Harapan Penyelia

 Apakah jangkaan dan harapan penyelia terhadap pelajar program PhD dan Sarjana?

 

Catatan ini bukanlah daripada pengalaman yang berhias deretan graduan PhD dan sarjana. Saya akan tentang jika ada yang hendak meraikan saya sebagai penyelia yang cemerlang. Saya tahu saya jauh daripada maqam cemerlang; terutamanya jika bilangan graduan dijadikan indikator utama.

 



Catatan ini ialah perkongsian yang dicetuskan jemputan ke program anjuran IPG Kampus Bahasa Antarabangsa: Ekspektasi Penyelia Terhadap Pelajar Ijazah Lanjutan (27 Jun 2021). Maka saya kutip pengalaman menyelia di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD setakat 20 tahun di universiti. Dalam catatan ini saya merujuk pelajar program ijazah lanjutan sebagai bakal sarjana.

 

1.   Penyelia berharap bakal sarjana ada niat yang JELAS dan RELEVEN dengan program.

Tidak dinafikan kelulusan master dan PhD memberi kelebihan kepada perkembangan kerjaya. Ada yang buat PhD dan master sebab nak naik pangkat. Ada yang nak mengubah haluan kerjaya. Anda normal dan logikal jika menjajarkan program pasca siswazah dengan perkembangan kerjaya.

Tapi cukupkah itu sebagai niat tunggal? Program PhD ialah program yang melatih calon menjadi penyelidik. Dalam program PhD, anda dilatih untuk membentuk soalan penyelidikan, mendapatkan data, menganalisis data, dan berkomunikasi dengan pelbagai pihak berkenaan kajian anda.

Mungkin ada yang sangat tercabar dengan latihan mengasah kemahiran penyelidikan. Ada yang sampai ‘bertaubat’: lepas habis PhD ni, memang tak nak buat research dah!! Jika inilah yang berlaku, maka telah berlaku satu kerugian besar. Progam yang direka untuk melahirkan penyelidik bebas hanya melahirkan penyelidik YB (yang bersara).

Perlu ada niat untuk mentransformasi diri menjadi penyelidik; sesuai dengan sifat dan matlamat program itu sendiri.

 

2.    Penyelia menjangkakan bakal sarjana ada sifat sebagai independent researchers.

Di universiti, bakal sarjana ialah pelajar matang. Penyelia jangkakan anda telah cukup matang untuk berdikari.

Anda perlu ada pemikiran sendiri: bukan menunjukkah ghairah “saya yang menurut perintah” apabila berbincang dengan penyelia. Nanti anda sendiri yang perlu mempertahankan tesis semasa viva; bukannya penyelia.

Anda perlu mampu menguruskan sendiri pengajian anda. Jangan pula harap penyelia menjadi kerana untuk mengisi dokumen2 yang berkaitan pengajian.

Anda perlu berdikari dalam mempelajari banyak topik dan kemahiran berkaitan kajian. Tak kan cara nak lukis petak-petak dalam slide PowerPoint pun supervisor kena ajar? Kawan saya belajar sendiri kaedah analisis data untuk PhD dia. Supervisor boleh beritahu apa yang perlu dipelajari: lepas tu carilah jalan untuk belajar sendiri. Kalau supervisor sudi nak ajar, alhamdulillah. Kalau dapat supervisor macam tu, elakkan daripada naik lemak: tunjukkan ada usaha sendiri untuk mendalami apa yang perlu dipelajari.

 

3.    Penyelia berharap bakal sarjana mampu mengenalpasti kebaharuan dalam tesis

  Nak mengenalpasti elemen kabaharuan (novelty) bukan sesuatu yang mudah. Usahkan mencari novelty, mencari topik pun suatu usaha yang serius berat.  Bukannya boleh main tembak, ikut cakap motivator, atau ikut isu semasa. Jika pengalaman membuat kajian masih cetek, tugas ini mungkin dirasakan sukar.

    Tapi elemen novelty ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Penyelia tidak menjangkakan bakal sarjana melalukan kajian yang mengubah paradigma. Dapat kajian yang menyumbang kepada incremental growth of the literature pun cukup.

  Maka, silalah kenali penyelia: secara idealnya, penyelia ada kajian-kajian yang perlu dipanjangkan. Elemen novelty boleh saja dikenalpasti dalam rancangan-rancangan kajian lanjutan yang digariskan oleh penyelia. Kalau tidak, mungkin bakal sarjana boleh membuat pencarian sendiri dahulu. Baca dengan cukup mendalam: jangan baca tajuk artikel jurnal sahaja.

 

4.    Penyelia berhadap bakal sarjana mampu memperkenalkan kebaharuan dalam tesis

Apa bentuk novelty yang diharapkan dalam tesis? Itu bergantung kepada sifat projek kajian. Ada kajian yang menjawab persoalan kajian dengan menguji model hubungan antara variable kajian. Mungkin ada pemboleh ubah moderator yang perlu diuji. Atau ada peramal baharu dalam model regresi.

Ada kajian yang membangunkan produk baharu. Contohnya; bakal sarjana membina satu instrument pengukuran baharu untuk mengatasi limitasi dalam literatur.

Ada kajian yang membangunkan kaedah baharu. Jika intervensi sedia ada tidak cukup untuk memastikan pelajar pasca siswazah menamatkan pengajian mereka, maka satu intervensi baharu boleh dibangunkan dan diuji.

Menggunakan SPSS versi 2021 untuk mengkaji persoalan kajian yang telah lumat dijawab oleh pengkaji2 lepas bukanlah satu bentuk kebaharuan. Menguji model hubungan yang sudah established dalam satu populasi baharu TIDAK semestinya menjadi kebaharuan.  

Yang sangat penting ialah persoalan kajian. Jika ia jelas menunjukkan kekurangan atau kelemahan dalam literatur, maka jawapan kepada persoalan itu kemungkinan besar satu kebaharuan.

 

5. Penyelia menjangkakan bakal sarjana menyediakan cadangan kajian secara berperingkat

Cadangan kajian tidak terbina seperti popcorn: minyak sejuk dan biji jagung dipanaskan, kemudian meletup menjadi bertih. Hidangan segera. Mungkin ia sebenarnya ebih mirip kepada dodol. Dari bancuhan santan, gula dan tepung pulut yang cair, ia perlu dikacau selalu sehinggalah menjadi pekat dan sedia untuk dihidangkan.

Tapi, janganlah pula draf yang hanya berbeza satu perenggan dihidangkan kepada penyelia dalam sesi perbincangan yang berturutan. Sikit sangat perubahannya tu. Menyediakan cadangan kajian memang mengambil masa. Kadang-kadang, penyelia pun ambil masa nak faham apa yang bakal sarjana nak buat dengan projek yang dicadangkan.

Dan jangan hairan jika penyelia bertukar fikiran dari satu draf ke draf yang lain. Kejelasan tulisan boleh mempengaruhi maklum balas yang diberi penyelia. Semakin jelas penulisan, semakin tepat maklum balas yang akan diberi. Mungkin pada peringkat awal penyelia kata perlu tingkatkan jumlah gula. Tapi, selepas itu, jika bakal sarjana mengubah matlamat (nak masak dodol untuk pesakit diabetes), maka saranan tentang jumlah gula akan diubah seperti yang sewajarnya.

Bila penyelia dah beri maklumbalas, cubalah buat yang terbaik untuk menukang cadangan kajian. Jangan persembahkan draf yang sama setelah komen-komen diberikan. Kesalahan-kesalahan teknikal cuba dikurangkan. Kalau dari draf awal sampai draf akhir masih lagi ada kesalahan format rujukan, memang tak hairan kalau penyelia menyinga.


6.    Penyelia berharap bakal sarjana boleh membezakan keutamaan produk kajian

Apakah produk kajian? Tesis, disertasi, patent, cadangan kajian, penerbitan, pembentangan kolokium, kertas kerja persidangan. Banyak produk kajian tu. Jadi, mana satu yang perlu diberikan keutamaan? Kalau diikutkan, lagi banyak produk, lagilah bagus: makin panjang CV nanti. Tapi, dalam keadaan masa dan sumber yang terhad, keutamaan perlu diberi terhadap produk yang masuk kategori WAJIB bagi program pengajian.


Selain daripada produk fizikal berkenaan, jangan lupa juga ‘produk’ utama iaitu diri sendiri. Bakal sarjana perlu melakukan transformasi diri kepada sarjana. Maka diri sendiri perlu diberi perhatian: adakah telah berlaku perubahan-perubahan yang diingini.


7.    Penyelia berharap bakal sarjana bergraduat sebagai sarjana

Bergraduat dalam tempoh pendaftaran biasa boleh dianggap sebagai satu kejayaan cemerlang. Tahniah kepada yang Berjaya GOT!

Dalam mengejar GOT (mungkin kerasa desakan pihak penaja pengajian), jangan pula ditinggalkan nilai-nilai yang penting yang sepatutnya diperoleh melalui pengajian. Jangan bergraduat dalam keadaan 'separuh masak'.

Yang bergraduat sepatutnya bersifat lebih matang dari segi pemikiran, intelek, sosial dan komunikasi. Cinta terhadap ilmu sepatutnya makin menebal. Perbezaan antara fakta dan auta boleh dilakukan secara berdikari. Ilmu sahih diamalkan, ilmu pseudo ditinggalkan. Amatlah rugi jika bergraduat tapi masih lagi tidak memahami landasan ilmu. Sudah ada PhD, tapi beramal dengan ilmu yang tidak ketahuan hujung pangkalnya. Minda saintifik yang dibentuk perlu diasah dan diuji dengan mengepani cabaran-cabaran dalam masyarakat.

 Secara ringkasnya, penyelia berharap yang bergraduan itu ialah sarjana: bukan sekadar seorang individu yang disahkan telah memenuhi kesemua syarat bergraduat.

 

8.    Penyelia berharap bakal sarjana menulis secara berintegriti

Antara dosa utama dalam pengajian pasca siswazah ialah plagiat. Contoh demi contoh sudah dilihat: baik peringkat sarjana muda, sarjana mahupun kedoktoran. Bakal sarjana perlu menandantangani akuan karya asli. Apa ertinya akuan itu jika tesis masih berlumur lumpur plagiat? Di mana nilai novelti jika tiang tesis didirikan di atas lantai ‘copy and paste’?

Mencapai Similarity Index yang rendah bukanlah keutamaan. Itu ialah alat untuk pengesanan dan pematuhan kualiti. Di peringkat awal-awal lagi, plagiat dalam apa-apa bentuk pun perlu dielakkan.

Pernah dengar mosaic plagiarism? Secara struktur ayat dan maksud perkataan “Is or not is” sama saja maknanya dengan “to be or not to be”. Tapi bunyi plagiat itu sangat ketara: ayat yang diplagiat secara mosaic amat janggal dan kadang-kala tak ketahuan maknanya. Elakkan.  

Daripada perspektif penyelia, plagiat bukanlah sesuatu yang menaikkan rasa teruja dan hormat kepada bakal sarjana. Malah ia menyusahkan penyelia. Dengan kerja-kerja lain yang bersusun-susun, penyelia berharap plagiat bukanlah amalan anak seliaan. Mungkin ada penyelia yang bersangka baik dengan hasil kerja anak seliaan dan tidak menyemak secara terperinci. Anak seliaan dianggap sebagai penyelidik yang berdikari dan boleh menulis secara berintegriti.

Bayangkan, tesis yang hendak dibawa ke sesi viva voce didapati ada bahan yang diplagiat dalam jumlah dan konteks yang signifikan. Hati siapakah yang hancur?

 Penyelia berharap bakal sarjana mampu mempertahankan tesis

 

Apabila tesis dibawa ke sesi viva voce, perjalanan sebagai bakal sarjana hamper tamat. Sudah tiba masa untuk mempersembahkan diri sebagai sarjana; bukan lagi sebagai bakal sarjana. Maka, apabila ada soalan-soalan dari pemeriksa, jawablah dengan yakin dan jangan takut.

Elakkan respon yang terlalu akur: anda bukan hamba abdi yang mengadap raja sistem feudal. Jangan asyik “menjunjung perintah” saja. Adakah anda hendak menjadi sarjana yang taqlid dan terikat?

Elakkan respon yang terlalu agresif. Pemeriksa nak menguji kemampuan anda mempertahankan tesis. Bukan nak cari pasal secara personal. Anda bukan ahli parlimen yang berbahas untuk mempertahankan kedudukan peribadi.

Elakkan respon yang telalu defensif. Eh… kalau nak defend tesis bukan sepatutnya defensive ke? Tak. Bukan begitu maksudnya. Defensif ni bermaksud bertindak balas terhadap ‘serangan’ dengan cara berkubu di pihak sendiri saja. Tidak membalas searangan.  

Lebih teruk lagi jika calon berselindung di sebalik penyelia.

“Mengapa awak pilih kaedah analisis MANOVA?”

“Penyelia saya cadangkan macam tu”

Eh…..bukan itu caranya nak defend tesis awak. Jangan letakkan penyelia sebagai perisai.

Lebih teruk dan keji lagi jika penyelia dihumban ke bawah bas (maafkan metafora Inggeris yang diterjemah secara langsung). Bila tersepit dan rasa tak mampu nak menjustifikasi kaedah kajian yang makin terserlah cacatnya, calon terdesak sampai sanggup nak meletakkan beban kesalahan kepada penyelia. Apalah ertinya sebuah graduasi jika penyelia digigit demi melepaskan diri sendiri.

Buatlah persiapan-persiapan, usaha, dan doa yang sewajarnya untuk mempertahankan tesis.


*      *       *


Semoga anda berjaya bergraduat dengan ciri-ciri sarjana yang bukan sahaja diharapkan oleh penyelia, tapi diperlukan oleh masyarakat.
 

Comments