلِبْ. dibezakan maksudnya daripada رجِعِ . Kita ‘memulangkan’ (رجِعِ ) pandangan kepada langit dari arah yang biasa, tetapi pandangan itu dipulangkan (يَنْقَلِبْ ) semula atau dipantulkan dengan cara berbeza. Kefahaman kita terhadap alam dan ketuhanan boleh berubah.

Hal ini seolah-olah memberitahu bahawa proses persepsi dan kognitif akan sentiasa melalui modifikasi setiap kali kita bertafakur atau memerhatikan ayat-ayat Allah swt seperti langit, bintang dan bulan. Dalam kata metaforikal, dan juga mungkin secara literal, saraf-saraf otak akan mengalami perubahan apabila kita melalui proses kognisi beragama. Sebagai contoh, perubahan pada perhubungan antara saraf dikaitkan dengan proses pembelajaran. Bahkan, proses pembelajaran itu sendiri dimaksudkan sebagai perubahan tingkah laku disebabkan oleh pengalaman. Di peringkat saraf, perubahan tingkah laku boleh berlaku apabila ada saraf baru yang terbina, atau wujud hubungan-hubungan baharu antara saraf. Tidak keterlaluan jika dikatakan kognisi keagamaan bersifat konstruktif dari segi sensasi, persepsi, dan memori jangka panjang.

3. Perkataan خاسِئًا membawa konotasi hina yakni pandangan (pantulan) akan pulang kepada kita dalam keadaan hina. Dalam keadaan biasa, manusia cenderung terhadap maklumat yang mengesahkan pendapatnya yang telah sedia wujud. Confirmation bias berlaku dalam banyak keadaan. Sebagai contoh, orang yang percaya kepada Law of Attraction, mereka akan melihat testimoni positif amalan LoA (atau Magnet Rezeki) untuk mengukuhkan kepercayaan mereka. Tetapi mereka tidak pula memberi perhatian kepada testimoni yang sebaliknya. Kecenderungan memilih bukti dan maklumat yang mesra dengan pendapat sendiri adalah sesuatu yang sering berlaku.

Ayat 4 ini seolah-olah memberitahu bahawa confirmation (‘ada kecacatan dalam ciptaan Allah swt) tidak akan berlaku. Bahkan, kita akan terasa terhina apabila gagal menemui kecacatan itu. Ramai orang yang ‘berdegil’ dengan confirmation bias mereka kerana ia sesuatu yang membuat mereka rasa selesa; conformation bias membelai pegangan dan ego mereka. Sebagai perbandingan, dalam hal kognisi beragama, Allah swt seolah-olah menjamin bahawa kita akan berdepan, mahu tak mahu, dengan rasa malu; ego kita akan tercabar sesuai dengan konotasi perkataan خاسِئًا.

4. Sudahlah ego kita tercabar, pemikiran kita juga akan terasa penat (حَسيرٌ). Apabila berkali-kali gagal menolak hipotesis tentang kesempurnaan ciptaan Allah swt, kita mengalami kepenatan. Mungkin boleh diperkenalkan istilah disconfirmation tiredness untuk dikontraskan dengan kepuasan daripada confirmation bias. Bias yang berpusatkan pengalaman manusia mungkin membawa kita mempersoalkan kecacatan atau kekurangan yang kita lihat dengan pemikiran kemanusiaan yang terhad.

Sebagai contoh, ada yang bertanya: Jika Tuhan betul-betul Maha Mengasihani, mengapa ada kanak-kanak tidak berdosa yang mengalami penyakit kritikal seperti kanser? Ataupun ada yang mempersoalkan mengapa Tuhan membiarkan pandemik dan peperangan merosakkan kehidupan manusia. Sekali imbas, soalan-soalan ini kelihatan menyanggah kesempurnaan ciptaan-ciptaan Allah. Ia menghadkan ciptaan Allah kepada apa yang kita mampu lihat sahaja. Untuk menilai kesempurnaan ciptaannya, kita perlu keluar daripada kerangka anthropormophism: menerangkan hal makhluk lain atau peristiwa dengan ciri-ciri manusia (cth: pandemik ialah satu balas dendam alam semula jadi ke atas kerosakan yang dilakukan manusia).

Jika kita bersifat lebih adil, kita akan dapat melihat pincangnya hujah-hujah kita. Confirmation bias yang menjadi ‘tongkat’ selesa kita sebenarnya bukanlah satu sokongan kognitif yang kukuh. Untuk mengelak daripada fenomena disconfirmation tiredness, eloklah kita menerima tesis besar dalam perenggan makro pertama surah alMulk iaitu tiada kekurangan dalam ciptaan Allah swt.

#RTPP

Comments