7 Hari Mencari Panadol
Kesan perantara (mediation) dan penyerdehana (moderation) boleh menjelaskan mekanisma hubungan antara pembolehubah bersandar dan tidak bersandar.
Dalam kata lain, kalau diperhatikan ada hubungan antara X dan Y, dengan cara apa mereka berhubung? Selain daripada hubungan secara langsung (X 'bercakap' terus dengan Y), adakah wujud hal lain yang mempengaruhi hubungan tu?
Contoh 1
X = lapar
Y = tingkah laku mencari makanan
X --> Y
BIla X makin tinggi, Y juga akan tinggi.
Tapi... ada keadaan di mana hubungan X dan Y tak semudah itu. Seperti juga rumitnya hubungan Khuzairi dan Mia. Ada perantara dan pencelah yang mempengaruhi kekuatan hubungan mereka.
M = berpuasa
Jika M=1 (yakni keadaan bagi orang sedang berpuasa), hubungan antara X dan Y tidak wujud. Lapar macam mana pun, orang tu akan tahan dan tak cari makanan selagi belum waktu berbuka.
Jika M=0 (yakni keadaan bagi orang yang tidak berpuasa), maka hubungan X dan Y jadi hubungan yang positif. Semakin lapar, semakin banyaklah tingkah laku mencari makanan.
Dalam hal ini, M ialah pemboleh ubah penyederhana (moderator). Ia mengubah hubungan antara X dan Y. Namun, ia sendiri tidak ada hubungan dengan X dan Y (lapar tak menyebabkan orang berpuasa; berpuasa juga tidak secara bersendirian menyebabkan orang mencari makanan).
Ok ..ok ... untuk berbuka, orang akan cari makanan. Tapi, untuk contoh ni, anggaplah suasana ini dikaji di waktu tengah hari.
Contoh 2
X = lapar
Y = tingkah laku mencari makanan
Ikut pengalaman, ada orang yang rajin memasak bila lapar. Ada juga yang duduk je walaupun lapar: harapkan orang lain yang menyuap. Dan kita juga perhatikan bahawa ada sejenis golongan manusia yang akan jadi lemau melampau bila lapar. Bila lapar je, dia jadi lemah dan malas. Lemau lemah ni kita namakan sebagai L. Jadi, kita boleh buat hipotesis macam ni:
X --> L Bila lapar, ada kemungkinan orang jadi lemau.
L --> Y Bila orang lemau, orang jadi malas nak mencari makanan
Yang di atas tu adalah kesan lansung (direct effect).
Untuk menguji kesan perantaraan (mediation), kita lihat perbezaan antara
(1) X --> L --> Y dan
(2) X --> Y
Jika kesan X ke atas Y berubah secara signifikan bila L muncul dalam laluan hubungan tersebut, makan kita boleh klaim wujudnya kesan perantaraan. Dalam contoh ini, bila L wujud (kelemauan menguasai diri), maka orang yang lapar tidak lagi mencari makanan. Ini berbeza dengan mekanisma asal yang mengatakan kelaparan ada kesan secara langsung kepada tingkah laku mencari makanan.
Maka, dalam pernyataan masalah kajian, perlulah diberi kewajaran untuk menyiasat hubungan perantara atau penyederhana. Salah satu justifikasinya ialah mekanisma hubungan antara X dan Y. Kena pandai juga olah hujah untuk menunjukkan bahawa mekanisma yang sedia ada mempunyai masalah (kelemahan, limitasi, tidak peka budaya) atau teori yang berkaitan perlu diubah suai.
Jangan pulak hanya tempelkan bahan tentang tiga pemboleh ubah secara berasingan tanpa mengaitkan mereka.
Jangan hanya kata kurangnya kajian yang mengaitkan ketiga-tiga pemboleh ubah. (Kurang juga kajian yang mengaitkan 18 pemboleh ubah. Mengapa tak nak kaji yang tu?)
Jangan hanya kata kurangnya kajian tentang X, Y dan M dalam kalangan penduduk di kordinat latitud dan longitud 17.8216° S, 31.0492° E. Korang ingat Pak Samad suka sangat nak baca pasal kajian di seluruh pelusuk kordinat? Apa yang istimewanya kordinat tu untuk dikaji?
Sekali kena sergah dengan Pak Samad, nanti korang 7 Hari Mencari Panadol.
Comments