Tajaan Azan

Pelaziman klasikal akan mewujudkan kaitan antara stimulus (contoh: bunyi loceng waktu rehat di sekolah) dengan tindakbalas individu (air liur meleleh sebab dah terasa nak makan). Sewaktu tinggal di Kota Kinabalu, saya ada mendengar radio menjelang waktu berbuka puasa. Iklan sejenis produk akan dipasang sebelum dikumandangkan azan maghrib. Makan, wujud kaitan antara stimulus pertama (azan) dengan stimulus kedua (iklan) dalam menghasilkan tindak balas persediaan makan. Ini dinamakan higher-order conditioning.
Sekarang ini, saya selalu pula mendengar iklan dipasang sejurus selepas azan dikumandangkan di radio. "Azan ini dibawa oleh syarikat PQRS". Apa yang akan (ingin?) dilazimkan? Ustaz dan ustazah ajar kita baca doa selepas mendengar azan. Tapi, kalau di radio, kita akan terbiasa dengan iklan syarikat yang 'menaja' azan. Maka, setiap kali dengar azan, kita akan berfikir tentang syarikat tersebut. Malanglah sekali jika kita terlupa berdoa disebabkan berfikir (secara automatik) tentang syarikat berkenaan.
Berkenaan solat Jumaat, ada ayat Quran yang secara khusus mengarahkan kita meninggalkan jual beli sebaik saja kita mendengar seruan azan. Iklan selepas azan itu dikira jual beli atau tidak? Dalam kerangka perniagaan, iklan merupakan strategi jualan. Dalam kerangka fiqh muamalat, saya tidak tahu. Harap saya dapat berjumpa maklumat atau pendapat pakar tentang hal ini.
Dalam kerangka psikologi pembelajaran, saya berpendapat pelaziman mesej komersil dengan azan adalah sesuatu yang patut dielakkan. Biarlah orang bersiap sedia untuk solat tanpa perlu memikirkan hal keduniaan yang disogok-sogok.

Comments