Refleksi tafsir: ayat 3 surah alMulk

 Refleksi tafsir: Perspektif psikologi - ayat 3 surah alMulk.

الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ
Sahih International
[And] who created seven heavens in layers. You do not see in the creation of the Most Merciful any inconsistency. So return [your] vision [to the sky]; do you see any breaks?
Bahasa Melayu
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
1. Seorang ahli psikiatris, Klaus Conrad, menggunakan istilah apophenia untuk menerangkan kecenderungan melihat corak atau hubungan tertentu antara objek yang tidak tersusun. Sebagai contoh, mungkin kita sendiri ada nampak buaya, arnab, dan haiwan lain pada gumpalan awan. Awan berkenaan tidak disusun untuk menyerupai haiwan-haiwan tersebut, tapi kitalah yang Menyusun maklumat daripada deria mata hinga kita ‘melihat’ haiwan di atmosfera. Conrad mengaitkan apophenia dengan skizofrenia. Jika kuat sangat kecenderungan melihat corak, kemungkinan ada gangguan terhadap fungsi otak.
Dalam ayat ini, Allah swt secara jelas menyuruh manusia melihat kejadian langit. Bukan sekadar melihat saja-saja; tapi melihat untuk penelitian yang mendalam dan mengaitkannya dengan Allah swt yang Maha Pemurah dan Maha Berkat. Perkataan tabaqa ditafsirkan sebagai berlapis-lapis atau tersusun. Mungkin pada pandangan sekali imbas, tidak kelihatan susunan itu. Tapi kita dituntut untuk setidak-tidaknya berfikir tentang susunan yang Allah swt cipta bagi kejadian langit.
Jika apophenia merujuk kepada melihat benda yang tak wujud, visual agnosia pula merujuk kepada tidak dapat melihat benda yang wujud. Orang yang masih berfungsi matanya, yakni tidak buta, tidak dapat mengecam objek yang ada di hadapannya disebabkan gangguan saraf. Jika disuruh melukis objek yang di depan matanya, dia tidak mampu berbuat demikian. Dia nampak, tapi dia tidak faham apa yang dia nampak.
Jika manusia tidak boleh lihat susunan dan aturan dalam kejadian langit, malah kejadian-kejadian lain, maka mungkin itu boleh dianggap sebagai visual agnosia. Agnosia berasal daripada perkataan Greek. Perkataan yang sama juga melahirkan istilah agnostik untuk merujuk kepada orang yang tidak membuat komitmen untuk percaya kepada Tuhan. Dari segi Bahasa, mungkin boleh dikatakan orang yang Tidak mahu percaya kepada Tuhan adalah orang yang tidak nampak susunan dan aturan yang merupakan tanda-tanda kebesaran Tuhan.
2. “engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah” Saya tertarik dengan struktur ayat ini. Ia mengingatkan saya kepada pernyataan hipotesis. Ia seolah-olah satu cabaran kepada manusia untuk menguji hipotesis berkenaan. Yang lebih menarik, hipotesis itu dinyatakan dalam bentuk hipotesis alternatif (H alt: Pada ciptaan Allah swt ada yang tidak seimbang). Dalam kaedah pengujian hipotesis, kita perlu menyatakan hipotesis nul dan alternatif. Dan jika kita ada walau satu bukti untuk hipotesis alternatif (yakni ada yang tidak seimbang), maka kita akan menolak hipotesis nul (yakni semua ciptaan ada keseimbangan).
Ayat ini sekaligus memberi kita jawapan kepada ujian hipotesis itu. Kita tidak akan dapat bukti untuk menerima hipotesis alternatif. Maka kita perlu percaya dan menerima bahawa pada ciptaan Allah itu ada keseimbangan. Saya belum mampu nak mengulas lanjut tentang maksud-maksud khusus keseimbangan; Cuma di sini saya hendak menonjolkan cara keseimbangan itu dipersembahkan kepada manusia untuk diperhatikan dan diuji.
3. Manusia digalakkan untuk melihat bukan sekali sahaja. Hipotesis keseimbangan tadi boleh diuji berkali-kali: lihatlah langit berkali-kali. Perkataan al-basor digunakan untuk merujuk kepada pandangan mata dan juga fikiran. Kita gunakanlah proses sensasi (deria) dan proses persepsi (pemprosesan maklumat deria) untuk melakukan ujian hipotesis itu.
Dalam kaedah sains, pengujian yang berulang oleh orang yang sama mahupun orang yang berbeza sangat digalakkan. Pengujian berulang kali dapat meneguhkan keyakinan kita terhadap dapatan kajian. Pengujian berulang kali yang digalakkan dalam ayat ini mudah-mudahan dapat meneguhkan iman dan aqidah kita.

Comments