BERSELIPAR JEPUN KE PIALA DUNIA


Makanan ringan (junk food) tak semestinya tiba-tiba menjadi berkhasiat jika seorang chef berbintang Michelin yang memasaknya.
Seteguk racun tak berubah menjadi penawar hanya kerana seorang doktor yang menyuapkannya.
Sepotong daging ular tedung tidak menjadi halal walaupun orang penting JAKIM yang menghidangkannya.
Sepotong hadith palsu tetap tidak terangkat darjatnya kepada hasan walaupun seorang ulama besar yang menyampaikannya.
Sepasang selipar Jepun tak akan berfungsi seperti but bola sepak walaupun pemenang Balloon d'Or yang menjualnya.



Begitulah juga halnya jika ada antara kita yang membayar untuk mendapatkan sijil pengamal (certificate of practitioner), gelaran 'founder' atau 'master trainer' yang berkaitan profesion psikologi. Hanya kerana pihak penganjur atau trainer berkenaan ada title 'Dr', 'Prof' atau 'Prof Madya, tak semestinya sijil berkenaan ada nilai professional.

Ada kalanya 'certificate of practitioner' itu hanyalah sijil kehadiran. Dalam tempoh tidak sampai seminggu, apakah ilmu, kemahiran dan sikap yang dapat dibentuk untuk melayakkan peserta menjadi 'pengamal'? Adakah ujian atau penaksiran yang boleh menunjukkan peserta program latihan telah mendapat apa yang sepatutnya?

Hanya kerana trainer berkenaan berpakaian kemas dan segak (bertali leher dan blazer), pandai berjenaka, pandai membuat peserta menangis atau menjerit-jerit, tak semestinya isi latihannya bagus, sahih, bermanfaat dan berguna.

Halal haram makanan dan minuman kita mestilah berlandaskan hukum agama. Kita pelajarilah hukum berkenaan supaya tidak mudah tertipu dengan pakar nutrisi, pakar neuro, pakar kanser, pakar buah pinggang dan pelbagai lagi pakar jadi-jadian.

Nilailah latihan-latihan dalam psikologi dengan bersandarkan bukti empirikal (bukan sekadar testimoni ya!) dan kod etika profesion (kalau peserta tak ada latar belakang psikologi klinikal, bolehkah dia dilatih teknik-teknik psikoterapi dan seterusnya diiktiraf sebagai pengamal teknik-teknik berkenaan?).

Jika kita hendak menjadi juara World Cup, carilah kasut yang berkualiti. Jangan menyeret selipar jepun yang dibayar dengan duit yang banyak dan akal yang direndahkan.

Comments