Kiah juga yang dapat nama


Dalam bidang sains sosial, ada beberapa disiplin dalam menulis. Katalah dalam satu isu jurnal, ada artikel yang ditulis oleh makcik Kiah. Macam mana kita nak petik tulisan makcik Kiah tu?
Contoh 1: Dalam jurnal yang ditulis oleh Kiah (2020) ....
Sila maklum bahawa makcik Kiah tulis ARTIKEL. Dia tak tulis keseluruhan jurnal. Dalam jurnal ada banyak artikel. Jadi, tak betullah kalau nak kata makcik Kiah tulis jurnal. Yang lebih tepat ialah: Dalam artikel jurnal yang ditulis oleh Kiah (2020) ...
Contoh 2: Mengikut Kiah (2020) dalam artikel yang bertajuk Kesan PKP ke Atas Kefungsian Mikroekonomi Keluarga Berpendapatan Rendah, .........
Amboi amboi....rajinnya nak tulis tajuk artikel tu. Kekadang ada juga yang salin balik nama jurnal, tambah-tambah pulak nama jurnal yang panjang lebar macam The Association of Economists Without Border's International Journal of Economics in Developing Countries. Nak capai had minima patah perkataan untuk tesis ke tu?
Biasanya, tajuk artikel dan nama jurnal tak perlu diletakkan. Dah ada maklumat tu dalam senarai Rujukan. Lainlah kalau nak bincangkan sumbangan sesuatu artikel.
cth: Artikel "Kesan PKP ke Atas Kefungsian Mikroekonomi Keluarga Berpendapatan Rendah" (Kiah, 2020) telah memperkenalkan satu paradigma baharu mikroekonomi bagi mendepani era pasca COVID-9.
Jika nak petik tajuk artikel, pastikan ada justifikasi yang kuat. Kalau tak, penulisan kita jadi gerakan tangan yang lemah gemalai; bukannya satu penumbuk yang deras dan berimpak besar.
Contoh 3: Paradigma mikroekonomi bagi mendepani era pascaCOVID-19 menekankan elemen psikososial sebagai moderator dalam mencapai ekuilibrium permintaan dan penawaran (Kiah, 2020).
Perhatikan bahawa dalam contoh ini, Kiah dah dikurung (musim PKP la katakan). Yang dilepaskan dan ditonjolkan adalah IDEAnya. Itu yang lebih utama untuk diketengahkan. Dalam penulisan akademik, kita mungkin perlu nak buat perbandingan idea, penyusunan idea, atau ringkasan idea. Kita bukan nak membandingkan penulis, menyusun penulis atau meringkaskan (?) penulis.
Sebagai contoh tambahan:
Bagi mendepani era pascaCOVID-19, kelestarian ekonomi boleh dicapai melalu penekanan terhadap elemen psikososial sebagai variabel moderator (Kiah, 2020), kawalan sewa oleh kerajaan terhadap kadar sewa bangunan komersil (Senah, 2020), pemantapan aktiviti ekonomi sifar CO2 (Leman, 2020) dan pelebaran jalur (bandwith) komunikasi dua hala antara pengguna dan pembuat keputusan dalam kalangan agensi kerajaan dan parti politik (Qistina Aisya Ratnawati Kamilah, 2020).
See ... apa yang kita nak tonjolkan adalah idea-idea penulis, bukannya nama penulis. Kalau nak tonjolkan nama artikel dan tajuk jurnal, perenggan jadi berjela-jela. Mungkin juga nanti satu perenggan hanya ada satu sitasi. Penulisan tidak ekonomikal walaupun isinya tentang ekonomi.
Of course, kalau makcik Kiah binti Bidin lebih suka mengikut kaedah sitasi piawai, dia akan nasihatkan supaya tulis "(Bidin, 2020)" dan bukan "(Kiah, 2020)".
Stay at home and continue writing.

Comments