Friday, March 08, 2013

Jika Kereta Rosak


"Adakah kebebasan itu menjamin kebahagiaan?"

Seelok-eloknya, bila buat keputusan, biarlah lari dari sesuatu, dan kearah sesuatu yang lain. Bukan sekadar ingin bebas; takut nanti tak tahu ke mana nak dituju. Kalau ingin lari dari kebosanan di tempat kerja sekarang, pastikan ada tempat kerja lain yang lebih menarik.

Apa yang dicari dalam hidup bergantung kepada diri sendiri. Definisi 'berjaya' berbeza-beza. Jika berada di persimpangan, dan perlu buat keputusan, tanyalah diri sendiri: apa yang ingin dicapai dalam hidup?

Duit berkepuk-kepuk tak habis makan?
Kawan ramai untuk bersuka ria?
Rasa saling bergantung dengan orang yang tersayang?
Pergi ke Mekah setiap tahun?
Hidup tanpa hutang?


Jawapannya mungkin lebih daripada satu. Tak mustahil untuk mencapai beberapa matlamat dalam satu masa. Ramai juga yang boleh meletakkan susunan keutamaan bagi setiap matlamat.

Namun, ada kalanya matlamat-matlamat itu bertentangan. Satu membawa kita ke Kuala Perlis, satu lagi membawa kita ke Kuala Krai. Tak mungkin jiwa dan raga dapat dipisahkan untuk ke dua destinasi berbeza. Maka, di sinilah satu keputusan yang tepat perlu diambil.

Ada orang meletakkan matlamat yang berkait. Ibarat dari Johor Baru ingin ke Pulau Pinang: ada orang rasa selesa naik kereta. Jadi, diusahakan supaya boleh membeli kereta. Dengan kereta itulah dia bergerak ke Pulau Pinang. Andai kata kereta tiba-tiba rosak di pertengahan jalan, ada tujuh kemungkinan yang berlaku.

1. Dia berusaha membaiki kereta itu. Kalau boleh dibaiki, alhamdulillah, dan boleh teruskan perjalanan.

2. Tapi usaha tak semestinya membuahkan hasil yang diingini. Sekuat mana pun kudrat dan helah kita, mungkin kereta itu tidak dapat dibaiki. Janganlah pula sampai tersadai hiba ditepi jalan dengan kereta yang tidak lagi bergerak. Sudahlah kereta tidak bergerak, tuannya pula lumpuh tidak dapat maju.

3. Lebih teruk lagi, jika menapak kembali ke tempat asal. Destinasi yang diimpikan ditinggalkan sebagai fantasi. Setiap langkah ke belakang diiringi sesalan dan kehibaan atas kegagalan. Maka rugilah masa dan usaha yang dilaburkan.

4. Memilih untuk meneruskan perjalanan adalah satu pilihan yang baik. Namun, ada pula yang akhirnya memilih destinasi berbeza. Mungkin berdasarkan realiti semasa, ataupun kerana sudah tawar hati dengan matlamat asal.

5. Yang lebih teruk daripada 4 ialah orang yang tidak dapat menentukan apakah destinasi mereka. Pulau Pinang tidak, Cameron Highlands pun tidak. Berjalan setapak setapak mengikut deru angin, landai cerun tanah, atau asalkan dapat melangkah.

6. Jika anda tidak mahu termasuk dalam golongan 2,3, dan 5, dan tidak pula bernasib baik seperti golongan 1, maka anda perlu ingatkan semula diri sendiri tentang destinasi yang telah dipilih. Yakinkan diri bahawa kereta itu hanyalah satu kaedah untuk ke Pulau Pinang. Ada banyak lagi pilihan: teksi, bas, kereta api, bahkan lori. Jika anda telah terlalu selesa dengan kereta, pilihan lain mungkin menakutkan. Tetapi, pilihan golongan 2 dan 3 lebih menakutkan. Biar lambat dan kurang selesa, asalkan sampai.

7. Bersama setiap kesusahan ada kesenangan. Itu janji Dia kepada kita. Yakin. Dan mungkin Dia, atas kemurahan dan rahmatNya, memberikan kita sesuatu yang lebih baik. Siapa tahu, dengan sebab kita mengalami kerosakan kereta, ada limousin bersupir yang sudi membawa kita ke Pulau Pinang. Malahan, ada pula yang lebih murah rezekinya, dapat menaiki kapal terbang! Jika kita berdegil hendak memilih kereta juga, kita terlepas peluang untuk mendapat sesuatu yang jauh lebih baik.


Kesimpulannya, tidak semestinya bila kereta rosak kita tak boleh sampai ke destinasi yang telah dipilih.

No comments: