Sudu dan Cangkul
Anak panah mengapa ditabur
rusa lalu busur di simpan
tuan arah tanah digembur
hulur sudu cangkul disimpan?
rusa lalu busur di simpan
tuan arah tanah digembur
hulur sudu cangkul disimpan?
Dalam dunia pekerjaan, kadang2 memang ada urusan yang rasanya tak masuk akal. Ada prosedur yang ketinggalan zaman, menyusahkan, membazir tenaga, dan rumit tanpa sebab yang munasabah. Produktiviti tersembam di takuk biasa jika tiada perubahan yang hendak dibuat. Jika tiada pilihan lain, mungkin prosedur itu boleh diterima. Tetapi, jika jika memang sudah ada prosedur yang lebih cekap, menjimatkan masa, tenaga, dan kesabaran, dan pantas seperti gazelle, mengapa yang menyiput masih dijulang?
Pertentangan puak kesiputan dengan puak pro-produktiviti boleh menjahanamkan kesejahteraan psikologikal. Yang mindanya terbuka kepada logika produktiviti, akan terasa kewarasannya ditarik tegang-tegang. Dan ketegangan itu tidak akan kendur selagi mana puak kesiputan memegang kuasa membuat keputusan. Cadangan puak pro-produktiviti dianggap cabarang secara langsung kepada hak membuat keputusan.
Terkorbanlah produktiviti.
Ramai pengguna perkhidmatan awam dan perkhidmatan swasta yang terkesan secara langsung dengan proses kerja yang tak nampak akal. Urusan yang boleh diselesaikan dengan sekali lawatan ke kaunter, dipanjang-panjangkan ke beberapa minggu. Ada urusan yang boleh diselesaikan di hujung jari, ditunggu juga kehadiran pangkal lengan untuk menyudahkannya. Alang-alang menjaga piawaian dan kualiti, biar gondol rata sebidang hutan demi membukitkan borang dan dokumentasi.
Dalam kerangka psikologi organisasi, imbangan antara Job Demand dan Job Resources perlu dicapai supaya terhasil kerja yang mantap dan terjaga kesejahteraan pekerja. Jika pekerja tahu dan mampu mencangkul, mengapa sudu yang diberi sebagai Job Resource beliau? Bukankah cangkul lebih sesuai untuk melaksanakan tugas yang diberi? Lebih teruk lagi, cangkul diharamkan penggunaannya untuk memberi laluan kepada sudu.
kalau haruan makan berudu
dedak sebakul tabur di darat
kalaupun tuan sayangkan sudu
jangan cangkul dibiar berkarat
dedak sebakul tabur di darat
kalaupun tuan sayangkan sudu
jangan cangkul dibiar berkarat
Comments