Solat Mententeramkan Otak?
Benarkah solat boleh mententeramkan otak?
Satu kajian telah diterbitkan dengan tajuk : A case series study of the neurophysiological effects of altered states of mind during intense Islamic prayer
Adakah artikel yang diterbitkan Jurnal of Physiology ini boleh dijadikan asas untuk menerbitkan garis panduan khusyuk dalam solat?
Bolehkah anda terima jika ada pihak yang mencadangkan "untuk mendapat khusyuk dalam solat, kita perljar melatih pariatel lobe supaya ia lebih tenteram"?. Bunyinya seperti gah; macam-macam istilah neurosains yang disebut. Tapi, kita perlu berhati-hati dalam memetik hasil kajian ini lebih-lebih lagi jika hendak dikaitkan dengan ibadah solat (sembahyang).
Jika ada penceramah motivasi yang menggunakan artikel ini untuk menyarankan langkah-langkah tertentu untuk mencapai khusyuk dalam solat (KDS), maka eloklah dinilai saranan itu dengan fikiran yang kritis. Kita bukan nak kondem penceramah; kita nak menjaga dan memartabatkan ilmu. Jika tidak berhati-hati, kita mungkin terjerumus dalam neuroteologi (sains saraf tentang amalan beragama) yang berkecamuk sehingga menjejaskan kedua-dua bidang neurosains dan teologi (kajian agama).
Berbalik kepada soalan asal, di bawah ini saya senaraikan komen-komen saya tentang kajian yang dilaporkan. Tujuan senarai ini adalah untuk membantu kita menilai kesahan (validity) kajian dengan pencapaian khusyuk dalam solat.
1. Kajian ini dilakukan ke atas 3 orang. Sampel kajian sangat terhad: 2 lelaki, 1 perempuan, dan 2 orang daripadanya dihuraikan sebagai American Sufi. Kajian ke atas sampel yang lebih besar dan pelbagai perlu dilakukan sebelum boleh menerbitkan saranan neuroteologi tentang KDS. Bahkan, penulis kajian ini sendiri mengakui "This limited number of subjects makes any definitive conclusions from the current data impossible." Bagaimana pula kita hendak membuat saranan neurotelogi KDS berdasarkan hasil kajian ini?
2. Definisi 'intense prayer' tidak dijelaskan. Kita tidak boleh menilai sejauh mana 'intense prayer' itu boleh disamakan dengan khusyuk.
3. Istilah prayer itu sendiri agak luas. Dua daripada responden yang diuji tidak melakukan solat (sembahyang); sebaliknya, mereka melakukan zikir sufi. Jadi, hanya ada seorang sahaja yang diuji solatnya (solat sunat atau solat wajib?). Jadi, tidak moleklah jika kita buat kesimpulan berdasarkan seorang individu sahaja.
4. 'Brain activity' yang diukur dalam kajian ini adalah cerebral blood flow (aliran darah dalam otak). Kaitan antara aliran darah dan proses berfikir/fokus/khusyuk perlu dijelaskan dengan baik. Adakah kurangnya alira darah membuatkan kita kurang fikir perkara duniawi? Sekadar menunjukkan bahagian otak yang aktif dan tidak aktif tidak cukup untuk menegaskan perkaitan antara aktiviti neurofisiologi dengan proses kognitif.
5. Solat dalam kajian ini didefinisikan sebagai "invok(ing) the 99 attributes of God and also help the person focus on surrendering to God and feeling God’s love and compassion ." Adakah ini yang kita maksudkan dengan solat? Adakah solat dalam kajian ini sama dengan sembahyang fardu yang kita wajib amalkan 5 kali sehari?
6. Kajian ini menggunakan pendekatan "apakah kesan prayer ke atas aktiviti neurofisiologikal?" Dalam membuat saranah neuroteologi KDS, pendekatannya ialah "apakah kesan aktiviti neurofisiologi ke atas solat?". Nampak tak bahawa arah hubungan kesan-akibat kedua-duanya adalah bertentangan?Bukti lain yang lebih sesuai perlu dinyatakan untuk membuat saranan neuroteologi KDS.
Kesimpulannya, kajian ini bagus sebagai kajian awal atau kajian penerokaan. Namun, untuk menggembar gemburkan asas-asas neuro untuk mencapai khusyuk dalam solat, kajian ini tidak sesuai dan tidak valid dijadikan sandaran. Banyak lagi aspek 'prayer' yang perlu diperhalusi kerana kesannya ke atas aktiviti otak bukanlah semudah ABC.
Comments