Masihkah Kau Mencari Gap?

"Encik nak tahu tak? Tok ketua kampung kita tu tak pernah sembahyang di surau?"
"Kome jangan percaya sangat cakap ustaz tu. Dia bercakap memang pandai. Tapi amalan dia bukan elok pun. Kome pernah nampak dia beri sedekah?"
Apa persamaan dialog-dialog di atas? Kedua-dua dialog itu membuat kesimpulan (tuduhan) tanpa memberi apa-apa bukti. Memang sukar untuk membuktikan ketidakwujudan sesuatu. Jika itulah alasannya untuk mengabaikan bukti, maka tak perlulah buat tuduhan; takut-takut percakapan kita menjadi FITNAH.
Kalau berkehendak juga membuat tuduhan, maka datangkanlah bukti-bukti yang boleh dipakai. Contohnya, tanya imam dan makmum surau sama ada mereka pernah nampak tok ketua sembahyang di surau. Jika seorangpun tak pernah nampak, maka ada kredibiliti dalam tuduhan itu. Tapi, jika ada SEORANG sahaja yang mengaku nampak tok ketua, maka tuduhan itu tertolak (sebab katanya TAK PERNAH). Bukti yang satu itu sudah cukup untuk menolak tuduhan.
Bagi contoh kedua, kita cubalah tanya semua orang kampung samaada mereka pernah menerima sedekah daripada ustaz tu. Dan tanya juga sekalian pengunjung surau dan masjid samaada mereka pernah nampak ustaz letak duit dalam tabung surau atau masjid. Larat ka? Tak de masa nak kumpul bukti? Kalau rasa tak de masa nak kumpul bukti, jangan la dok kumpul dosa tabur fitnah. Dok diam-diam je la. Banyak lagi benda lain boleh dijadikan bahan percakapan.
Dalam dunia akademik pun sebenarnya berleluasa fitnah seperti ini. "Kome tau tak..... tak de sorang pun pengakaji dalam dunia ni yang pernah buat kajian pasal hubungan antara tabiat mandi tengah malam dengan kadar pertumbuhan bulu ketiak?" Tu dia.... konfiden tahap Gaban buat statement macam tu. Ada bukti tak?
Tak da. Cuba la juga cari dalam bahagian pernyataan masalah dia tu.... tak de sekelumit bukti pun untuk mengiyakan tuduhan dia ke atas seluruh pengkaji dan penulis di dunia. Dalam keghairahan nak buat research (dan mencari 'gap'), kita mungkin terjatuh dalam lurah fitnah. Bukan setakat fitnah seorang tok ketua atau seorang ustaz; tapi beribu-ribu orang pengkaji.
Boleh saja kita cuba huraikan permasalahan kajian tanpa merujuk kepada gap atau kurangnya kajian yang serupa. Kita boleh tonjolkan mengapa kajian yang sedia ada itu kurang sesuai untuk menerangkan/menyelesaikan/menguji sesuatu permasalahan yang kita hadapi. Sebagai contoh, kita boleh rujuk kajian tentang tabiat penggunaan air semasa mandi. Semua kajian yang dijumpai menunjukkan keberkesanan intervensi pengurangan air dalam kalangan pengguna yang ada bath tub di rumah. Memandangkan bekalan air yang terhad (terutama semasa musim kemarau) di Malaysia, maka perlu dicari penyelesaian untuk mengurangkan jumlah air yang diguna semasa mandi. Dan memandangkan ramai isi rumah yang TIDAK mengguna bath tub di rumah, perlu ada kajian untuk isi rumah yang menggunakan pancuran air sahaja. Faham?
Tak perlu tabur fitnah. Sebaliknya, akuilah sumbangan pengkaji-pengkaji terdahulu dan cambahkan idea baharu.

Comments