Metafora & Perbandingan
Huruf-huruf yang ku baca di skrin telefon menerpa mata dan mindaku dengan rakus sekali ibarat piranha yang mahu berbuka puasa. Sebaris ayat yang kubaca seolah-olah melompat dari skrin dan melanggarku. Bagai ditampar dengan lori. Kilat sabung-menyabung, petir berdentum-dentam, angin menggila sakan – bagaikan ada kesan khas visual filem-filem Melayu lama atau filem Bollywood mengiringi malapetaka yang menimpaku. Mahu terduduk aku dibuatnya. Itu yang aku rasa pagi itu ketika pensyarah baru mengatur baris-baris mukadimah kuliah.
Jantungku bagai diletak dalam ruang pembeku peti ais yang diiktiraf oleh Sirim. Tapi, tidak seperti air, yang akan mengembang apabila membeku, jantungku terasa mengecut. Dan bila-bila masa, agaknya, ia bagaikan boleh disentap keluar dari dadaku lalu menamatkan kepedihan yang kurasa. Biarlah rasa pedih itu disentap keluar. Tak tahan dilibas dengan beratus-ratus bilah-bilah buluh yang halus. (Alangkah lebih baik jika bilah-bilah buluh itu dianyam menjadi bakul?)
Aneh…. tidak percaya sebaris mesej di Whatsapp mempunyai daya yang sebegitu kuat. Di manakah Newton di saat aku ingin memahami hukum fizik? Mengapakah mesej nan satu itu menghentamku dengan momentum yang amat kuat? Peristiwa ini, jika dianalisa dengan akal semata-mata, mungkin tidak berkesudahan dengan kepedihan. Tapi, analisa akalku turut diiringi bisikan-bisikan naluri yang kadang-kandang manja, kadang-kadang gedik seperti budak baru nak up cuba menyanyi lagu Dayangku Norfaezah. Lalu berlakulah perlanggaran di antara logik dan naluri sepertimana berlanggarnya dua orang pakcik yang berbasikal di jalan sempit di pekan Langgar, Kedah Darul Aman (ironik, kan?).
Kemalangan tidak berbau – mungkin baunya telah diserap oleh karbon yang telah diaktifkan. Sebaris lori itu menghentam aku. Malang sekali gerak hatiku tidak cukup kuat untuk membantu aku mengelak tragedi Oktober. Namun, mungkin nyawaku masih panjang. Walaupun telah dilanggar lori, aku tidak terus mati, lalu tidak wujudlah sebuah pusara di lebuh raya. Dan rasionalku juga masih panjang, seperti panjangnya galah panjang.
Aku tidak terus merampas mana-mana lori atau bulldozer yang ada di sekitarku untuk membalas langgaran penghantar lori berhantu itu. Kalau diikutkan hati yang menggelegak, mahu saja aku mencarut dengan berlagak. Tapi aku membulatkan tekad dan membujurkan nekad: akan kubalas mesej keji itu selepas habis kelas nanti.
Ada ke patut si Romli, kawan baik aku sendiri, kata aku datang kelas dalam keadaan belum mandi?
Kuajaq. Mulut lahabau.
Kuajaq. Mulut lahabau.
Comments