Bertenang: Setitik Air di Dalam Cawan Tidak Melemaskan


Saya tak pelik kalau sesuatu persatuan membuat program yang bertujuan membantu ahli-ahlinya. Biasanya, persatuan itu ditubuhkan atas dasar penyatuan niat saling membantu. Pendaftar Pertubuhan pasti akan menolak cadangan penubuhan persatuan yang mempunyai misi membankrapkan ahli-ahlinya. Kalau agenda persatuan adalah untuk membinasakan setiap ahlinya, itulah yang pelik.
Saya juga tak pelik jika sesuatu persatuan itu ada syarat-syarat keahlian yang bersifat ekslusif (tidak inklusif). Jika nama persatuan itu Kelab Pemilik Proton X70 (KPPX), mengapa orang yang ada Posche Cayenne atau Perodua Aruz rasa didiskriminasi? Pertama, bila-bila masa anda boleh beli Proton X70 dan memohon jadi ahli. Kedua, KPPX bukanlah penguasa atau pendaftar persatuan yang boleh memveto penubuhan persatuan-persatuan baharu.
Jika bilangan ahli KPPX bertambah dari 0 ke 98 dalam masa 3 bulan, adakah itu boleh dianggap satu lonjakan? Mungkin benar, kerana ia bermula dari 0. Mungkin juga tidak. Kalau sebelum itu memang sudah ada 'keahlian' tidak rasmi (contoh: ada 200 orang ahli dalam group WhatsApp sebelum KPPX ditubuhkan), maka angka 98 itu tidaklah begitu impresif sehingga mewajarkan kata nama 'lonjakan'. Jadi, statistik yang lebih menyeluruh perlu diberi untuk membuat kesimpulan yang lebih tepat.
Katalah ada 6 orang dari ahli KPPX dilantik menjadi Yang Dipertua PIBG di sebuah daerah yang ada 20 buah sekolah. Adakah wajar untuk menyimpulkan bahawa PIBG di daerah itu sedang mengalami proses Protonisasi? Berikanlah dahulu bukti jelas bahawa 6 orang ahli KPPX itu dilantik atas kapasiti mereka sebagai ahli KPPX dan bukan atas kapasiti lain.
Tak pelik ya kalau sesorang manusia itu ada pelbagai kapasiti: dia seorang pekerja, ahli kariah masjid, bapa, alumni, dan ada peranan-peranan serta kelayakan lain. Lantikan ke jawatan YDP mungkin atas satu-satu kapasiti atau pun gabungan pelbagai kapasiti. Jika SEMUA YDP dalam daerah itu adalah dalam kalangan ahli perniagaan, adakah wajar dikeluarkan tudukan agenda kapitalisasi sedang melanda sekolah-sekolah?
Jika 6 orang ahli KPPX yang juga YDP PIBG ini berbengkel sesama sendiri di sebuah sekolah sebagai satu aktiviti persatuan, saya juga tidak pelik. Setiap persatuan boleh melaksanakan aktiviti yang selaras dengan matlamat persatuan. Tetapi, jika aktiviti itu dilakukan dengan menggunakan peruntukan PIBG, itu tidak betul. Aktiviti persatuan sepatutnya menggunakan peruntukan persatuan. Kalau inilah yang belaku, tunjukkan ada penyelewengan kewangan yang telah berlaku. Jika mereka membayar sewa kepada pihak sekolah mengikut kadar pasaran biasa, maka tidak ada peliknya.
'Gelombang' adalah sesuatu yang maujud di laut dan tasik-tasik besar. Ia juga boleh wujud dalam secawan teh panas yang sedang ditiup supaya cepat sejuk. Selain daripada itu, ia juga boleh digunakan sebagai metafora. Jika tiada bukti kukuh yang mewajarkan metafora itu, maka ia hanyalah cubaan berpuitis yang tidak menghiburkan. Jika hanya terdapat 98 ahli KPPX yang menjadi ahli biasa PIBG berbanding 4,000 ahli PIBG yang lain, maka ia hanyalah setitik air di dalam cawan. Jika jumlah ahli PIBG keseluruhannya ialah 100,000 orang, maka metafora yang lebih sesuai ialah setitik air di dalam kolah. Dari mana yang boleh timbul gelombang? Tanpa statistik yang sahih, metafora ini adalah satu khayalan yang cuba menimbulkan ketakutan dan prejudis.
Masakan anda risau lemas di dalam cawan yang ada setitik air?
13/4/2020
Penulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak mewakili pandangan mana-mana surat khabar, saluran tv, saluran radio, mahupun pemilik Proton X70. Memang tidak layaklah ia mewakili pandangan surat khabar yang berpegang kepada prinsip tabayyun dan keras menolak sangkaan-sangkaan yang tidak berasas.

Comments