Lagu Raya yang ingin kudengari

Musafir Terpaksa di Aidilfitri

Kisah orang yang tersangkut di KL kerana lambat beli tiket untuk balik kampung. Penyanyi terpaksa menyambut raya dengan pekerja halal/haram dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, dan Myanmar di KLCC.

Rintihan Syawal

Kisah seorang bapa yang sedih kerana perbelanjaan untuk persiapan raya telah melampaui bajet. Rintihannya tidak diendahkan oleh keluarga dengan alasan ‘perbelanjaan ini tidak membebankan papa’.

Riang di Pagi Raya

Lagu ini menceritakan kegembiraan seorang hamba Allah yang telah berjaya mencapai berat badan ideal di pagi raya. Dia berkongsi kegembiraannya atas kejayaannya berpuasa penuh dan mengurangkan pembaziran makanan di waktu berbuka.

Salah tu Rahim

Lagu genre komedi ini menceritakan seorang lelaki yang jarang balik kampung. Kepulangannya ke kampung untuk mengeratkan silaturrahim tidak terlaksana kerana asik tersilap orang. Paling malang bila dia secara tak sengaja mengumpat pasal awek lama di depan suaminya.

Tiada Raya Bagiku

Lagu ini dicipta khas untuk mereka yang terpaksa bertugas di hari raya seperti polis, doktor, jururawat, penjaga pondok tol, dan dj radio. Lagu ini menceritakan pentingnya ada pihak yang tidak beraya untuk menjamin perayaan boleh disambut dengan meriah. Lagu ini juga digunakan sebagai tanda protes oleh dj radio yang dibatalkan cuti rayanya.

Joget Juadah Raya

Irama rancak dalam lagi ini sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan. Lagu ini menggalakkan pendengar memantau makanan yang diambil sepanjang tempoh perayaan dan juga melakukan aktiviti fizikal yang ringan seperti berjoget. Lagu ini juga dikenali sebagai Joget Jaga Kalori.

Maaf @ Facebook

Lagu genre indie ini adalah satu pemerhatian social (social observation) tentang penggunaan Facebook sebagai medium menyambut hari raya. Penulis lagu mendapat ilham menulis lagu ini pada tahun lepas setelah kecewa kerana tidak mendapat walau sekeping kad raya.

Comments