Temuduga Perdana

Satu jawatan
lima belas orang calon
 
Ada yang ingin
merebut
merampas
mempertahan
atau sekadar teringin
 
Parah benar ekonomi
agaknya
sehingga sebegini ramai pemohon
untuk satu jawatan ini
agaknya
parah benar fikrah
 
Baiklah
silalah datang berjumpa bakal majikan
datang dengan sopan
usah bertempik mencerca nista
kalian menghadiri temuduga perdana
 
Yang akan memilih, itulah majikan
mereka berhak membelek tepi kain kalian
kalau-kalau ada kurap dan daki korupsi
usah berdegar-degar mengigal bagai merak gatal
bulu berkilau hanya iklan
terbangnya tidak, berjela-jela terpalit najis sendiri
 
Cubalah perbanyakkan mendengar
tingginya harapan dan jangkaan
usah gatal lidah mengocak emosi mengapi-api
 
Cubalah perbanyakkan melihat
buruknya kusut dan keliru
usah gatal badan mengorak kelibat menunjuk hebat
 
Cubalah perbanyakkan merasa
mualnya berita dan rencana
usah gatal tangan menyuap memasang umpan
 
Ini temuduga perdana
tundukkan diri tunjukkan akhlak
kerana kalian yang berkehendakkan kerja
jangan cemarkan temuduga perdana   

Comments