Saiz Sampel Ayam Goreng?
Katakanlah ada chef tersohor mencadangkan 100 ekor ayam sebagai jumlah minimum untuk hidangan kenduri bagi 500 orang tetamu.
Pakcik A nak buat kenduri dan dia guna formula chef ni. Jadi, dia beli 100 ekor ayam. Tapi, dia agih-agihkan ayam ikut majlis. 10 ekor untuk malam berinai. 10 ekor untuk majlis akad nikah. 40 untuk kenduri di rumah pengantin perempuan, dan 40 ekor untuk kenduri di rumah pengantin lelaki.
Cukup atau tidak bilangan ayam untuk kenduri yang dihadiri 500 orang tetamu?
Rasanya Pakcik A dah tersalah dalam menggunakan formula. Saranan 100 ekor ayam bagi setiap 500 orang tetamu tu adalah untuk SATU majlis. Bukan untuk rangkuman semua majlis-majlis kecil dalam pakej kenduri kahwin tu.
Begitu juga dengan penentuan saiz sampel kajian berdasarkan saiz populasi, Jika jadual saiz sampel kata 370 ialah bilangan yang minimum, bilangan ini sesuai untuk SATU kajian. Rasa tak kena bila 370 ini difaraidkan kepada kajian pilot, EFA, CFA dan 'kajian sebenar'. Bayangkan kalau ada 3 sub-kajian: maka setiap sub-kajian hanya dapat 123 responden. Mana nak cukup. Ibarat contoh kenduri tadi, nanti ada tetamu yang tak dapat makan ayam.
Apatah lagi kalau sub-kajian menggunakan analisis yang diketahui 'lapar' responden. Ikut panduan umum untuk EFA dan CFA, perlu ada paling tidak 5 responden bagi setiap item dalam soal selidik. Kalau ada 40 item, maka kena ada 200 orang responden. Dalam contoh ini, penentuan saiz sampel berdasarkan analisis statistik yang digunakan lebih sesuai berbanding penentuan berdasarkan saiz populasi. Walaupun saiz sampel boleh dianggap mewakili populasi, tapi ia tidak cukup untuk memenuhi kehendak analisis statistik.
Kalau kenduri tu adalah untuk tetamu vegetarian, saranan chef itu tidak boleh dipakai langsung. Begitu juga kalau tetamu kenduri semuanya dah request nak makan ayam goreng berempah (dan tak nak lauk lain), maka 100 ekor ayam mungkin tidak mencukupi. Kena lihat juga 'selera' tetamu yang hadir untuk menentukan jumlah ayam yang perlu disediakan.
Sekian catatan statistik di waktu perut lapar nak makan tengah hari. Kafe ada jual ayam goreng berempah tak?
#notapsikologi
Comments