bangau dan kambing

Kisah bangau dan kambing saling menjamu makan satu kisah yang menarik untuk dikupas. Untuk kanak-kanak, kisah ini mungkin hanya satu hiburan. Bagi orang dewasa, banyak pengajaran dan dan butiran kebijaksanaan yang boleh dikutip dari kisah ini.

Cerita pendeknya, kambing mengajak bangau makan di rumah. Dia menghidang makanan di dalam bekas yang cetek. Terpatuk-patuk si bangau cuba mendapatkan makanan. Paruhnya yang panjang dan tabiatnya yang menyudu menyukarkan dia makan dari bekas yang cetek. Pulanglah dia ke rumah dengan perut yang lapar.

Selang beberapa hari, bangau pula menjemput kambing datang ke rumah. Untuk membalas hospitaliti encik kambing, bangau menghidangkan makanan dalam geluk yang tinggi dan tirus. Tidak jadi masalah kepada bangau untuk memasukkan paruhnya yang panjang dan runcing ke dalam geluk. Kambing pula yang terkial-kial cuba memasukkan muncungnya ke dalam geluk sehingga habis basah janggutnya. Kambing kelaparan di rumah bangau.

Satu pengajaran dari kisah ini ialah pentingnya mengambilkira pengguna dalam menyediakan sesuatu untuk pengguna tersebut. Prinsip ini merupakan prinsip asas dalam bidang ergonomik: rekayasa berpusatkan pengguna (user-centred design). Salah satu falasi yang sering dilakukan oleh para designer ialah "jika aku boleh guna barang ini, orang lain pasti boleh guna". Kenyataan ini hanya boleh menjadi benar jika 'orang lain' tak lebih daripada klon designer itu sendiri. Sesuatu software mungkin 'makes sense' kepada penulis yang telah meluangkan banyak masa untuk menyiapkannya. Tetapi para pengguna mungkin terkial-kial cuba mencari hujung pangkal pada software berkenaan. Penggunaan akronim dan kata arahan mungkin sangat lazim kepada penulis, tapi sangat janggal di minda pengguna.

Kisah bangau dan kambing ini memang sangat sesuai diguna untuk memperkenalkan dan membincangkan idea user-centred design. Begitu juga dengan kehidupan seharian. Bak kata orang dulu-dulu: ukur baju di badan sendiri. Itu kalau nak buat baju untuk diri sendiri. Kalau nak buat baju untuk orang lain, kenalah ukur di badan orang berkenaan. Tak kenalah kalau nak ukur di badan sendiri juga.

Perihal memasak pun begitu juga. Kalau nak masak untuk orang, jangan fikir apa yang kena dengan selera diri sendiri sahaja. Kenalah ambil tahu apa yang orang suka masak. Macam dalam rancangan 'Come Dine With Me' di UK ni, kadang-kadang tuan rumah pilih resepi yang dia tahu atau senang untuk dibuat: mereka seolah-olah lupa mereka menjemput tetamu datang untuk menikmati makan malam. Kalau dah tahu tetamu tak suka ikan salmon, janganlah harap tetamu berkenaan untuk puas hati dengan main course ikan salmon.

Dalam rancangan CDWM itu, tuan rumah bertanding untuk merebut hadiah. Di kehidupan harian, kita tidaklah pula ditawarkan hadiah £1000 kalau masak sedap-sedap. Bak kata Ustaz Kazim, penat memasak seorang isteri itu akan hilang jika dimakan habis oleh anak-anak dan suami. Ganjaran memasak itu kita harapkan dari Allah s.w.t. Kalau kita saja yang suka doriyaki cicah wasabi, janganlah itu saja yang dihidang tiap-tiap kali orang datang. Orang lain nak makan apa? Kalau kita cuba nak memenangi hati tetamu atau ahli keluarga, kita masaklah apa yang dia suka. Kalau tak tahu apa yang dia suka, tanya. Biasanya orang tak lokek nak beritahu apa makanan yang dia suka. Boleh tahu punya.

Kalau dah tahu apa yang orang suka, tapi buat-buat tak tahu dan tak pernah buat apa yang orang suka, jangan buat-buat terperanjat bila orang cakap kita tak pandai ambil hati.

Kalau dah tahu orang tak suka doriyaki cecah wasabi, jangan pulak kecil hati kalau orang tak sentuh doriyaki tu.

Jangan jadi macam kambing dan bangau.


Comments

ukanera arenaku said…
lama betul tak datang singgah!
selamat singgah semula