Read alone (DO NOT DELETE)

Read alone (DO NOT DELETE)

Begitu tajuk email yang diterima. Kata-kata pada tajuk itu merentap tangkai hati. Terasa ada unsur ugutan dan ancaman. Bukan fizikal yang takut terdera, tapi iman.

Kandungan email, seperti yang dijangka, bercirikan surat berantai. Kalau tak dibaca sampai habis, maka akan ditimpa bala. Beberapa cerita dijadikan 'bukti' tentang bahaya atau padah mengabaikan email itu. Terdetik dalam hati, "patutlah disuruh baca ALONE". Lebih mudah menguasai pemikiran penerima email jika dia bersendirian. 
 
Ada unsur kurafat dalam amalan memanjangkan surat berantai i.e jika terbit keyakinan 'bala' akan menimpa jika tidak memanjangkan email ini. Seolah-olah surat berantai mempunyai kekuatan dan daya untuk menetapkan serta mengubah qada dan qadar manusia. Wajarkah meletak kekuasaan surat berantai di paras yang sama dengan kekuasaan Allah?
 
Jangan sampai takut kepada bala, iman jadi korban. Hilang iman, itulah bala sebenar. Rujuklah kepada pakar bidang agama untuk mencari yakin dan ketengangan berkaitan isu surat berantai.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Dengan niat ingin menjauh dari kerugian, ayah menegur pengirim email berantai itu. Ini antara respon kepada teguran ayah.

Saya cuma antar emel. kalau awak rasa awak tak suka, awak boleh delete. 

Alhamdulillah, ayah dah delete.

Saya rasa tidak ada kaitan dengan akidah sekiranya kita tidak mengaitkannya dengan akidah kita.

Errr.... hukum logik mana yang dipakai ini? X tidak berkait dengan Y jika kita tidak mengaitkan Y dengan X. Memang la. Tapi, point yang nak disampaikan ialah X memang berkait dengan Y, samaada kita mengaitkan kedua-duanya secara sedar atau tidak. Katakan seorang Muslim bersembahyang kepada patung Buddha. Bolehkah dia menafikan perbuatannya itu syirik dengan berkata sembahyangnya itu tidak berkaitan dengan akidah? 

Iman dilihat dari iktikad (kepercayaan dalam hati), pengucapan lisan, dan perbuatan. Maksudnya, iman boleh dibina atau dirobohkan dengan hati. Walaupun lisan dan perbuatan tidak menduakan Allah, hati masih boleh menduakan Allah. Jika hati percaya surat berantai berkuasa membawa bala, maka di mana letaknya iman? Hal ini memang berkait dengan akidah, sama ada secara sedar ataupun tidak.

Semua orangpun tau orang boleh antar apa-apa sahaja menggunakan internet dan hanya manusia yang tidak tau berfikir sahaja yang mengikut 100% apa yang dihantar dengan mereka.

Sambungannya, manusia yang tidak tau berfikir sahaja yang mengikut 100% apa email yang diterima mereka. Kalau email tersebut menyuruh sebarkan kepada 10 orang, disebarkannya kepada 10 orang. Jika email menyuruh baca ALONE, dia pun baca ALONE. Orang yang berfikir boleh menyediakan justifikasi kepada tindakan mereka. Apa justifikasi untuk memanjangkan surat berantai?

Saya tidak berniat langsung mahu memesongkan akidah sesiapa cuma sebagai pelajar psikologi dan muslimat, saya lebih suka menggalakkan orang berfikir dan berkongsi idea secara telus dan berbudi bahasa.

Berhati-hatilah. Dengan niat yang 'murni', kita masih terdedah kepada mendapat saham merosakkan akidah orang lain. Adalah sangat bahaya untuk mengandaikan semua penerima email mampu menangkis serangan terhadap akidah mereka. Apakah inti pati surat berantai yang "menggalakkan orang berfikir dan berkongsi idea"? Dengan suruhan untuk membaca alone, dan pendekatan menakut-nakutkan, surat tersebut sebenarnya menutup ruang untuk berfikir. Tiada ruang untuk melapangkan minda dan menilai secara kritikal. Jangan berfikir lama-lama, tekan saja butang Forward. 

Apa sebenarnya mesej surat berantai itu? Di manakah kandungannya yang BENAR, dan di manakah SABAR? 

Jika Marwan menerima email atau surat seperti ini, abaikanlah saja. Tiada kuasa dan daya melainkan dari Allah. La hawla wa la quwwata illa bi-Llah. Carilah yang benar dari al-Quran dan sunnah. Itu yang lebih utama untuk disebarkan.

Ayah doakan Marwan selamat dari bencana seperti ini.

Comments