Wanita dan Testosterone

 Adakah wanita bujang yang independent akan mengalami peningkatan hormon testosterone?

Sedikit ulasan kajian yang dilaporkan dalam artikel bertajuk: Marriage and motherhood are associated with lower testosterone concentrations in women (Berret et al, 2003).
1. Kajian ini menggunakan rekabentuk perkaitan (association) dengan analisis statistik regresi pelbagai. Ia tidak cukup untuk menjadi hujah hubungan kausal (sebab-akibat). Adakah tahap testosterone mempengaruhi keputusan untuk berkahwin; atau keputusan untuk berkahwin mempengaruhi tahap testosterone?
2. Keputusan kajian menunjukkan perkahwinan dan beranak dikaitkan dengan tahap testosterone yang lebih rendah. Secara lebih spesifik, model regresi menunjukkan bahawa mempunyai anak di bawah tiga tahun lebih signifikan perkaitannya dengan tahap testosterone yang lebih rendah.
Kenyataan pengkaji bahawa "there is a trend towards marriage being associated with lower testosterone levels as well (p = 0.10)" adalah berdasarkan nilai signifikan yang kurang konservatif. Tahap 5% lebih kerap digunakan berbanding 10%. Bagi pengkaji yang lebih cenderung menggunakan aras signifikan yang lebih konservatif (tambahan pula ada banyak pembolehubah peramal), p=.10 sukar diterima sebagai bukti hubungan yang signifikan. Mungkin kajian dalam bidang ini cenderung menggunakan nilai p yang lebih besar.
Yang jelas, dapatan kajian ini bukan satu hujah untuk mengatakan 'perempuan yang tinggi cita-cita dan bersaing dengan lelaki akan mendapat tahap testosterone yang lebih tinggi. Kelihatan seperti faktor mempunyai anak lebih penting daripada status perkahwinan dalam menerangkan tahap testosterone.
2. Kajian ini tidak menggunakan rekabentuk pre and post test. Tahap testosterone tidak diukur sebelum dan selepas wanita berkahwin. Maka kita tidak mengetahui apakah wanita yang berkahwin akan mengalami penurunan tahap testosteron. Data perbandingan yang diberikan dalam kajian ini menunjukkan ia sesuatu yang mungkin berlaku. Tapi, untuk menerima hipotesis ini, rekabentuk kajian yang lebih sesuai perlu digunakan.
Jikapun ada bukti penurunan tahap testosterone, ia tidak boleh dikaitkan dengan perbuatan tunjuk pandai, tunjuk kuat atau tunjuk berani.
3. Kajian ini melaporkan bahawa dalam kajian-kajian lepas, "fatherhood is frequently, though not always, associated with lower testosterone levels". Uiiik! Lelaki pun mengalami penurunan testosterone selepas berkahwin? (Eh... lepas dapat anak la). Adakah lelaki yang rendah testosterone lebih 'berjaya' berkahwin berbanding lelaki yang tinggi testosterone? Adakah lelaki bujang yang mengejar cita-cita dan kerjaya juga mengalami kenaikan tahap testosterone? Apakah teori yang boleh menjelaskan dapatan kajian ini?


Ahli psikologi, khususnya psikologi gender, mungkin menggunakan istilah 'gender role nonconformity' untuk merujuk kepada wanita yang berkelakuan seperti lelaki. Wanita yang berkelakuan mengikut 'norma kewanitaan' akan dipandang sebagai feminin; jika sebaliknya, dia dipandang sebagai maskulin.
Namun, istilah 'conformity' itu sendiri perlu ditafsir mengikut budaya dan amalan setempat. Di kala kerajaan menggalakkan penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan di peringkat parlimen, agensi kerajaan, GLC dan syarikat korporat besar, apakah jangkaan masyarakat terhadap tingkah laku inovatif, kompetitif, dan berani dalam kalangan wanita bekerjaya? Apakah sifat-sifat ini dianggap mengurangkan nilai feminin?
Nota kaki:
Saya mengulas artikel ini lebih berdasarkan kefahaman saya terhadap rekabentuk kajian dan analisis statistik yang digunakan.

artikel boleh dilihat menerusi pautan ini: https://doi.org/10.1016/j.yhbeh.2012.10.012

Comments