Jalan PhD

Ada orang kata, kalau buat PhD ni, 'kerja kena jalan'. Maksud ungkapan ni, antaranya, ialah mesti meneruskan kerja-kerja berkaitan PhD. Di samping itu, perlu juga untuk berjalan-jalan supaya otak tak tepu dengan pekerjaan. Malah, mungkin saja berjalan-jalan itu menyerupai kerja PhD - dan penyelidikan secara umumnya. Mari lihat proses-proses sepunya bagi kedua-duanya.

Katakanlah hendak ke Istanbul. Untuk betul-betul dapat menikmati dan menjiwai lawatan tersebut, perlulah diketahui serba sedikit tentang Istanbul; sejarahnya, tempat-tempat menarik, kewajaran melawat tempat-tempat tertentu, cuaca, dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Ini menyerupai proses membuat tinjauan kesusasteraan (literature review).

Setelah diputuskan untuk melawat Istanbul, perlu pula memikirkan logistiknya. Perlu dicari kaedah yang terbaik untuk ke sana. Terbang? Memandu? Tinggal di hotel atau hostel? Berapa banyak perbelanjaan yang perlu disediakan? Berapa tempoh tinggal? Ada back up plan atau tidak? Jika diperincikan jawapan kepada soalan-soalan ini, terhasillah satu kertas cadangan (proposal).

Seterusnya, bila berada di Istanbul, masa perlu diisi dengan aktiviti menikmati pemandangan dan menimba pengalaman. Sebahagian orang mungkin suka menulis puisi atau catatan di tempat yang menarik hati. Kebanyakan orang lebih suka mengutip kenangan dengan bergambar. Tak kurang juga yang membeli cendera mata untuk dibawa pulang. Lebih istimewa jika dapat menambah kenalan di kalangan orang tempatan. Catatan, gambar, cendera mata, dan kenalan semuanya bolehlah diibaratkan sebagai data.

Bila balik ke rumah, aktiviti seterusnya ialah melihat kembali hasil perjalanan. bagi yang rajin mengguna Photoshop, gambar-gambar yang diambil disunting terlebih dahulu. Mungkin juga gambar itu dikelompokkan mengikut tema tertentu. Biasanya, ada catatan yang menghuraikan gambar tersebut. Dari sinilah dapat dilihat siapa yang kerap enter frame, apa objek yang kerap diambil, dan apa imej yang tidak sempat dirakam. Aktiviti mengolah gambar-gambar menyerupai aktiviti menganalisis data.

Setelah dianalisis, gambar-gambar tadi boleh menjadi asas kepada perbincangan sesama kawan, atau dengan diri sendiri. Biasanya, perbincangan ini melibatkan penilaian terhadap hasil lawatan. Berbaloikah berbelanja ke Istanbul? Sejauh mana kebenaran fakta-fakta dan pendapat yang dijumpa dalam literature review? Bertambahkah pengalaman hidup hasil lawatan tersebut? Sesuaikah kaedah yang diguna sepanjang lawatan? Kekurangan yang ada dalam percutian itu akan disebut. Mungkin juga akan ada saranan untuk lawatan-lawatan yang berikutnya. Perbincangan seperti ini biasanya menjadi penutup kepada sesebuah kajian.

Bagi pengguna Facebook, MySpace, Fotopages, blog, dan yang seumpamanya, tentu tidak sabar untuk berkongsi kenangan dengan rakan-rakan. Sebaik saja ada waktu yang terluang, gambar-gambar akan dimuatnaik ke Facebook etc. Aktiviti perkongsian ini bolehlah dianggap sebagai usaha untuk penerbitan. Bolehlah rakan-rakan menyemak gambar, memberi komen, dan memanjangkan perbincangan. Hasil lawatan yang diterbitkan ini akan menjadi sebahagian daripada literature untuk mereka yang masih belum melawat Istanbul.

Dalam catatan ini, hanya proses-proses utama yang dibandingkan. Tidak dinafikan, memang banyak perbezaan yang boleh dibuat antara PhD dan berjalan-jalan. Namun, yang ingin dicadangkan di sini ialah kepentingan bersistematik dalam melakukan sesuatu usaha. Jika hendak menyelesaikan PhD, perlu patuh kepada kaedah-kaedahnya. Kalau hendak berjalan dengan selamat, jimat, dan bermanfaat, maka kaedah yang sistematik lebih sesuai digunapakai. Mungkin ada perjalanan yang lebih seronok dibuat secara spontan. Tapi, jika perjalanan dirancang rapi terlebih dahulu, maka lebih banyak manfaat yang boleh diraih.

Cukupkan persiapan, jauh perjalanan, luas pemandangan, kongsikan pengalaman.



Nota penghargaan kepada Hafiz yang membantu mengembangkan idea untuk penulisan ini.

Comments

Anonymous said…
huhu, what a good analogy! I envy you sir, you are so good at giving examples! sebagai seorang guru, saya nak sangat pandai bagi contoh, yang mudah difahami oleh pelajar, dan membantu pelajar memahami isi pengajaran.
salida amran said…
u are so true sir...teringat saat berhempas pulas menyiapkan thesis untuk MA dulu..tetiba rasa gian pulak nak buat paper lagi..heh.

good luck sir on ur way. psych dept is waiting for u
Aina said…
good luck!
gambate kudasai!
arirada: bila pengalaman bertambah, insyAllah mata akan lebih tajam untuk memerhatikan perkaitan antara perkara2. Makin mudah untuk mencari contoh2 utk diguna dalam pengajaran

salida: apa lagi...cuba la buat artikel utk diterbitkan.

mastikus: thank u!

Jepun ka Korea?