Penilaian, Pujian atau Kejian?
Calon PhD dilatih untuk bersikap kritis.
Di peringkat awal kajian, calon perlu mengumpul bahan tentang kajian sedia ada. Bukan sekadar kumpul dan tempek dalam tesis sendiri: bahan-bahan itu perlu dinilai kekuatan, kelemahan dan hadnya.
Di peringkat cadangan kajian, calon akan berdepan dengan kritikan daripada penilai yang dilantik oleh Jabatan atau Fakulti. Dalam sesi mempertahankan cadangan kajian, calon perlu mampu menjawab ulasan dan pertanyaan penilai. Para penilai sendiri biasanya berpengalaman membuat kritikan tentang pelbagai aspek cadangan kajian.
Di hujung kajian, sesi viva voce menunggu. Sekali lagi calon perlu berdepan dengan penilai yang dilatih untuk bertanyakan soalan-soalan kritikal.
Sesetengah universiti pula mewajibkan ada penerbitan di jurnal berwasit. Maka calon akan berdepan dengan pewasit yang akan memberi komen ke atas manuskrip. Jurnal yang berkualiti tinggi mungkin melakukan beberapa pusingan penilaian sebelum manuskrip diterima untuk penerbitan.
Bagi para penyelidik, kritikan terhadap hasil kerja mereka adalah perkara biasa. Dalam kebanyakan masa, kritikan dapat membantu ke arah peningkatan kualiti penulisan.
Tidak ada pula timbul pertuduhan bahawa pengkritik berhati busuk kerana memperlihatkan kelemahan rekabentuk kajian. Jika benar apa yang dikatakan oleh pengkritik, maka penulis perlu mempertahankannya dengan hujah, atau akur mengubah apa-apa yang sumbang.
Tidak juga timbul pertuduhan bahawa pengkritik tidak beradab kerana membuat kritikan terhadap penulisan nama-nama besar dalam bidang. Banyak perspektif, model dan kerangka pemikiran yang diguna dalam penyelidikan. Cara membuat penilaian kesahan kandungan instrumen mungkin diterima dalam perspektif Teori Ujian Klasikal, tapi mungkin dikritik melalui perspektif Teori Respon Item. Ia tidak bermakna apa yang penulis buat itu salah; calon diberikan sudut pandangan yang berbeza untuk menilai penulisannya. Jika nama-nama besar pun boleh dikritik, apatah lagi nama yang sedang dicipta.
Calon juga tidak diajar untuk mempertahankan tesis dengan hujah "bidang ilmu ni luas". Calon diajar untuk menggunakan kerangka kajian supaya lebih rendah diri dalam mengetengahkan sumbangan mereka kepada bidang kajian. Jika satu-satu kajian itu nak dipertahankan dengan merujuk kepada keluasan ilmu, maka calon sebenarnya telah gagal memasang bingkai yang sesuai untuk mempersembahkan kajian. PhD diberi untuk satu kajian yang berbingkai; bukan kajian yang dipertahankan secara bingai.
Calon PhD yang mampu mengasah kemahiran pemikiran secara kritis adalah calon yang berjaya: tak kiralah dia GOT atau tidak.
Kritis tentang isi
kritis tentang kaedah
kritis tenang analisis data
kritis tentang tafsiran ke atas data
Tidak semuanya indah belaka dalam penulisan tesis.
Ada juga penilai yang cincai sehingga keseluruhan tesis dikatakan BAIK. Tapi tiadapun ulasan di mana kebaikannya. Jika semuanya baik, maka itu bukan penilaian; tapi ia sekadar pujian.
Ada juga penilai yang cincai sehingga keseluruhan tesis dikatakan BURUK. Tapi tiadapun ulasan di mana keburukannya. Jika semuanya buruk, maka itu bukan penilaian; tapi ia sekadar kejian.
Ada juga penilai yang mengaduk tesis dengan isu peribadi dan emosi sehingga mencacatkan objektiviti penilaian.
Ada juga calon yang tidak dapat membendung isu peribadi dan emosi sehingga merencatkan fungsi penilaian.
Tak semuanya indah. Tapi kita memang harapkan yang indah daripada dunia akademik.
Comments