Sehari Sebuah Puisi

InsyaAllah, untuk tempoh 69 hari, saya akan meletakkan satu puisi setiap hari di blog ini. Usaha ini adalah tanda sanjungan saya kepada Dr Zurinah Hassan yang baru mendapat anugerah Sasterawan Negara. Ada puisi yang baru dan ada yang diulan siar. Puisi-puisi yang dimasukkan dalam projek ini menjadi antologi bertajuk 'Mencari Lunak Hati'. Projek menyiarkan puisi di blog dan Facebook ini saya namakan Sehari Sebuah Puisi dan menggunakan hashtag #seharisebuahpuisi #SNDDZ #mencarilunakhati

Mengikut pengkaji psikologi, antara ciri orang yang tinggi tahap kecerdasan emosi ialah memunyai upaya untuk menghalakan emosi yang kuat ke arah produktiviti. Bukan mendabik dada mengiktiraf diri tinggi cerdas emosi, tapi ini adalah sebuah refleksi diri. Bagi saya, emosilah antara tenaga yang banyak membantu penghasilan sebahagian besar puisi yang bakal dikongsikan di sini. Tentang tenaga yang dihasilkan oleh emosi, saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan kemampuan untuk menggunakannya untuk menulis. Sukar untuk menghasilkan puisi jika saya tidak mengalami rasa sedih, marah, cemburu, rindu, dan gembira dalam menempuh liku-liku kehidupan.

Selain peristiwa dan emosi peribadi, saya akui banyak terpengaruh dengan penulisan Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan. Fikir Musafir, misalnya, dipengaruhi Hidup Dari Jendela Kereta Api secara sengaja. Imej kereta api yang digunakannya amat berkesan hingga mampu menghasilkan percambahan idea. Sebagai tambahan, secara tidak sengaja, terdapat persamaan dalam pemilihan Semalu sebagai tajuk puisi. Secara keseluruhannya, saya terpesona dengan perspektif alternatif yang ditawarkan oleh Dr Zurinah. Saya mula membaca puisinya sewaktu saya remaja. Stereotaip dan batasan mental pada jiwa remaja saya disanggah secara halus oleh puisinya. Sebagai contoh, ‘Di Sebuah Kolam’ membuatkan saya lebih menghargai pentingnya ‘peraturan’ dan ‘kekangan’ walaupun terasa dibataskan oleh peraturan dan kekangan itu.


Latar belakang pendidikan psikologi turut membantu saya mengamati peristiwa-peristiwa dan kejadian di sekeliling saya. Pendekatan psikologi dalam menangani masalah insan saya gunakan dalam puisi. Sempadan dan Kemaafan terlahir daripada perbualan dengan seorang teman yang sedikit terganggu dengan perbuatan rakannya. Dalam puisi lain seperti Kembali KepadaNya dan Perpisahan Yang Sempurna, saya cuba mencerahkan sisi positif dalam noktah pertemuan. Ia bagai terapi yang membantu diri mencapai tahap penerimaan sesuatu musibah.  

Emosi yang tidak terkawal boleh menjadi api yang memakan diri. Emosi yang dibendung dapat mencuit intelek dan menugaskan jasad untuk bergerak. Saya berharap puisi-puisi saya dapat menyentuh hati anda untuk merasa sesuatu, dan bertindak untuk menghasilkan sesuatu. Setidak-tidaknya, bertindak untuk berdamai dengan diri sendiri, mencari lunak di hati. 


Comments

Telipuk Kuala said…
Usaha yang bagus. Tahniah & silalah teruskan.
Anonymous said…
Terima kasih Telipuk.