Sapu Tangan Qistina: Bahagian 3

Setelah melakukan beberapa siri seminar tingkap (berbeza daripada mesyuarat tingkap), Qistina membuat beberapa pemerhatian tentang kaedah mencuci sapu tangan.


a. Makcik Limah (3 Mac, 2021) selalu rendam sapu tangan semalaman sebelum mencuci dengan tangan. Dia juga selalu bertukar-tukar serbuk pencuci. Dia puas hati dengan hasil cucian.

b. Makcik Tipah (1 Mac, 2021) akan asingkan dulu sapu tangan mengikut warna sebelum mencucinya dengan serbuk pencuci Preeze. Tak perlu rendam pun. Setakat ini, dia tak ada masalah dengan tahap kebersihan sapu tangan yang dicuci menggunakan kaedah ini.

c. Makcik Semah (2 Mac, 2021) buat macam makcik Tipah juga. Tapi dia guna cecair pencuci GlowingGitu. Cuciannya sama bersih tapi lebih wangi, kata makcik Semah.

d. Pakcik Leman (3 Mac, 2021) kata dia akan rendam sapu tangan sekurang-kurangnya 3 jam dalam air kosong. Lepas tu baru dia akan cuci dengan sabun buku cap Beliung. Sama bersih je dengan cucian makcik Limah katanya.

e. Pakcik Usop (3 Mac, 2021) brutal sikit. Dia masukkan aje sapu tangan ke dalam mesin basuh, dan dicuci bersekali dengan kain baju yang lain. Semua bersih sekali harung, katanya.


Berdasarkan tinjauan yang dibuat, Qistina menyimpulkan bahawa kaedah-kaedah yang sedia ada masih tidak cukup. Dia rasa perlu ada kajian lanjut tentang penggunaan air beralkali dalam mencuci sapu tangan. Dia bangga dengan kesimpulan dan sintesis yang dibuat daripada data seminar tingkapnya. Terus dia menalipon Timah untuk berkongsi pandangan.

"Apa ko rasa tentang cadangan aku tu? Bijak tak? Kaedah-kaedah sebelum ini tak ada pun yang gunakan air beralkali. Jadi, kaedah aku akan jadi satu inovasi yang ada novelti," ujar Qistina dengan nada gembira seolah-olah telah menang Anugerah Juara Lagu.

"Air beralkali?" Timah menekankan kata kunci dalam penerangan Qistina.

"Ya. Air beralkali. Ko bukan tak tahu, sekarang ni ramai orang guna air beralkali. Ia bagus untuk mencegah kanser." Qistina cuba meyakinkan.

"Air beralkali berapa PH yang ko dah telah ni Qistina?"

Qistina mula terkulat-kulat mendengar terjahan Timah. Soalan seperti itu ibarat muzik filem seram yang diperdengar sebelum hantu membuat penampilan.

"Apa kaitan air beralkali dan kanser dengan pencucian sapu tangan? Ko dah campur aduk kerangka teoritikal biologi dengan kerangka teoritikal laundry. Ko ingat aku nak rasa impressed sangat dengan cadangan ko tu?"

Bila Timah menyebut tentang kerangka teoritikal, baru Qistina nampak penyimpangan ideanya daripada landasan logik. Masa dia fikir sorang-sorang, dia rasa dah kukuh dan mantap logiknya, semantap persembahan penyanyi yang dah berlatih vokal selama 3 tahun. Sekarang dia rasa kurang yakin dengan logik berkenaan.

"Nombor dua: dari Makcik Limah sampai Pakcik Leman, ada tak depa cakap ada masalah dengan keadah mencuci dan hasil cucian?"

"Tak ada", jawab Qistina ringkas. Dia tak mahu mengeluarkan kata-kata tambahan yang mungkin akan menimbusnya ke dalam depresi kesarjanaan yang lebih gelap.

"Kalau tak ada, apa perlunya nak cipta kaedah baharu? Apa nilai inovasi yang ko nak hasilkan tu?"

Saraf-saraf Qistina berhubung laju ibarat bekalan air yang baru dipulihkan setelah berlakunya pemotongan air berjadual. Dia baru perasan bahawa keperluan untuk kaedah baharu itu hanyalah untuk kepuasan dirinya sendiri. Dia tak kaitkan pun inovasi berkenaan dengan maklumat-maklumat yang dicungkil daripada makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang dah lama bergelumang dengan sapu tangan. Mungkin dia perlu membuat analisa lebih mendalam.

- apakah kos dan masa bagi setiap kaedah mencuci? Bolehkan dia menghasilkan inovasi untuk mengurangkan kos dan masa?
- apakah kesan kaedah mencuci terhadap alam sekitar? Bolehkah dia menghasilkan inovasi untuk menyumbang kepada kelestarian alam?
- kaedah manakah yang paling mudah untuk diajar kepada anak-anak? Bolehkah dia menghasilkan inovasi untuk mempercepatkan anak-anak belajar mencuci sapu tangan?

Setelah dibasuh oleh Timah, Qistina kembali mengadap skrin komputer. Dia rasa perlu melihat semula hasil tinjauannya. Dia ingin mengambil dan tidak membazirkan peluang keduanya.

#notapsikologi




Comments