Latar Belakang Kajian Uda dan Dara

 Kisah cinta Uda dan Dara, latar belakangnya ialah masyarakat Melayu kampung (sosio budaya), di zaman pra merdeka (latar masa) jika diambil kira karya asal iaitu puisi Gadis di Kuburan yang diterbitkan pada 1956) dan permulaan proses urbanisasi (latar ekonomi).

Kisah penolakan lamaran Uda boleh difahami dengan mengambilkira latar belakang yang berkenaan. Perbezaan status menjadi antara punca lamaran Uda ditolak (aspek sosio budaya). Uda berhijrah ke bandar untuk mengumpul duit bagi mengahwini Dara (aspek perkembangan ekonomi); urbanisasi membolehkan penghijrahan ke bandar sebagai satu alternatif untuk meningkatkan status ekonomi. Namun, latar masa (beberapa tahun sebelum merdeka) tidak begitu ketara sumbangannya dalam memahami kisah cinta ini.
Begitu juga dengan sesuatu tesis. Latar belakang kajian sepatutnya memberikan konteks yang jelas untuk memahami 'cerita' yang ingin disampaikan dalam tesis. Jika cerita yang ingin disampaikan berkisar tentang hubungan antara efikasi kendiri dan kualiti pentaksiran bilik darjah (PBD) , maka beberapa latar yang releven perlu dihuraikan.
Contohnya,
latar dasar pendidikan: bilakah PBD menjadi amalan yang penting dalam dunia pendidikan?
latar pendidikan bakal guru: sebanyak manakah PBD wujud dalam kurikulum pendidikan bakal guru?
latar sosio budaya: apakah faktor sosio budaya yang mungkin menggalak atau menghalang penerimaan amalan PBD (cth: orientasi peperiksaan yang tebal)?
latar politik: sekuat mana political will dalam melaksanakan PBD?
latar pendidikan global: sejauh mana PBD menjadi amalan di negara-negara lain di dunia?
Bahagian Latar Belakang Kajian tidak perlu membentangkan pernyataan masalah. Belum masanya. Takut nanti jadi keliru dan bercampur aduk. Jelaskan betul-betul latar atau konteks yang sesuai.
Bila latarnya jelas, maka masalah yang diangkat juga boleh dijelaskan dan difahami dengan baik. Perlukah diteliti masalah cinta terhalang Uda dan Dara? Mungkin cerita itu cuba menyedarkan masyarakat tentang masalah sosial yang wujud pada ketika itu ("Emas ringgit membakar kita" - seperti dalam lagu Uda dan Dara). Begitu jugalah sesuatu tesis perlu memberi justifikasi kepada permasalahan yang diangkat.
Permasalahan antara Uda dan Dara dirungkaikan menerusi plot yang puitik. Permasalahan kajian pula perlu dirungkaikan menerusi data dan analisis yang bersistematik. Selepas plot mencapai klimaks, maka ada pengajaran yang boleh diambil. Kajian kes Uda dan Dara boleh dijadikan panduan bagi memperbaiki sosio budaya masyarakat Melayu. Dapatan kajian daripada tesis pula boleh dijajarkan kembali kepada latar yang disebut di awal tesis.
Adakah guru perlu dipersiapkan secara rasmi dengan ilmu untuk melaksanakan PBD?
Adakah political will perlu diperteguh untuk menjayakan PBD?
Perlukah perlu wujud amalan PBD versi Malaysia sendiri?
Jangan abaikan latar belakang kajian.
Jangan ditulis secara sambil lewa.
Atau diceritakan tanpa plot yang ketara.
Jika tiada latar belakangnya (ground), maka tidak timbullah objek (fokus kajian - figure).

Comments