hantar ke sekolah
Kalau masih duduk di Borrowdale Way, mungkin hanya berjalan kaki atau berbasikal untuk menghantar Marwan ke sekolah. Dari rumah baru ni, sekolah agak jauh untuk aktiviti yang lebih sihat itu.
Ditubuhkan pada 1968, sekolah ini ada lebih kurang 400 orang murid. Salah seorang ECP yang ditemui pernah bersekolah di situ - dia antara murid terawal. Holywell Primary School dikatakan antara sekolah terbaik di Loughborough. Bila menjawab soalan 'Marwan sekolah di mana?@, rata-rata respon yang diterima berbunyi lebih kurang 'that's a good school'.
Bila menghantar dan mengambil Marwan di sekolah, terasa jauh beza suasana dengan sekolah-sekolah di Malaysia. Mungkin ini sekolah kampung. Tapi, setakat ini, tak ada nampak bas sekolah atau van sekolah di perkarangan sekolah. Tak ada kanak-kanak berpusu-pusu keluar dari bas untuk masuk sekolah. Tak ada pakcik-pakcik menunggu dalam van untuk ambil pelajar yang keluar dari sekolah.
Ramai ibubapa atau penjaga yang menghantar sendiri anak-anak ke sekolah. Murid-murid Year 4 pun ramai yang dihantar sampai ke pintu kelas oleh ibubapa masing-masing. Suasana pagi di perkarangan sekolah meriah dengan kehadiran ibu bapa. Di Malaysia, rasanya kawasan dalam pagar sekolah hanya meriah sebegitu waktu hari Anugerah dan hari Sukan.
Yang pasti, rasa lebih selamat bila melihat sendiri Marwan masuk ke kelas. Tapi selama mana boleh begitu. Perlu secara beransur-ansur menguatkan tali kepercayaan. Biar ada risau. Biar ada sebak.
Satu hari Marwan akan terbang sendiri.
Comments