Apa tujuan bina instrumen pengukuran?
Memberikan justifikasi pembinaan satu instrumen baharu bukan tugas enteng. Tidak cukup dengan hujah "belum ada instrumen yang sepertinya dalam dunia yang fana ini". Jika anda memang berduit dan ada banyak sumber, mungkin hujah ini sudah cukup untuk memuaskan hati sendiri.
Tapi, untuk tujuan penerbitan ilmiah, perlu ada aspek novelti yang signifikan. Sesungguhnya pembinaan instrumen itu bukanlah satu pekerjaan yang sengaja-senagaja atau sia-sia. Ada agenda yang hendak dicapai. Jadi, untuk tujuan penerbitan dan penulisan tesis, agenda tersebut mesti dinyatakan dengan jelas.
Katakan ada pemuda yang bersemangat nak cipta instrumen baharu. Katanya, belum ada instrumen yang khusus untuk menyembelih unta di Malaysia. Jadi, dia rasa terpanggil untuk menciptanya.
Sebagai panel yang perlu menilai nilai inovasi, soalan yang mungkin ditanya ialah:
- siapa yang akan gunakan instrumen tu?
- dalam setahun, berapa banyak unta yang perlu disembelih?
- apa instrumen sedia ada yang diguna untuk menyembelih unta? Apa kekurangannya?
Bandingkan pula dengan cita-cita seorang pemudi yang nak mencipta penuai buah sawit berasaskan dron. Bayangkan manfaat instrumen ini dari segi
- keluasan tanah yang ditanam kelapa sawit
- pengurangan pergantungan kepada tenaga buruh import
- penguranan risiko kecederaan dan kesakitan kepada pekerja
- kekerapan penuaian sawit yang berlaku sepanjang tahun
Jelas nampak justifikasi yang lebih kukuh, kan?
Cuba perhatikan justifikasi yang diberi untuk pembinaan
instrumen yang berikut.
1) Fear of COVID-19 Scale
Rawatan Covid-19 lebih fokus kepada aspek perubatan. Aspek
psikososial tidak diintegrasikan dalam rawatan yang lebih holistik. Aspek
ketakutan terhadap Covid-19 tidak diberi perhatian kerana tiada istrumen yang
sah untuk mengukurnya. Jadi, Fear of COVID-19 Scale dibangunkan untuk membantu
usaha rawatan yang lebih bersifat holistik.
10.1007/s11469-020-00270-8
2) Self-Efficacy in STEM Activities
Aktiviti STEM makin meluas digunakan dalam amalan pendidikan
dan kaedah pembelajaran. Makin ramai pelajar terlibat dalam aktiviti STEM dalam
pembelajaran. Instrumen yang menilai efikasi-kendiri dalam aktiviti STEM boleh
membantu perancangan dan pelaksanaan pembelajaran domain STEM.
https://doi.org/10.1007/s10956-020-09882-0
3) Vaccination Attitudes Examination (VAX) Scale
Sikap anti-vaksin adalah peramal penting terhadap tingkah
laku vaksinasi. Instrumen yang mengukur sikap anti-vaksin memfokus kepada
kumpulan umur tertentu dan/atau vaksin tertentu. Instrumen yang lebih menyeluruh
boleh membantu perbandingan antara kajian-kajian.
https://doi.org/10.1007/s12160-017-9888-y
Dalam ketiga-tiga contoh tadi, walaupun tak disebut secara eksplisit, cuba kita bayangkan kepentingan instrument dari segi
- Who will be using it? (ramai ke sedikit?)
- Who will benefit from it? (ramai ke sedikit?)
- When will it be used? (sekali sekala atau kerap?)
- Where will it be used? (di satu dua tempat sahaja atau berleluasa?)
- What problem will it solve? (masalah remeh atau berimpak besar)
- How will it be used? (sama macam yang sedia atau, atau lebih mudah/cekap/jitu?)
- How does it relate to a theory? (adakah ia boleh diguna untuk menguji teori sedia ada?)
Kalau boleh jawab soalan-soalan macam ni, insyaAllah orang akan lebih nampak kepentingan instrumen baharu yang kita bangunkan tu.
Comments